25 Januari 2011

3 Sekeluarga Maut Kemalangan

KUANTAN 24 Jan. - Tiga sekeluarga terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan tiga kenderaan lain di Kilometer 129.2 Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah, Rompin, hari ini.

Kejadian berlaku pukul 3.30 petang ketika kereta Toyota Camry yang dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.

Mangsa, Ramlan Mohamad, 42, merupakan seorang guru manakala dua lagi ialah anaknya, Mohamad Aniq Mauqri, 5, dan Maria Adiliah, 2.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga.

"Kereta Toyota Camry itu kemudian melanggar pula sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Johari berkata, lebih memburukkan keadaan, sebuah lori dari arah Segamat gagal mengelak tiga kenderaan itu lalu bertembung dengan Toyota Camry berkenaan.

p/s: Allahyarham Ramlan Mohamad pernah mengajar di SMV Temerloh. Anak lelaki beliau pernah bersekolah di SMV Puteri pada tahun 2007. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatehah....

Sumber:
http://www.utusan.com.my/

0 comments: