23 Februari 2011

Gempa Bumi Kuat Di Christchurch, New Zealand



KUALA LUMPUR – Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter melanda wilayah itu pukul 12.51 tengah hari waktu tempatan kelmarin (waktu Malaysia pukul 8.19 pagi semalam).



“Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak,’’ kata Abdullah Mohd. Nawi ketika dihubungi Bernama.


HOTEL Carlton yang bersejarah musnah dalam gempa bumi.

Pelajar ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Canterbury itu sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.

Beliau berkata, orang ramai melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan.



Kejadian gempa yang melanda itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai lagi terperangkap di celah-celah runtuhan. Ia merupakan antara bencana alam yang paling dahsyat pernah melanda New Zealand.



Gempa bumi itu adalah yang kedua terkuat melanda bandar raya ini yang dihuni oleh 350,000 orang dalam tempoh lima bulan.

Ia yang sekuat 6.3 pada skala Richter mencetuskan kemusnahan jauh lebih besar berbanding gempa bumi yang terkuat yang melanda sebelum subuh pada September tahun lalu.



Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa itu berpusat pada kedalaman 2.5 kilometer di bawah tanahkaitan pada jarak lima kilometer dari sini.

Gempa bumi yang melanda Christchurch ini dijangka melumpuhkan pertumbuhan ekonomi di New Zealand sehingga memaksa negara tersebut menurunkan kadar faedah dan kemungkinan berdepan kemelesetan ekonomi.

Pakar ekonomi menganggarkan bahawa Christchurch yang merupakan bandar kedua terbesar di New Zealand, mencatatkan kira-kira 15 peratus daripada ekonomi New Zwaland.

Mereka juga menganggarkan kerosakan disebabkan bencana terburuk negara itu sejak 80 tahun lalu mungkin mencecah sehingga AS$12 bilion (RM36 bilion).



Maklumat Umum Berkaitan New Zealand.

KESUBURAN tanah yang dianugerahkan kepada New Zealand telah menyaksikan negara tersebut berjaya menempatkan diri sebagai salah satu pengeluar pertanian disegani dunia.

Negara beriklim sederhana itu boleh dianggap masih hijau dan berada berjauhan daripada pasaran dunia dari segi geografi.

Bagaimanapun, pendekatan unik dan kreatif ditekankan New Zealand telah membuatkan industri pertanian menyumbang hampir suku pertumbuhan Dalam Negeri Kasar (GDP) negara berkenaan.

New Zealand telah menggunakan kepakaran dalam perladangan berkualiti untuk menjadi pengeksport produk tenusu, daging lembu, kambing dan bulu biri-biri bagi menempatkan diri sebagai pemain ekonomi pertanian dunia.

Dalam pada itu, negara berkenaan juga merupakan salah satu daripada lima pengimport tenusu dunia yang membekalkan 90 peratus produk tenusu di pasaran antarabangsa. (Rujuk: http://www.kosmo.com.my/)

Sumber:
http://www.kosmo.com.my/

0 comments: