22 Februari 2011

Harimau Kalah Dengan Senduk Kuah?


TAMBUN cedera parah diterkam harimau

KEJADIAN seekor harimau lari lintang-pukang selepas diketuk dengan sebatang senduk ketika binatang buas itu menyerang seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Tiang, Hutan Belum di Gerik, Perak pada 12 Februari lalu, sesuatu yang menakjubkan, malah boleh disifatkan ajaib.

Apa tidaknya, harimau sememangnya dikenali sebagai binatang ganas yang mampu menumbangkan haiwan jauh lebih besar daripadanya, apatah lagi manusia. Dalam bahasa mudah – jika diterkam Pak Belang, maut padahnya.

Namun, kejadian di Kampung Sungai Tiang membawa cerita sebaliknya kerana haiwan itu berjaya ditundukkan seorang wanita dengan hanya menggunakan senduk.



HAN BESAU menunjukkan cara beliau menggunakan senduk untuk memukul harimau yang menerkam suaminya.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, wanita terbabit, Han Besau, 66, meluru ke arah harimau berkenaan yang sedang bergelut dengan suaminya, Tambun Gediu, 70, di belakang rumah mereka, sebelum memukul kepala binatang buas itu dengan senduk berkenaan yang disangkanya parang hingga menyebabkan haiwan itu lari ke hutan sekali gus menyelamatkan suaminya yang dalam keadaan parah.

Tambun mengakui harimau itu cuba membaham kepala dan lehernya dan bertindak melawan dengan menumbuk kepala haiwan berkenaan beberapa kali manakala tangan sebelah lagi mencengkam bibir haiwan itu sambil menjerit meminta tolong. Namun, harimau itu hanya melarikan diri selepas isterinya memukul haiwan itu dengan senduk.

Kejadian terbaru itu menimbulkan persoalan adakah harimau ‘pantang’ atau alah jika dipukul di muka dan kepala? Tentu sukar merungkai persoalan ini, namun satu kisah yang berlaku pada November 2006 di Jeli, Kelantan boleh memberikan jawapannya.

Mangsa kejadian di Kampung Sungai Long di Jeli itu ialah Mek Jah Ismail, 65, yang dikatakan bergelut hampir 15 minit dengan harimau yang menerkamnya ketika menoreh di kebun getah kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

Dalam pergelutan itu, Mek Jah di sempat mencapai sebatang kayu dan memukul muka haiwan berkenaan menyebabkan binatang buas itu berundur dan melarikan diri.

Dalam kedua-dua kes ini, pukulan pada muka dan kepala harimau membantu menyelamatkan mangsa daripada dibaham haiwan itu.

Beberapa kejadian serangan harimau membuktikan ia berlaku bukan semata-mata kerana naluri haiwan buas itu untuk mengisi perutnya, malah ia angkara sikap dan perbuatan manusia sendiri yang rakus mencari keuntungan dengan melakukan perburuan haram harimau hanya demi memenuhi lahap manusia kepada hidangan eksotik atau kononnya untuk perubatan terutama menjana kekuatan tenaga batin jika memakan bahagian tertentu haiwan itu.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/

0 comments: