13 Januari 2012
Jauhi Enam Sifat Mazmumah
SECARA umumnya, manusia memiliki dua jenis keperibadian iaitu; positif dan negatif yang tercermin pada tingkah laku dalam setiap gerak geri kehidupan seharian.
Sikap positif menjelma dalam tindakan kepatuhan, mencari kebenaran, muhasabah diri, bekerja dengan amanah dan bermuamalah dengan jujur dalam semua lapangan kehidupan.
Sikap negatif pula terlihat pada penentangan, cenderung kepada perbuatan maksiat, malas bekerja serta melakukan kerosakan terhadap diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.
Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Ada enam perkara yang menyebabkan amal kebajikan menjadi sia-sia (tidak mendapat pahala); iaitu sibuk mencari keaiban orang lain, keras hati, terlalu cinta kepada dunia, kurang rasa malu, panjang angan-angan dan orang yang berterusan melakukan kezalimannya". (riwayat Dailami)
1. Pertama, orang yang lebih suka mencari dan menyebarkan keburukan yang terdapat pada orang lain lalu membesar-besarkannya, sementara aibnya sendiri tidak pernah diperiksanya sesuai dengan pepatah lama "Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak."
Terdapat sebuah riwayat mengisahkan seorang khalifah yang melakukan rondaan dan lawatan terhadap rakyatnya pada waktu tengah malam, lalu dia menemui dalam sebuah rumah seorang lelaki dan wanita serta minuman khamar yang dihidangkan, dia masuk ke rumah itu dengan memanjat dinding, terus menerjah masuk dan terjadilah dialog.
Khalifah: Hai musuh Allah, apakah kau menyangka bahawa Allah akan menutupi kesalahan kau ini?
Lelaki: Tuan sendiri jangan tergesa-gesa, tuan juga telah melakukan kesalahan.
Khalifah: Kesalahan apa yang saya perbuat?
Lelaki: Kesalahan saya hanya satu iaitu apa yang Khalifah lihat sekarang, sedangkan tuan telah melakukan tiga kesalahan iaitu; mencari dan mendedahkan keburukan orang lain, padahal Allah melarang perbuatan itu, masuk ke dalam rumah orang dengan memanjat dinding, bukankah ada pintu yang harus dilalui dan masuk rumah tanpa izin tuan rumah.
BALA bencana yang berlaku di atas muka bumi ini perlu menjadi iktibar bagi setiap manusia. - Gambar hiasan
2. Kedua, sikap keras hati bermaksud tidak mahu menerima pengajaran yang baik dan nasihat ke arah kebaikan ditolaknya. Dia tidak suka segala kesalahannya dikritik apatah lagi dipersalahkan, kerana dia yakin bahawa dialah yang paling benar, di samping itu hatinya pula tidak tersentuh oleh penderitaan dan kesedihan orang lain.
Sewaktu hayat Rasulullah SAW, terdapat suatu kejadian yang membuat semua sahabat bersedih kerana matinya seorang anggota keluarga daripada mereka.
Bahkan Nabi SAW pun menitiskan air matanya, sahabat-sahabat di sekitarnya pun berlinang air matanya, tetapi ada seorang sahabat nampak biasa-biasa saja, sedikitpun dia tidak tersentuh melihat kejadian itu. Lalu dia bertanya kepada Nabi SAW, maka Rasulullah SAW menjawab, "Itu tandanya hati yang keras."
Orang yang keras hati lebih cenderung bersifat ego, sombong, takbur dan tidak mahu menerima kebenaran, kerana hatinya telah keras dan tidak terbuka untuk menerima pengajaran yang benar.
3. Ketiga, kehidupan dunia hanyalah sementara dan kita sebenarnya adalah seorang musafir yang berada dalam perjalanan, lalu beristirehat pada sebuah tempat untuk sementara waktu. Namun tidak sedikit pun manusia yang beranggapan bahawa tempat istirehat yang sejenak itulah matlamat dan tujuan mereka sehingga lupa akan matlamat dan tujuan sebenar mereka akan kembali kepada Allah Yang Maha Esa.
Justeru, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa pada suatu masa nanti, umat Islam akan ditindas dan dizalimi oleh umat lain sebagaimana mereka menghadapi makanan di atas meja, padahal jumlahnya ramai tetapi kekuatannya ibarat buih di atas lautan, mudah hancur. Saat itu umat dihinggapi penyakit yang bernama al-Wahn iaitu suatu penyakit yang meracuni umat ini sehingga mereka terlalu cinta kepada dunia dan takut akan kematian.
4. Keempat, orang yang tiada sifat malu, tidak akan malu-malu untuk berbuat apa pun menurut kemahuan hawa nafsunya. Oleh itu, perbuatan dosa dan maksiat adalah agenda utama kehidupan sehariannya, manakala benar dan salah tidak lagi menjadi suatu ukuran dalam hidupnya.
Bila sifat malu tiada, maka dia akan melakukan apa sahaja menurut kehendak nafsunya dan beranggapan bahawa dirinya lebih suci daripada orang lain.
Menurut Abu Hasan Al Mawardi, sifat malu itu ada tiga jenis, iaitu;
i. Malu kepada Allah
ii. Malu kepada manusia
iii. Malu kepada diri sendiri.
5. Kelima, sifat panjang angan-angan pula menunjukkan kekerdilan manusia, kemahuannya lebih tinggi, tidak sesuai dengan kemampuannya yang sebenar, malah dia suka berkhayal dan berangan-angan. Ungkapan yang biasa bermain pada lidahnya ialah seandainya, andai kata, apabila, jika, kalau dan lain lain lagi.
Bahkan, dia banyak menghabiskan waktunya untuk berangan-angan dan berkhayal pada setiap masa, tetapi dia sama sekali tidak melakukan sesuatu. Ironinya, dia beranggapan bahawa khayalan itu benar, indah dan realistik. Orang yang bersikap demikian samalah dengan ibarat pungguk merindukan bulan atau katak ingin jadi kerbau.
6. Akhirnya, dengan kekuasaan dan kekuatan, manusia akan melakukan eksploitasi terhadap orang lain, memeras golongan bawahan dan menindas kelompok yang lemah. Jika perbuatan ini dilakukan secara berterusan, maka akibatnya orang pun terus menerus menanggung kezaliman dan penindasannya.
Demikianlah enam sifat mazmumah yang dapat menghancurkan nilai-nilai ibadah, ia ibarat air di daun keladi, amal yang dilakukan berpahala banyak tapi tertumpah tanpa meninggalkan sebarang bekas. Jika enam sifat tercela ini terdapat dalam peribadi seseorang, maka hendaklah dia berwaspada dan berhati-hati dalam segala tindak tanduknya selaras dengan peringatan Rasulullah SAW dalam hadis di atas.
Oleh DR. ENGKU AHMAD ZAKI ENGKU ALWI
Sumber: Utusan
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments:
tazkirah berguna ni TQ
Manusia akhir zaman lebih malu pada manusia dari malu pada Allh...
aku jadi bunga yang sentiasa disukai hahahah mood sengal :p
http://ch000tz.blogspot.com/2012/01/kucipta-kepulauan-buatmu-hahahah.html
Catat Ulasan