25 Disember 2013
Rahsia Bilik Kebal Muzium Negara
EMPAT galeri utama yang memaparkan sejarah negara ini sejak dari zaman prasejarah sehingga sekarang pasti memukau setiap pelawat yang bertandang ke Muzium Negara. Manusia Perak, Gendang Dong Son, patung Bodhisattva, bukti peninggalan penjajahan dan pencapaian-pencapaian terhebat yang dicapai negara ini merupakan antara artifak-artifak terpenting yang menghiasi galeri pameran.
Dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 1963, Muzium Negara merupakan gedung khazanah sejarah terbesar negara yang mempamer kira-kira 4,000 artifak.
Namun di sebalik apa yang dipamer di galeri utama A, B, C dan D, Jabatan Muzium Malaysia sebenarnya menyimpan ratusan ribu artifak yang amat jarang dipertonton kepada umum.
Selain ruang pameran yang terhad, sebahagian daripadanya adalah barangan yang disimpan kerana mempunyai nilai terlalu tinggi, tidak mempunyai maklumat lengkap dan juga item yang berulang dalam kategorinya.
Maklumat berikut ini adalah laporan wartawan Utusan Malaysia untuk menyelongkar stor penyimpanan artifak Muzium Negara yang menempatkan pelbagai warisan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum negara ini.
Menurut wartawan tersebut, selain melihat himpunan artifak yang hanya dipamerkan pada pameran-pameran khas, peluang berada di dalam bilik kebal Muzium Negara itu sedikit sebanyak turut mengundang perasaan 'gelisah' dan seram.
Seram apabila memikirkan kisah-kisah mistik dan misteri yang sering dikaitkan dengan barang-barang lama. Apatah lagi berada di bilik yang dipenuhi dengan ribuan senjata dan alat muzik lama yang sebahagiannya pernah digunakan dalam aktiviti pemujaan dan pembunuhan.
Setiap satu daripadanya mempunyai cerita dan asal usul yang tersendiri. Sebahagian daripada pengalaman itu sempat diceritakan semula seperti di dalam laporan kali ini.
Sumber: Utusan
Sebahagian artifak berharga negara yang disimpan di bilik kebal Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Konservasi nyawa artifak
BUKAN sekadar objek peninggalan zaman lampau yang disimpan sebagai koleksi, artifak sebenarnya memainkan peranan yang cukup kritikal dalam membuktikan sesuatu sejarah.
Tanpa artifak yang berperanan sebagai rujukan, perkembangan tamadun masa lalu tidak mungkin dapat dihurai secara sahih dan tepat.
Sebagai bukti sejarah terpenting, pengumpulan artifak sama ada berbentuk peralatan, pakaian dan penemuan arkeologi memerlukan penyelidikan dan pemuliharaan yang rumit dan terperinci.
Tanpa usaha itu, artifak terdedah kepada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kemerosotan bahkan dalam sesetengah kes menyebabkan kemusnahan.
Justeru, proses pemuliharaan atau konservasi merupakan 'nyawa' dalam penjagaan artifak muzium daripada unsur-unsur yang boleh menjejaskan sesuatu bahan.
Ketua Penolong Pengarah Pusat Konservasi Muzium Negara, Zamrul Amri berkata, tanggungjawab konservasi adalah untuk memastikan setiap koleksi berada dalam keadaan baik dan terpelihara.
Dalam merealisasikan matlamat itu katanya, setiap konservator memikul tanggungjawab yang penting seperti tugas seorang doktor yang merawat pesakit.
"Menjaga artifak tidak ubah seperti menjaga pesakit. Proses biasanya bermula dengan diagnosis secara terperinci terhadap bahan.
"Kalau parah kita akan masukkan ke unit 'ICU' untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Zamrul berkata, proses konservasi koleksi muzium sama ada bagi tujuan penyimpanan, dokumentasi atau pameran dilakukan melalui penganalisaan, penyelidikan, rawatan dan pemeliharaan.
Katanya, pendedahan berterusan terhadap unsur persekitaran yang memberi tindakbalas seperti habuk, minyak, gas dan juga serangga merupakan sebahagian daripada ancaman yang memendekkan jangka hayat sesuatu artifak.
"Berbanding 20 tahun lalu, kaedah konservasi moden kini dilakukan secara lebih saintifik termasuk pemantauan sistem kawalan suhu, kelembapan, pencahayaan dan makhluk perosak,'' katanya
Selain konservasi, unit beliau juga bertanggungjawab dalam kerja-kerja restorasi bagi mengembalikan sesuatu artifak kepada keadaan asal dengan menggunakan bahan yang hampir sama.
Sumber: Utusan
Tidak kekal dalam stor selamanya
ARTIFAK di dalam stor penyimpanan Unit Repositori Muzium Negara akan dipamer kepada umum secara berperingkat-peringkat.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran artifak-artifak kebudayaan itu akan diadakan melalui penganjuran pameran yang bersifat sementara dan bertema sebagai usaha memeriahkan pameran Muzium Negara.
Ibrahim berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menyimpan artifak yang jarang dipamerkan itu selamanya di dalam stor kerana setiap satu daripadanya mempunyai tarikan tersendiri.
"Sebahagian artifak dari stor simpanan muzium itu akan dipamerkan, cuma untuk menghimpunkan kesemuanya dalam Muzium Negara agak mustahil.
"Justeru kita akan adakan pameran sementara mengikut tema-tema tertentu sebagai nilai tambah kepada pameran kekal yang sedia ada,'' katanya.
Salah satu daripada usaha yang sedang dalam perancangan Jabatan Muzium katanya adalah untuk mengadakan pameran senjata tradisional yang dijangka diadakan tahun depan.
"Penganjuran pameran mengikut tema adalah medium terbaik untuk kita pamer artifak yang selama ini tidak pernah diketahui kewujudannya.
"Pada masa-masa lalu, pameran seperti itu terbukti menarik minat pengunjung untuk melawat muzium secara berulang-ulang.
"Sebelum ini, kita sudah buat pameran hantu, keranda dan topeng yang mendapat sambutan luar biasa,'' katanya.
Mengulas mengenai koleksi artifak simpanan yang jarang dipamerkan itu, Ibrahim berkata, dalam konteks pemuziuman, artifak yang berada di dalam stor simpanan tidak bererti akan terus kekal di situ.
"Ada beza antara artifak untuk pameran tetap dengan pameran sementara.
"Tidak semua artifak sesuai untuk pameran harian kerana ada juga yang disimpan untuk pameran waktu-waktu tertentu,'' katanya.
Sumber: Utusan
Cabaran urus koleksi 'keras'
Memeriksa sebahagian daripada ribuan koleksi senjata tradisional.
SEBAGAI premis penyimpanan pelbagai artifak kuno dan tradisional, Muzium Negara seperti kebanyakan muzium di dunia tidak dapat dipisahkan dengan kisah misteri dan menyeramkan.
Bahkan dalam kalangan masyarakat negara ini sendiri, muzium yang menjadi peti simpanan barang-barang lama sering dikaitkan sebagai tempat 'kediaman' semangat dan roh dari zaman lampau.
Pendaftar Bahagian Pendaftaran Muzium Negara, Mohd. Razaimi Hamat berkata, pengalaman berkhidmat di muzium seumpama bertugas di jabatan yang mempunyai dua bahagian iaitu alam nyata dan alam ghaib.
"Bukan terlalu mahu mempercayai kewujudan alam satu lagi, tetapi saya akui sebahagian artifak di sini berkait rapat dengan amalan mistik yang suatu ketika dahulu sebati dalam budaya masyarakat kita.
"Selain berinteraksi dengan manusia, kami di Jabatan Muzium juga kerap 'berurusan' dengan perkara-perkara misteri yang sukar untuk dibuktikan secara saintifik," katanya.
Walaupun tidak pernah mengalaminya sendiri, Mohd. Razaimi mengakui kerap berdepan dengan situasi yang jelas membuktikan kepercayaan serta amalan mistik menebal dalam budaya masyarakat negara ini.
Beliau yang bertanggungjawab menguruskan perolehan artifak di Muzium Negara berkata, kebanyakan daripada artifak yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah mistik adalah peralatan seperti senjata dan alat muzik yang sering digunakan sebagai alat pemujaan dan pembunuhan.
"Sebab itulah dalam urusan untuk mendapatkan sesuatu artifak, kami kena jaga banyak adab dan pantang larang.
"Ada masanya kami rasa cukup cemas untuk menerima sesuatu artifak kerana latar belakangnya yang agak 'keras','' katanya.
Salah satu daripada pengalaman yang tidak mungkin dilupakan beliau adalah semasa menguruskan penerimaan 'anak kerak' untuk dijadikan salah satu daripada daya tarikan Pameran Hantu pada 2002 dari Selatan Thailand.
Menurutnya, anak kerak merupakan janin bayi lelaki yang dikeringkan untuk diguna dalam amalan memuja dan melakukan santau.
Katanya, kejadian seram tersebut dialami oleh beberapa kakitangan Muzium Kelantan yang ditugaskan membawa artifak berkenaan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
"Dalam perjalanan itu, kereta yang dipandu mereka jadi berat seolah-olah membawa terlebih muatan, sedangkan 'anak kerak' yang dibawa hanya seperti ikan kering sahaja.
"Ada yang dicuit di telinga dan kepala. Apabila sampai di Muzium Negara pada malam itu mereka tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam," katanya.
Mohd. Razaimi memberitahu, sepanjang Pameran Hantu diadakan, pihaknya bertanggungjawab mengumpul seberapa banyak artifak dan peralatan yang mempunyai kaitan dengan hantu.
Dalam kes anak kerak itu ujarnya, pemilik artifak yang dibungkus di dalam kain kuning menetapkan syarat-syarat yang amat khusus kepada pihak muzium dalam penjagaannya.
"Bagi memastikan anak kerak tidak buat kerenah, kita kena sediakan tempat tidur seperti katil, tilam dan buai. Semuanya bersaiz kecil
"Di dalam 'bilik' kecil itu juga, kita kena masukkan semangkuk susu setiap hari sebagai minuman untuk anak kerak.
"Seingat saya ramai juga pelawat yang diserang histeria sepanjang Pameran Hantu pada 2002," katanya.
Mohd. Razaimi berkata, pihaknya juga pernah menerima keranda yang digunakan sebagai tempat pengkebumian masyarakat pribumi Sarawak.
Selain itu, beberapa peralatan dan pakaian yang digunakan untuk persembahan Mak Yong dan Main Puteri yang popular di Kelantan dan Terengganu juga merupakan sebahagian daripada koleksi-koleksi 'keras' di Muzium Negara.
Sumber: Utusan
Artifak jadi 'tawar' dalam stor
ARTIFAK-artifak yang sudah pecah dan musnah dapat dipulihkan semula.
WALAUPUN sering berdepan dengan perolehan artifak yang dianggap 'keras' dan berpenunggu, kakitangan Unit Repositori Muzium Negara seakan-akan sudah kalis dengan tugasan harian mereka.
Saban hari, tanggungjawab pengurusan yang memerlukan mereka menyentuh dan menyusun artifak baharu yang didaftar masuk langsung tidak menimbulkan rasa cemas dan takut.
Alah bisa tegal biasa. Itulah jawapan yang diberikan oleh kebanyakan mereka apabila ditanya tentang perasaan bertugas di bilik-bilik yang dipenuhi artifak kebudayaan yang penuh misteri.
Kakitangan Unit Repositori, Suhaimi Osman berkata, pengalaman ketika mula-mula bertugas di situ memang menyeramkan, namun lama-kelamaan tugas itu menjadi kebiasaan.
Beliau berkata, kebanyakan kakitangan di situ tidak begitu memikirkan kisah-kisah mistik dan misteri kerana percaya barang-barang yang dianggap keras akan menjadi 'tawar' sebaik sahaja dimasukkan ke stor itu.
"Itulah antara nasihat yang sering diperkatakan oleh orang-orang lama kepada setiap pekerja yang baharu ditugaskan ke sini.
"Walaupun tidak dapat dibuktikan kebenarannya, dakwaan itu seakan-akan benar. Sekeras mana pun barang yang dibawa masuk, ia pasti menjadi 'tawar'.
"Mungkin sebab terlalu banyak penunggu di sini. Jadi, masing-masing tidak berani buat perangai," seloroh beliau yang sudah 11 tahun bertugas di unit itu.
Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan keluar masuk artifak sewaktu penganjuran pameran, tuntutan kerja kadang-kala menuntut Suhaimi bekerja sehingga tengah malam.
Beliau berkata, pengalaman menyelongkar artifak di situ pada waktu malam memang lebih menyeramkan, namun beliau tidak pernah terserempak dengan sebarang jelmaan yang menakutkan.
"Mungkin juga 'penghuni-penghuni' di sini sudah lama kenal saya,'' tambahnya.
Bagaimanapun Suhaimi mengakui pengalaman memindahkan rangka manusia prasejarah dari Gua Bewah Terengganu pada lewat tengah malam cukup menyeramkan.
"Malam itu, saya tidak nampak apa-apa cuma rasa seperti diperhatikan oleh seseorang dari jarak dekat. Mungkin ia hanya perasaan saya,'' katanya.
Sumber: Utusan
Khazanah warisan ribuan tahun
ALAT-alat muzik tradisional yang tersimpan di Muzium Negara.
PENGALAMAN melangkah masuk ke dalam stor penyimpanan artifak Muzium Negara seumpama memasuki gua yang dipenuhi dengan harta karun.
Bukan sahaja terpegun melihat susunan artifak yang memenuhi segenap ruang tetapi kesempatan itu dirasakan amat istimewa kerana tidak ramai yang mendapat peluang melepasi bilik kebal tersebut.
Stor penyimpanan yang terletak di Unit Repositori Muzium Negara merupakan lokasi penyimpanan koleksi artifak milik Jabatan Muzium yang jarang dipamerkan di galeri umum Muzium Negara.
Hanya sebahagian kecil daripadanya pernah dipertontonkan melalui penganjuran pameran-pameran khas yang biasanya diadakan secara bertema dan sementara.
Lebih mengagumkan, jika dibanding dengan jumlah artifak yang dipamerkan di galeri Muzium Negara, jumlah artifak tersimpan di stor berkenaan dianggarkan 10 kali ganda lebih besar.
Meskipun tidak mempunyai nilai sejarah yang sehebat artifak-artifak penting di galeri Muzium Negara, koleksi yang ada di bilik berkenaan tetap mempunyai keunikan tersendiri.
Unit Repositori yang dikawal ketat itu dibahagikan kepada empat kategori mengikut jenis artifak iaitu peralatan senjata, alat muzik, tekstil dan seramik.
Pengembaraan penulis di bilik yang dipenuhi khazanah warisan ribuan tahun itu bermula di stor penyimpanan senjata yang menempatkan keris, pedang, tombak dan pelbagai kelengkapan peperangan.
Ditemani Penolong Kurator Kanan unit itu, Suriati Sulong dan Baharom Ahmad, saya menyelak pintu besi bilik untuk melihat apa yang sedang menanti di dalamnya.
Di suatu sudut, Baharom gigih menanggalkan sarung beberapa bilah keris untuk mengecam artifak kegemarannya.
Tidak lama kemudian, beliau mengeluarkan sebilah keris sepanjang kira-kira setengah meter dari bahagian paling atas almari.
Keris lurus seperti pedang itu adalah Keris Penyalang yang digunakan sebagai senjata untuk menyula pesalah-pesalah pada zaman dahulu.
"Walaupun keris ini sudah berusia ratusan tahun tapi kesan karat darah masih ada. Tanda keris ini pernah 'digunakan'.
"Selain Keris Penyalang, ada lagi beberapa keris yang tersimpan di sini dipercayai pernah digunakan dalam ilmu keris terbang," katanya.
Saya turut berkesempatan melihat sebatang tongkat kayu bertatih gading dengan ukiran bermotifkan bunga berwarna emas.
Tongkat yang disimpan di dalam bilik kebal itu tidak lain tidak bukan adalah milik Residen Inggeris pertama, Sir Frank Swettenham yang dipulangkan semula ke negara ini pada 1971.
Pada kesempatan itu juga, saya diberi kesempatan menatap kehalusan sehelai kain dengan hasil tenunan yang cukup luar biasa.
Kain berwarna hijau dan merah yang bertulis ayat suci al-Quran itu adalah kain limar berayat yang berusia ratusan tahun. Tidak diketahui siapa pemilik asalnya namun dikatakan antara koleksi tekstil Melayu yang sangat sukar diperolehi.
Diperbuat daripada sutera dan benang emas, kain limar digunakan sebagai kain penutup keranda khususnya dalam kalangan masyarakat Pantai Timur.
Selain kain limar, sehelai kain cindai yang sedang dalam proses pemuliharaan semula dibentang di atas salah satu meja. Kain cindai yang popular sekitar kurun ke-18 itu diguna sebagai bengkung atau perisai bagi menghalang tusukan senjata tajam.
Pada hari kedua, kunjungan saya ke stor alat muzik ditemani Pendaftar Bahagian Pendaftaran Muzium Negara, Mohd. Razaimi Hamat yang menunjukkan koleksi alat muzik yang amat jarang ditemui.
Mohd. Razaimi merupakan individu yang bertanggungjawab dalam urusan perolehan dan pendaftaran setiap artifak di Muzium Negara.
Beliau berkata, Muzium Negara mempunyai 420,665 artifak namun hanya kira-kira 3,000 berada di ruang pameran.
"Selain ruang pameran yang terhad, pihak muzium mempunyai sebab-sebab lain untuk tidak mempamerkan artifak berkenaan.
"Sebahagian daripadanya ada yang pernah dipamerkan pada pameran-pameran sementara dan bertema,'' katanya.
Bagaimanapun katanya, sepanjang proses perolehan sesuatu artifak, pihak muzium berdepan pelbagai cabaran terutama dalam menentukan keaslian sesuatu artifak.
Salah satu daripada langkah terpenting adalah melalui penyiasatan secara terperinci khususnya terhadap maklumat yang diterima.
"Kita tidak boleh membuat pembelian atau penerimaan secara sembarangan kerana pendaftaran artifak juga perlu mengambil kira maklumat dan fakta yang betul.
"Selain penyelidikan, kita juga menggunakan khidmat pihak ketiga yang pakar dalam sesuatu bidang,'' katanya.
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum,
Sejarah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan