Nuff Atas

28 Februari 2012

Rabun Warna Adalah Penyakit Genetik


Bolehkah anda mengesan nombor yang tersembunyi di dalam rajah di atas ini?

PERNAHKAH anda terfikir mengapa warna biru dan putih menjadi warna latar Facebook? Di sebalik populariti laman web sosial ini, pengasasnya, Mark Zuckerberg sebenarnya lelaki tampan yang rabun warna. Mengikuti temubualnya bersamaTime, banyak warna yang tidak mampu dilihat olehnya termasuk hijau dan merah. Zuckerberg hanya boleh melihat warna biru dengan sempurna.

Namun, Zuckerberg tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuknya memiliki rangkaian kawan dari seluruh dunia. Walaupun penglihatannya tidak seperti orang normal, beliau berjaya menyesuaikan diri walaupun rabun warna.

Mungkin masih ramai lagi tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan rabun warna. Buta warna sebenarnya bukanlah istilah tepat bagi pesakit yang memiliki persepsi berbeza terhadap warna. Dunia mereka tidaklah terhad kepada warna hitam dan putih. Sebaliknya, mereka dapat melihat warna-warna lain cuma tidak dapat mengenal warna-warna tertentu.Sebab itulah kita kategorikan mereka sebagai rabun warna.


Lelaki lebih berisiko

Pakar Perunding Mata Hospital Pantai Ampang , Dr. Go Eng Soon berkata, jenis dan tahap keseriusan rabun warna adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain.

"Dalam hal ini, tiada pengecaman ton warna yang sama antara dua orang penderita rabun warna. Kebanyakan kes rabun warna berpunca daripada faktor genetik," katanya.

Dr. Eng Soon menjelaskan, di belakang mata terdapat satu lapisan nipis yang dikenali sebagai retina. Di lapisan retina terdapat dua jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap cahaya.

"Sel-sel rod sangat sensitif pada cahaya dan mampu bertindak balas terhadap cahaya walaupun dalam keadaan berkabus atau cahaya malap. Bagaimanapun, sel ini tidak dapat membezakan warna .

Terdapat tiga jenis sel kon iaitu setiap satunya bertindak balas dengan warna merah, hijau dan biru. Seseorang yang rabun warna akan mengalami kekurangan salah satu atau lebih sel kon," katanya.

Menurut Dr. Eng Soon, golongan lelaki lebih berisiko mendapat masalah ini khususnya dalam membezakan warna jenis merah-hijau. Ini berlaku kerana gen penyebab defek merah-hijau ini diwarisi oleh kromosom X.

"Disebabkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, maka gen ini bersifat dominan apabila bertemu dengan kromosom lain (Y). Lelaki biasanya mewarisi 'kekurangan' ini daripada ibunya yang merupakan pembawa," katanya.

Sebaliknya, sekiranya ibu ialah pembawa gen rabun merah-hijau (satu X normal dan satu X terubah), anak perempuannya tidak akan mendapat rabun warna tetapi kebiasaannya anak lelaki yang akan mewarisi penyakit genetik tersebut.

Beliau menjelaskan, anak perempuan pula kebiasaannya akan mempunyai penglihatan warna yang normal kecuali jika ibunya ialah pembawa dan ayahnya pula rabun warna .



Bermula daripada kanak-kanak

Walaupun rabun warna bukan satu masalah serius, Dr. Eng Soon berharap golongan ini diberikan sokongan dan pemahaman oleh ahli keluarga. Tambah beliau, pesakit biasanya berada dalam dunia mereka sendiri kerana tidak sedar sebenarnya warna yang dilihat tidak betul. Justeru apabila mereka mengetahui kekurangan tersebut, mereka mungkin rasa terpencil.

"Kita tidak mahu ada pesakit menganggap diri cacat kerana mereka juga boleh berjaya seperti orang lain. Mereka boleh dibantu sekiranya ibu bapa dapat mengesan dari awal," ujarnya.

Dr. Eng Soon menekankan pentingnya pengesanan awal kerana ia boleh mencegah mereka yang mengalami rabun warna daripada membesar dengan kekeliruan warna .

"Sekiranya anda rabun warna, cuba uji penglihatan anak-anak anda. Jika ibu bapa tahu anak mengalami rabun ini, sejak awal lagi bolehlah latih mereka mengingati dan tidak keliru dengan warna.

"Mungkin kita biasa menguji kanak-kanak tentang jenis warna. Jika mereka tidak dapat membezakan contohnya antara merah dan hijau, bawalah berjumpa pakar mata," ujarnya.

Ini kerana tanpa menjalani ujian penglihatan warna dan kepekaan ibu bapa, sukar untuk masalah rabun warna ini dikesan.

Ujian Penglihatan Warna

Beliau menjelaskan, ujian penglihatan warna kebiasaannya dilakukan dengan menggunakan carta yang direka khas untuk mengesan rabun warna hasil ciptaan Dr. Ishihara dari Jepun.


Kepingan Ujian Warna Ishihara.

Ujian Warna Ishihara (Ishihara Color Test) pertama kali direka oleh Dr. Shinobu Ishihara, seorang profesor di University at Tokyo mula diterbitkan pada 1917. Kepingan-kepingan yang digunakan dalam ujian ini terdiri daripada satu bulatan yang terkandung di dalamnya bintik-bintik dengan dengan warna dan saiz yang pelbagai. Kombinasi bintik-bintik pelbagai warna ini menghasilkan nombor-nombor tersembunyi yang tidak akan dapat dibaca oleh seorang yang rabun warna.


Dr. Shinobu Ishihara

"Apabila rabun warna dikesan, ujian selanjutnya akan dijalankan untuk mengesan keterukan rabun warna tersebut dan jenis rabun warna yang dialami," ujarnya.

Setelah diagnosis diperoleh, satu surat khas akan dikeluarkan untuk menyatakan status penglihatan warna bagi orang rabun warna tersebut. Jelas beliau lagi, rabun warna juga boleh berpunca daripada sesetengah jenis penyakit yang dihidapi oleh pesakit dewasa.

"Rabun warna boleh disebabkan faktor penuaan, masalah mata seperti glukoma, katarak dan diabetes, kecederaan mata dan kesan sampingan sesetengah ubat seperti ubat artritis reumatoid," katanya

Apa yang dapat dilakukan


Kita boleh membantu mereka yang rabun warna dengan melabelkan warna

Walaupun rabun warna boleh mengganggu kehidupan seharian seperti memandu kereta atau suai padan pakaian, masih ada cara yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka.

"Kita boleh membantu mereka melabelkan warna. Bagi pemandu, mereka boleh diajar mengenal warna-warna pada lampu isyarat," katanya.

Bagi ibu bapa pula, anda boleh menolong anak anda dengan melabelkan nama warna pada pensel warnanya supaya dia dapat memilih warna yang sepatutnya apabila melakukan aktiviti mewarna. Ini dapat mengelakkan dirinya daripada diejek oleh rakan-rakan.

Dr. Eng Soon menjelaskan, kelemahan ini juga boleh diperbetulkan dengan sejenis cermin mata tinta khas.

"Toyohashi Tech dari Jepun berjaya mencipta satu cermin mata unik untuk membantu mereka yang rabun warna. Namun, ini bukanlah satu kaedah rawatan yang dapat membantu untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal tetapi hanya untuk membolehkan seseorang mengecam warna dengan lebih baik," ujarnya.

Mengenai lesen memandu, kebanyakan negara membenarkan orang yang rabun warna mengambilnya asalkan tiada masalah persepsi atau masalah mata yang lain. Menurut Dr. Eng Soon, mereka selalunya boleh belajar daripada susunan lampu isyarat itu sendiri bukannya melalui warnanya.

Sekiranya seseorang itu gagal ketika mengambil ujian warna semasa mengambil lesen, jangan lekas kecewa dan berputus asa, pergilah mendapatkan pengesahan doktor mengenai tahap kerabunan warna anda. Daripada pengesahan itu barulah pihak tertentu seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan

9 comments:

zureen berkata...

baru zureen tahu mark zuckerberg ni rabun warna.. hee

AienAiril berkata...

salam ziarah perkongsian yg menarik btw jemput lawat disini dan dapatkan barangan muslimah dan koleksi buku2 menarik dr ustaz riduan serta hadiah istimewa.semoga mendapat manfaatnya~ :)
http://e-storebasyirah.blogspot.com/p/pembukaan-e-store-basyirah.html

c'axoera ヅ berkata...

tak rabun pun :p

Detective Fiqa berkata...

err. kalau tak silap no tu 42 ek ? haha

Izyan Yan Cinnamon berkata...

nice..thx for sharing=)

Eurika Afiqa berkata...

waa..baru tau mark tu rabun warna rupanya.. :)

khalila ishak berkata...

sian kan kalau org rabun warna. bersyukurlah bila Allah bg kita nikmat melihat dengan baik ;)

ZouL berkata...

perhh..mark tu rabun warna rupanya ya..hahaha..tak tau lak...Nasb baik ZouL baca kt sini...

teha berkata...

alhamdulillah aku xrabun warne.. hee :)