IKAN arowana, atau lebih dikenali dengan panggilan ikan kelisa dalam kalangan masyarakat Melayu atau dragon fish dan bony-tounged dragon dalam kalangan sesetengah masyarakat Cina merupakan sejenis ikan hiasan air tawar yang mendapat tempat tersendiri di hati peminat ikan hiasan akuarium.
Bukan sahaja bentuk badannya yang menarik, malah ciri-ciri asli yang ada padanya termasuk warna dan kilauan sisik menjadikan ikan itu sebagai salah satu spesies ikan hiasan termahal di pasaran.
Gelaran dragon (naga) diambil sempena sisik dan sesungutnya yang besar, menyerupai naga yang menjadi legenda masyarakat Cina, manakala panggilan bony-tounged pula merujuk kepada tulang bergigi di dasar mulut ikan kelisa.
Walau apa pun gelaran yang diberikan, ikan kelisa mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sehingga diangkat sebagai ikan hiasan dalam kelas A.
Harga ikan kelisa yang tinggi dan kadangkala tidak masuk akal itu dikatakan sebenarnya disebabkan juga kebolehan haiwan itu menentukan 'tuah' pemiliknya.
Menurut seorang pengusaha kedai ikan hiasan, Datuk Chew Seng Lye, mengikut kepercayaan masyarakat Cina ikan kelisa sebenarnya memang berkebolehan untuk memberi petunjuk kepada pemilik sama ada individu berkenaan bakal mendapat kegembiraan ataupun kecelakaan. Kepercayaan tersebut biasanya wujud dalam kalangan masyarakat Cina sahaja yang memang berpegang kuat kepada feng shui.
SENG LYE menunjukkan ikan kelisa yang terdapat di kedai ikan miliknya di Jalan Burma, Pulau Pinang. |
IKAN kelisa jantan bertindak mengeram benih telur daripada kelisa betina sehingga mencapai tempoh matang sebelum dikeluarkan daripada mulutnya. |
Harga induk ikan kelisa bergantung kepada jenisnya, bagi Malaysian Golden Arowana, harga boleh mencecah sehingga RM14,000.
Kebiasaannya ikan kelisa hanya akan makan antara dua hingga tiga kali sehari dan itu bermakna, sebungkus anak ikan bernilai RM1 yang mempunyai 15 ekor sudah cukup untuk dijadikan santapan ikan berkenaan dalam sehari. Selain anak ikan, ikan kelisa juga gemar memakan ulat, katak dan lipan yang boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai menjual ikan perhiasan pada harga yang murah.
_________________________________________________________________
Sementara itu, seorang peminat ikan kelisa, Mohamad Fauzi Rosly memberitahu dia membela ikan kelisa jenis kelisa kuning kerana minatnya terhadap sifat ikan itu sendiri yang nampak gah ketika berenang.
“Ketika saya mula membeli ikan ini pada 4 Januari 2010, saiznya hanya sebesar ibu jari pada harga RM180.
“Sudah setahun ikan tersebut dalam jagaan saya dan saya amat berpuas hati apabila dapat melihat ikan ini membesar setiap hari dan saiznya kini lebih besar daripada tapak tangan saya,” katanya.
Menurut Fauzi, ikan kelisa senang dijaga. Hanya cukup sekadar menggantikan air dan memberikannya makan ulat roti, cengkerik dan lipan yang banyak dijual di kedai-kedai ikan.
“Jika lihat ikan kelisa ini tidak agresif seperti biasa, saya akan menggantikan airnya dan sentiasa sediakan pengepam udara alternatif kalau terputus bekalan elektrik di rumah.
“Sebulan saya hanya memperuntukkan RM20 untuk membeli makanan,” ujarnya sambil memberitahu harga ikan belaannya di pasaran sudah mencecah RM600.
Menyentuh mengenai kepercayaan bahawa ikan tersebut membawa tuah, Fauzi memberitahu dia tidak mempercayai apa yang berlaku dalam hidupnya disebabkan ikan tersebut kerana segala yang terjadi adalah ketentuan Ilahi.
Sumber:
http://www.kosmo.com.my/
__________________________________________________________________
p/s: Apa yang saya paparkan di sini adalah berhubung sesuatu kaum. Kesan daripada kepercayaan tersebut didapati dapat mengubah persepsi dan penilaian orang lain terhadap perkara tersebut. Dalam hal di atas kepercayaan bangsa cina terhadap kebolehan (kuasa) ikan kelisa telah menyebabkan peningkatan terhadap permintaannya, seterusnya menyebabkan harganya meningkat begitu tinggi sekali.
Bagaimanapun sebagai seorang islam, suka saya mengingatkan bangsa sesama islam agar menghindari diri daripada mempercayai bahawa sesuatu benda itu mempunyai kuasa. Adalah wajib untuk kita selaku seorang islam untuk memelihara syahadah agar tidak terbatal seterusnya memelihara keimanan kita terhadap Allah S.W.T. Sesungguhnya tiada kuasa lain yang lebih berkuasa selain daripada Allah S.W.T.
Al Imam Muhammad bin Isma’il Al Amir As Shan’ami Al Yamani, menerangkan:
Barangsiapa berkeyakinan bahwa pohon, batu, kuburan, malaikat, jin, & orang hidup atau mati, semuanya itu dapat memberikan kemanfaatan dan mudarat atau menjadi perantara dalam menyampaikan amal ibadah kepada Allah (tanpa seizin-Nya) dan dalam memenuhi keperluan-keperluan dunia, hanya meminta kepada selain Allah itu dan bertawassul dengan selain Allah itu kepada-Nya maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik dengan selain-Nya dan bererti dia telah ber`itikadnya dengan `itikad yang tidak benar sebagaimana `itikadnya kaum musyrikin terhadap berhala-berhalanya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)
0 comments:
Catat Ulasan