27 Februari 2011

PRK DUN Kerdau, 6 Mac 2011



Nampaknya untuk tempoh 8 hari bermula daripada 26 Februari 2011, Temerloh akan menjadi tumpuan rakyat seluruh Malaysia. Ini berikutan Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau yang akan berlangsung pada 6 Mac 2011.

Pemimpin-pemimpin parti daripada parti yang bertanding akan memenuhi agenda pertemuan dengan rakyat dan ceramah untuk tujuan berkempen bagi menarik sokongan. Rakyat dari merata ceruk-rantau tanpa mengira negeri, daerah dan tempat datang bertandang, berduyun-duyun untuk memberi sokongan moral kepada calon dan parti yang menjadi sokongan mereka.

Sepanjang tempoh tarikh tersebut, penduduk Temerloh dan terutamanya penduduk Kerdau akan merasai suasana yang digelar dengan nama 'Kesesakan Lalu Lintas'. Sepanjang tempoh ini juga ada penduduk yang mendapat rezeki terpijak. Ini kerana rumah teres mereka yang berdekatan kawasan Kerdau disewa dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 seunit. Ada juga penduduk yang berjaya menyewakan rumah banglo mereka kepada petugas parti hingga mencecah kira-kira RM21,000 (Rujuk: bharian). Keadaan luar biasa seperti ini memang jarang-jarang berlaku di kawasan luar bandar seperti Kerdau. Ianya pasti akan tercatat dalam sejarah Kerdau.

Papan Tanda Arah Ke Kerdau

Pada tarikh Penamaan Calon iaitu sabtu 26 Feb 2011, dua individu mewakili dua parti disahkan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Calon Yang Disahkan Bertanding Adalah:

1. Calon BN adalah Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, atau nama jolokannya,Syed Ibra. Beliau merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau. Beliau juga merupakan Pegawai Khas (Hal Ehwal Agama) kepada Menteri Besar Pahang

2. Calon PAS adalah Hassanuddin Salim, 43, Beliau merupakan Ketua Penerangan PAS Pahang.

DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN berkenaan, 15 daripadanya pengundi pos.

Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran/tempat mengundi akan dibuka pada tarikh mengundi. Pusat penjumlahan undi rasmi/pengiraan semula undi akan diadakan di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Kaum Melayu merupakan pengundi majoriti di kawasan berkenaan iaitu 88.77 peratus (7,988 pengundi), Cina 5.05 peratus (454), India 3.31 peratus (298 orang), Orang Asli 2.62 peratus (236 orang), lain-lain 0.24 peratus (22) dan seorang wakil bumiputera Sarawak

Jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus.

Ia merupakan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin daripada BN menewaskan calon Pas Hassanuddin dengan undi majoriti 1,615.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau di Pahang dan DUN Merlimau di Melaka akan diadakan serentak pada tarikh yang sama.

DI MERLIMAU, BN diwakili Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad, 44, manakala calon Pas, Timbalan Ketua Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah, 38.

p/s: Selamat mengundi kepada penduduk-penduduk kawasan DUN Kerdau. Pilihlah dengan akal waras calon pemimpin yang terbaik di kalangan yang terbaik, calon pemimpin yang sebaiknya dan sepatutnya dipilih demi kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Yang membawa kemajuan di dunia dan kemajuan di akhirat. InsyaAllah...

Temerloh Bandar Ikan Patin. Dengan ini koi mengambil kesempatan untuk mempromot apa yang spesial di daerah dan kampung halaman anak-anak koi ni. Kepada para tetamu yang berkunjung, datang bertandang atau singgah ke Temerloh, jangan lupa cari dan makan 'Ikan Patin Lemak Tempoyak'. Rasa sekali nak lagi. Sedap hingga menjilat jari....

Kehangatan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini ternyata membawa limpahan rezeki kepada golongan pengendali gerai dan restoran yang menghidangkan "menu wajib" iaitu masakan ikan patin tempoyak.

Seorang peniaga memaklumkan bahawa, sepanjang kempen pilihanraya DUN Kerdau pihaknya perlu memasak kira-kira 100 kilogram ikan patin sehari berikutan sambutan terhadap masakan berkenaan. Harganya yang dikenakan pula berpatutan iaitu RM10 bagi satu hidangan. (Rujuk: Bharian)

Rujukan:
http://www.sinarharian.com.my/

Keputusan PRK DUN Kerdau:
DUN Kerdau: BN 5,060 undi, PAS 2,336 undi, majoriti 2,724 undi (Rujuk: Bharian)

1 comments:

Kak Mahh berkata...

Suka tengok pilahanraya ni...