08 Februari 2011

Teh Rasa Begitu 'Perisa' Di Puncak Cameron Highlands

Oleh Zulkiple Ibrahim


CAMERON HIGHLANDS, 8 Feb (Bernama): "Pernah minum teh di puncak Cameron Highlands? Orang kata kalau minum teh di sana, rasanya lebih sedap".

(Cameron Highlands atau dikenali juga sebagai Tanah Tinggi Cameron, yang terletak di Banjaran Titiwangsa, adalah antara tiga resort tanah tinggi yang popular di negara ini. Dua lagi ialah Genting Highlands dan Bukit Fraser).


NAIK CAMERON HIGHLANDS

Ada dua laluan untuk naik ke resort tanah tinggi itu.

Laluan pertama ialah dari Simpang Pulai. Jalannya dalam keadaan baik, lebar dan merentas sempadan negeri Perak-Pahang. Selepas berada di sebelah negeri Pahang, pelawat sudah memasuki kawasan Cameron Highlands iaitu satu daerah yang paling kecil dalam negeri Pahang.

Laluan kedua ialah jalan naik dari Tapah. Jalan ini adalah laluan lama, sempit dan bengkang-bengkuk seperti ular kena palu. Sepanjang jalan Tapah-Cameron Highlands ini, anda boleh bertembung banyak lori yang membawa sayur serta produk pertanian lain untuk dihantar dari ladang di Cameron Highlands ke bandar-bandar utama serta kawasan lain di Semenanjung.

"Apa kata kalau kita berhenti di kedai teh," kata seorang saudara lelaki ketika konvoi kereta yang membawa penulis mendaki jalan Simpang Pulai-Cameron Higlands menuju ke resort tanah tinggi itu.

Kami berhenti untuk kali pertama di rumah teh Ladang Bharat yang terletak hanya beberapa kilometer dari Kampung Raja. Rasanya begitu enak walaupun harga secawan ialah RM3 dan bagi satu teko, RM16.

"Ada beberapa ladang teh di Cameron Higlands kepunyaan dua syarikat iaitu Boh dan Bharat", kata seorang pekerja di rumah teh itu.

ORANG KURANG UPAYA, PENGINAPAN

Tiga pekan utama di Cameron Highlands adalah Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet. Terdapat juga kawasan petempatan penduduk di Ladang Kea, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.

Terdapat banyak hotel serta rumah penginapan dan apartmen persendirian untuk disewa di sini. Antara hotel itu ialah Strawberry Park Resort, Titiwangsa, Equatorial, Heritage, Lakehouse dan Rossa Pasadena.

Equatorial dan Heritage mempunyai lif serta kemudahan seperti laluan kerusi roda untuk Orang Kurang Upaya (OKU)

Penulis dan keluarganya menginap di Greenhill Apartments (yang juga ada lif) di Tanah Rata.

Pekan utama yang juga merupakan pusat pentadbiran Cameron Highlands adalah Tanah Rata. Terdapat bank, kedai serta restoran, medan selera, chalet dan hotel di pekan ini.

Suasana tenang di sini memang menarik dan pelancong dapat menilai keindahan keadaan ini. Selepas seharian 'mengembara' di sini, seperti bersiar-siar di ladang teh atau melawat taman kupu-kupu, pelancong asing boleh menuju ke pub-pub ala Inggeris dan menikmati makanan British di situ.

(Terdapat banyak bangunan yang mempunyai bentuk serta ciri-ciri kolonial di Cameron Higlands. Resort peranginan tanah tinggi ini masih mempunyai sih 'suasana' seperti perkampungan di England).

http://3.bp.blogspot.com/_hPTuAT-8kPU/SfJ2ify14_I/AAAAAAAAAq0/tXZ_vvvurxg/s400/ladang+teh+3.jpg

LADANG TEH
 
Terdapat dua syarikat perladangan teh di sini. Satu daripadanya ialah Boh yang terkenal di seluruh dunia. Boh mempunyai ladang teh seluas 3,237.6 hektar di Habu dan Sungai Palas, manakala Kumpulan Bharat yang mengeluarkan teh di bawah label Cameron Valley mempunyai ladang di antara Brinchang dan Tanah Rata.

Ladang teh Bharat adalah lebih kecil, seluas 809.4 hektar.

Penulis melawat ladang teh Boh di Habu, terletak antara Tanah Rata dan Ringlet. Lokasi ladang ini tujuh kilometer dari jalan besar Tanah Rata-Ringlet dan jalan naik ke tempatnya melalui kawasan bukit-bukau yang curam manakala jalannya pula sempit dan berliku-liku. Di beberapa tempat, jalan itu hanya membenarkan hanya satu kenderaan melaluinya.

Bila menuju ke puncak bukit di ladang Boh ini, di sebelah kiri jalan di penuhi dengan ladang tanaman sayur manakala di sebelah kanannya tanah berbukit yang penuh dengan pokok teh.

Menghampiri puncak bukit, pemandangannya sungguh menakjubkan. terdapat 'lautan' pokok teh di lembah serta bukit-bukau di kiri kanan jalan. Betul-betul di atas puncak bukit, terdapat sebuah rumah teh dan juga kilang memproses daun teh kepunyaan Boh.

Penulis tidak berlengah lagi melawati rumah teh itu yang turut menghidangkan minuman teh serta menjual pelbagai cendera hati daripada produk teh.

Dibandingkan pula dengan rumah dan kedai teh yang dikendalikan Bharat lebih mudah dituju. Terdapat dua kedai teh syarikat ini di tepi jalan antara Brinchang dan Tanah Rata.

Tentang rasa teh di sini, penulis mendapati ia memang lebih sedap dan perisa jika dibandingkan dengan minuman teh di tempat lain.

Mungkin kerana iklimnya yang dingin selain angin bukit yang sejuk dan menyegarkan.

Terdapat pelbagai jenis produk teh Cameron Highlands yang berlainan rasa seperti teh rasberi, strawberi, pic serta cengkih. Antara produk Boh ialah 'teh songket' manakala Bharat pula mengeluarkan 'Earl Gray' di bawah label Cameron Valley.

Ya, minum teh di puncak Cameron Higlands memang begitu menyegarkan.
- BERNAMA
 
Sumber:
http://www.bernama.com
   
p/s: Benarkah sedemikian sedap teh di puncak Cameron Higlands? Yang pasti kita kena mengalaminya sendiri, baru tahu kebenarannya.

0 comments: