Nuff Atas

31 Mac 2011

Malaysia Vs Lubnan (Pusingan Kedua Kelayakan Sukan Olimpik)



KUALA LUMPUR, 30 Mac 2011, Malaysia akan bertemu Lubnan pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2012 London.

Skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee akan bertandang ke Lubnan pada 19 Jun dan akan menanti kedatangan lawan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Jun.

Negara timur tengah itu memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.


Di atas kertas dalam ranking Fifa, Malaysia berkemungkinan tiada masalah bertandang ke bumi Lubnan kerana Malaysia kini berada di tangga ke-138 dunia dan ke-21 Asia sementara Lubnan kini berada dalam ranking 169 dunia dan 32 di Asia.

Ong yang ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, Rabu bagaimanapun mengakui perlawanan menentang Lubnan pastinya getir kerana kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sebelum ini.

"Kita tidak tahu corak permainan mereka dan akan menganalisa dahulu serta membuat perancangan latihan pusat. Selain itu kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Syria ataupun Bahrain bagi memantapkan Skuad Olimpik Negara. Kita memilih Syria atau Bahrain kerana mahu membiasakan anak buah dengan cuaca di sana, yang sama seperti cuaca di Lubnan," katanya.

Beliau berkata terdahulu pihaknya mempunyai cadangan untuk membuat latihan pusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau Qatar tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana cuaca yang terlalu panas di sana tidak sesuai untuk anak buahnya.

Ong berkata jika salah satu negara sama ada Syria atau Bahrain bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk membuat latihan di sana, skuad Olimpik negara akan berlepas pada 8 Jun untuk membuat latihan pusat sehingga hari perlawanan itu.

"Saya akan menumpangkan enam atau tujuh pemain saya bermain bersama skuad K Rajagobal (Harimau Malaya) pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada awal Jun.

Namun beliau tidak menyatakan nama-nama pemain yang akan bersama skuad Harimau Malaya nanti yang akan bertanding pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada Julai.

Skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Ong Kim Swee, melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Sumber: bernama.com.my

0 comments: