31 Mac 2011

Adenovirus Ragut Nyawa Ketiga di Pulapol

Korban Ketiga Adenovirus.



30 Mac, 2011 - Seorang lagi pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur meninggal dunia akibat jangkitan adenovirus kelmarin, menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat serangan virus itu menjadi tiga orang setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengesahkan kes itu berkata, mangsa ketiga yang maut akibat jangkitan itu berasal dari Bagan Datoh, Perak, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam 30 Mac, 2011.


Tiong Lai berkata, mangsa, Konstabel Mohammad Siman, 23, telah dimasukkan ke hospital itu sejak 3 Mac lalu dan meninggal akibat organ dalamannya gagal berfungsi.

"Kes ini bukan kes terbaru dan kali terakhir kita menerima laporan pelatih dijangkiti adenovirus ialah pada 19 Mac lalu.

"Justeru, kita masih menunggu jika ada lagi yang dijangkiti atau tidak selepas itu sebelum boleh mengisytiharkan Pulapol bebas daripada jangkitan selewat-lewatnya 2 April ini (Sabtu)," katanya kepada pemberita semalam.

Sebelum Mohammad, jangkitan virus tersebut telah meragut nyawa Konstabel Mohd. Azizan Azidi, 25, dan Inspektor Mohd. Redzuan Ishak, 26, pada awal bulan lalu. (Rujuk: kosmo.com.my)



Gejala Adenovirus

Adenovirus dikatakan sekumpulan virus yang berasal dari kelenjar Adenoid dalam kepala berdekatan rongga hidung yang berfungsi melindungi serangan penyakit, tetapi boleh menyebabkan jangkitan pada lapisan tisu saluran pernafasan, mata, usus dan saluran kencing.

Jangkitan Adenovirus biasanya menyebabkan penyakit membabitkan sistem pernafasan, namun ia juga boleh menyebabkan cirit birit, jangkitan selaput mata, jangkitan usus dan ruam serta masalah pernafasan akut (ARD).



Pengamal perubatan, Dr S Thiru, berkata Adenovirus yang tersebar melalui rembesan atau titisan yang keluar dari saluran pernafasan, memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.

“Virus mula agresif bila antibodi rendah dan lemah. Biasanya, ia tidak bertindak balas kepada antibiotik kecuali ada gabungan jangkitan virus dan bakteria,” kata doktor sukarelawan itu yang pernah mengikuti misi kemanusiaan di beberapa negara dunia ketiga dan membangun, termasuk Palestin dan Pakistan.

Dr Thiru berkata, antara simpton awal jangkitan Adenovirus ialah demam panas, batuk, cirit-birit dan hilang selera makan sebelum pesakit mengalami komplikasi penyakit yang lebih serius seperti masalah pernafasan teruk dan radang paru-paru. (Rujuk: bharian.com.my)



Punca Adenovirus Di Pulapol

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan keracunan makanan dan faktor persekitaran yang kurang bersih adalah antara punca penularan jangkitan Adenovirus yang menyebabkan kematian pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak.

Malah, Sungai Bonus yang mengalir di dalam pusat latihan tersebut dikatakan boleh menyumbang kepada punca merebaknya adenovirus. Serangan adenovirus adalah berpunca daripada kencing tikus. (Rujuk: utusan.com.my)

Sementara itu, Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Lokman Hakim Sulaiman, ketika dihubungi Berita Harian, berkata gaya hidup kurang sihat dan sistem pengaliran udara tidak terancang punca utama menularnya jangkitan Adenovirus di PULAPOL.

“Adenovirus bukan virus atau penyakit misteri, sebaliknya ia biasa menjangkiti orang ramai dalam bentuk jangkitan pernafasan, radang selaput mata serta radang pundi kencing. Cuma dalam kebanyakan masa ia tidak serius,” jelasnya.

Beliau berkata, Adenovirus terdiri daripada kumpulan virus sangat besar iaitu lebih 52 jenis virus boleh menyebabkan pelbagai penyakit lazim termasuk tonsil, kelenjar adenoid dan masalah usus malah individu dijangkiti tidak menunjukkan gejala serius dan akan pulih jika menerima rawatan segera. (Rujuk: bharian.com.my)

2 comments:

mykhalis berkata...

semakin menjadik2 dengar pasal kes nie.. semoga tak tersebar ke kawasan berhampiran

Unknown berkata...

risau la sy dgn kes2 mcm ni..
org zaman dulu2 takde pun mati tragis sakit2 mcm zmn skrg. pelik pun ada..

jom baca 5 blog paling kerap dilawati 2011

ops sy bw sini ye.