27 April 2011

Jangan Sombong Dengan Takdir (Bhgn 1)

Artikel ini sangat panjang. Untuk membolehkan kita membacanya dengan teliti di samping menghayati peringatan yang disampaikan oleh penulis, maka saya bahagikan artikel ini kepada dua bahagian.

Berikut ini adalah pesan penulis:

Selalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.

Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...

Jangan Sombong Dengan Takdir




Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.


Iblis

Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu... syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih 'senior' dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina... seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka... kerana gugur sifat kehambaannya!


Takdir Dan Iman Kita

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat? Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha?

Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.

Katakan, "ya Allah... sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hamba-Mu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."




Takdir Mengatasi Tadbir

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.

Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan 'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.

Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?


Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

p/s: Akan Bersambung

Oleh: Pahrol Mohd Juoi
Sumber: www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1324-jangan-sombong-dengan-takdir.html

0 comments: