01 April 2011

Jepun Angkat Bendera Putih Dalam Krisis Nuklearnya.

Ini bukan April Fool....


SEBUAH bangunan di loji Fukushima Daiichi dikelilingi palang-palang besi yang rosak dalam gempa bumi pada 11 Mac lalu.

Jepun akhirnya mengaku kalah dalam usaha mengekang pencemaran radiasi di empat reaktor nuklear loji Fukushima Daiichi yang rosak dan akan menutup kesemua reaktor berkenaan.

Beberapa pegawai berkata, dalam sedikit masa lagi, semua bekalan kuasa ke reaktor-reaktor itu akan ditutup, manakala usaha untuk menyejukkan batang-batang bahan api nuklear akan dihentikan.


Langkah terakhir, melibatkan proses mencurahkan bertan-tan konkrit untuk menimbus reaktor-reaktor itu. Sekali gus memastikan tiada radiasi yang bocor keluar.

Perkembangan itu berlaku selepas agensi keselamatan nuklear Jepun mendedahkan bahawa bacaan radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi melonjak sebanyak 4,385 kali ganda berbanding takat yang dibenarkan.

Pengumuman dramatik tentang penutupan semua empat reaktor itu dibuat pada Selasa lalu oleh Pengerusi Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), Tsunehisa Katsumata yang mengendalikan loji nuklear tersebut. .

Loji Fukushima Daiichi terletak sekitar 240 kilometer dari ibu negara Jepun, Tokyo.

Katsumata berkata, beliau berasa kasihan kepada orang ramai yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka atau terpaksa tinggal di dalam rumah disebabkan oleh krisis nuklear berkenaan.

"Saya memohon maaf kerana kesusahan dan ketakutan yang berlaku akibat kebocoran radiasi ini. Kami telah gagal untuk menyejukkan reaktor-reaktor terbabit. Tetapi kami melakukan usaha paling maksimum untuk menstabilkan keempat-empat reaktor itu," kata Katsumata.

Krisis nuklear bermula selepas sistem penyejukan reaktor-reaktor nuklear di loji Fukushima Daiichi rosak akibat gegaran kuat gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter yang melanda pada 11 Mac lalu, disusuli oleh tsunami.

Tidak lama kemudian, beberapa letupan dan kebakaran menyebabkan kebocoran radiasi berlaku di loji tersebut.

Setakat kelmarin, tahap radiasi di dalam laut sekitar loji Fukushima Daiichi ialah 3,355 kali ganda daripada bacaan normal.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang jurutera nuklear Amerika Syarikat (AS), Michael Friedlander memberitahu stesen televisyen CNN bahawa dia bimbang kesan pencemaran air laut yang berlaku.

"Plankton menyerap radiasi, ikan memakan plankton, ikan besar pula memakan banyak ikan kecil. Justeru, kandungan radiasi akan berlaku dalam rantaian makanan," katanya.

Aktiviti menangkap ikan kini dilarang dalam lingkungan sekitar 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi. - Agensi

Sumber: Kosmo

p/s: Yang pastinya ikan yang berasal daripada Fukushima akan bergerak lebih jauh lagi iaitu melebihi daripada 20 km.

Jadi ...........

Mmmmmmmmm.....

Kesian nko ikan.. tetiba jer aku rasa tak nak makan ikan made in Japan yang mengandungi 'khasiat' yang berlebihan...
_____________________________________________________________________

Sementara itu, 50 pekerja logi nuklear dikatakan sanggup untuk mati


GAMBAR yang disiarkan pada 24 April lalu menunjukkan kemusnahan loji nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang rosak akibat gegaran gempa bumi.

Ibu salah seorang pekerja loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak akibat gegaran gempa bumi kuat menyatakan anaknya dan pekerja lain menjangkakan mereka akan meninggal dunia akibat terkena radiasi tinggi.

Anaknya itu merupakan antara 50 pekerja loji jana kuasa nuklear tersebut yang terdedah pada kadar radioaktif yang tinggi semasa melakukan kerja-kerja untuk menyejukkan reaktor selepas rosak akibat gegaran kuat hempa bumi pada 11 Mac lalu.

Gegaran kuat itu berlaku akibat gempa bumi yang berlaku di timur laut Jepun dekat dengan loji nuklear tersebut yang mencetuskan ombak tsunami.

Menurut ibu tersebut, semua pekerja yang berhempas-pulas menyelamatkan loji tersebut daripada menyebarkan radiasi menjangkakan mereka akan meninggal dunia dalam tempoh beberapa minggu lagi.

"Anak lelaki saya dan rakan-rakannya telah membincangkan dengan panjang lebar dan mereka komited untuk mati jika ia perlu untuk menyelamatkan negara.

"Dia (anak lelakinya) telah menerima sepenuh hati bahawa mereka kemungkinan akan mati akibat sakit disebabkan radiasi dalam tempoh jangka pendek atau kanser dalam tempoh jangka panjang."

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam berkata, kebocoran radiasi daripada loji Fukushima Daiichi tidak membawa kesan terhadap kesihatan awam kecuali rakyat mematuhi nasihat kerajaan pada setiap masa.

Negara itu juga buat kali telah menemui tahap radiasi melebihi paras selamat dalam daging-daging lembu berhampiran kawasan larangan loji nuklear.

Kementerian Kesihatan Jepun menjelaskan bahawa 510 becquerels sesium radioaktif dikesan dalam daging lembu dari Tenei, wilayah Fukushima, kira-kira 70 kilometer dari loji nuklear tersebut.

Sumber; Kosmo


GAMBAR oleh Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) menunjukkan keadaan empat reaktor nuklear Fukushima Daiichi yang rosak setakat 2, April 2011.

Seorang pakar nuklear memberi amaran pencemaran radiasi daripada loji nuklear Fukushima Daiichi akan berterusan kerana batang-batang bahan api nuklearnya mengambil masa hingga 100 tahun untuk sejuk.

Bekas anggota dasar keselamatan nuklear Britain, Dr. John Price berkata, tempoh itu diperlukan sebelum batang-batang nuklear itu sejuk dan selamat untuk dipindahkan.

"Cara sekarang (untuk menyejukkan batang-batang nuklear tersebut) iaitu menyemburkan air ke dalam reaktor-reaktor itu kurang berkesan, kerana air kembali mengalir keluar akibat kebocoran dan menyebabkan pencemaran radiasi terus berlaku. Perlu ada cara supaya air yang dipam itu kekal di dalam reaktor-reaktor nuklear tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beribu-ribu mayat mangsa bencana gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu masih belum dipungut kerana mayat-mayat itu didapati dicemari tahap radiasi yang tinggi.

Setakat ini, 11,500 orang disahkan terkorban dengan 16,400 lagi masih hilang dan peluang untuk menemui mayat mereka amat tipis.

Tiga minggu selepas bencana itu berlaku, sejumlah 260,000 kediaman di timur laut Jepun masih terputus bekalan air manakala 170,000 rumah lagi terpaksa bergelap.

Sumber: Kosmo

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

kesian ikan tu. kne gerak laju2 utk selamatkan diri. eh yeke? hee