26 Mei 2011

Kitar Semula Sisa Sayur dan Buah

Berbagai pekerjaan boleh dilakukan untuk mencari rezeki yang halal. Demi sesuap nasi dan kelangsungan hidup, segala kesusahan tabah dihadapi.

Dalam fikiran anda berdasarkan pengalaman atau pembacaan, mungkin terlintas bahawa terdapat segelintir manusia yang membongkar sisa-sisa makanan untuk keperluan diri mereka sendiri demi kelangsungan hidup.

Barangkali tidak terfikir dalam kepala anda bahawa terdapat segelintir manusia yang kerjanya membongkar sisa-sisa sayuran dan buah-buahan. Dan kerja-kerja ini bukan semata-mata mengisi kekosongan perut mereka sendiri malahan mampu pula menjana wang sumber pendapatan bagi golongan ini.



Rajah diatas menunjukkan warga asing mengutip sayur yang dibuang untuk dijual semula di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur. Sayur-sayuran yang dikutip ini kemudiannya dijual kepada pengusaha restoran.


KUALA LUMPUR: Timbunan buah-buahan lisut dan sayur reput menjadi sumber pendapatan segelintir pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) yang 'berkampung' di pekarangan kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Lobak putih, timun, cili merah, daun pudina, terung, daun salad, telur puyuh dan pisang yang dibuang di tapak pembuangan sisa pepejal disediakan pengurusan PBKL akan dicuci dan dibersihkan supaya kelihatan segar dan selamat dimakan.

Sayur dan buah-buahan itu menjadi pilihan sesetengah pengusaha restoran di sekitar ibu kota, malah sambutan menggalakkan diterima berikutan tindakan pengusaha restoran mengurangkan kos bahan mentah bagi menjalankan operasi perniagaan.

Pelarian Myanmar, Mohd Jamal, 45, adalah antara mereka yang menjadikan buah-buahan dan sayur dibuang pembekal atau pemborong sebagai sumber rezeki untuk menyara isteri dan dua anak lelakinya.

Jamal yang turut mengambil upah menghantar barang dibeli pemborong dan pengusaha restoran, tidak berasa jijik mengutip sisa buah-buahan dan sayur terbuang untuk dicuci dan dibersihkan sebelum dijual dengan harga lebih murah kepada orang awam atau pengusaha restoran berminat.

“Ada pengusaha restoran membeli sayur mentah terbuang untuk dimasak dan dijual kepada pelanggan. Saya tidak menganggap sayur itu sampah kerana keadaannya masih elok dan boleh dimakan,” katanya.

Jamal berkata, permintaan untuk sayur dan buah-buahan terbuang sentiasa ada kerana peniaga akan mendapatkan stok bahan mentah tanpa mengira waktu.

Fatimah Abdul Hakim, 23, pelarian dari Myanmar yang bermastautin di Malaysia lebih tujuh tahun pula menjadikan surat khabar lama sebagai sumber pendapatan hidupnya dan anak lelaki, Akhbar Shah Zubair,4.

“Suami berada di Jerman dan saya mesti pandai hidup berdikari. Cabaran sebagai peraih surat khabar lama di sini tidak banyak, cuma jika hujan, ia menjadi lembap tetapi tetap dibeli kilang yang memproses semula surat khabar lama untuk dijadikan kertas,” katanya.

Dengan pendapatan lebih RM80 sehari, Fatimah mampu menyewa bilik di kawasan perumahan berdekatan dan menghantar anaknya ke tadika serta hidup ala kadar namun selesa.

Tinjauan Berita Harian mendapati longgokan sampah mengeluarkan bau kurang menyenangkan tidak menjadi halangan kepada mereka memilih sisa sayuran dan buah-buahan untuk dikitar dan dijual dengan harga lebih murah.

Sementara itu, jurucakap UNHCR, Yante Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya peka terhadap perkembangan tidak sihat yang membelenggu pelarian dan kebajikan keluarga mereka.

Sumber: BHarian

p/s: Apa yang ada dalam fikiran anda sekarang??

Dalan fikiran saya, jika saya telah mengenalpasti restoran tersebut, pastinya restoran tersebut tidak akan saya kunjungi. Barangkali kerana situasi kehidupan kita yang agak selesa telah menyebabkan wujudnya rasa jijik kepada sesuatu yang berasal daripada timbunan sampah. Walaupun ia berkeadaan baik dan hakikatnya bersih setelah dicuci.

Anda pula bagaimana??

1 comments:

NJihe.am berkata...

kalau di kanada setiap rumah ada tong kitar semula, satu beg plastik hitam shj utk sisa2 lain. Kalau tuan rumah salah mengkategorikan sampah, pemungut sampah takkan kutip...tak macam di Malaysia, jauh sekali pandangan kita ttg kitar semula..sayur n buah tu buat baja la gi bagus kalau x lalu nk makan. http://studioous.blogspot.com/