26 Mei 2011

Sembilan Lagi Sekolah Diiktiraf SBT

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan sembilan lagi sekolah membabitkan tujuh buah sekolah menengah dan dua sekolah kebangsaan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua bagi Kumpulan Kedua, menjadikan jumlah SBT pada tahun ini sebanyak 32.



Muhyiddin berkata sembilan sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban; Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak.

Selain itu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Agama Naim LilBanat, Kota Bharu.

Bagi kategori sekolah rendah, pengiktirafan SBT diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sibu.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diberikan status SBT tahun ini ialah 50 sekolah.

"Ia dicapai melalui program handholding atau bimbingan kepada sekolah-sekolah yang berpotensi, yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan masing-masing untuk mencapai status SBT," katanya pada majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2, di sini, hari ini.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong. Sebanyak 20 sekolah telah diumum sebagai SBT Kohort Pertama pada tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah SPT setakat ini 52 di seluruh negara.

Muhyiddin berkata terdapat SBT yang dilawati oleh negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penandaarasan.

Katanya ini membuktikan bahawa sekolah ini telah berjaya menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.
Beliau berkata pengiktirafan SBT tertakluk kepada satu set KPI merangkumi bidang akademik (50 peratus), kokurikulum (30 peratus), Jaringan dan Jalinan (10 peratus) dan Etos & Watak Sekolah (10 peratus).

Sumber: BHarian

SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan selain mempunyai tradisi budaya kerja sangat tinggi, cemerlang dengan modal insan berkembang secara holistik serta mampu bersaing di peringakt antarabangsa.

Rasionalnya ialah ia dapat mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik melalui tahap autonomi yang membolehkan mereka melaksanakan inovasi dalam pengurusan; menghasilkan murid cemerlang dan berpersonaliti unggul dalam bidang diceburi serta membina visi yang memberi inspirasi kepada sekolah lain.

Kementerian Pelajaran sebelum ini menyenaraikan 20 buah SBT dalam kohort satu membabitkan 14 buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah.

Muhyiddin berkata, kecemerlangan pencapaian pelajar amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang kompetitif selari dengan wawasan negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Sumber: Utusan Online

0 comments: