14 Mei 2011

Nabi Musa Menuntut Ilmu Dengan Nabi Khidir

Oleh Ibrahim Abdullah



PADA suatu hari, Nabi Musa berpidato di hadapan kaumnya sambil mengingatkan supaya taat kepada Allah.

Selesai berpidato, ada seorang lelaki bertanya: “Siapakah manusia sekarang ini yang paling pintar?"

Nabi Musa menjawab: Akulah manusia yang paling pintar sekarang ini.”

Disebabkan kata-kata itu, Allah menegurnya dengan mengatakan: “Bahawa ilmu itu sangat luas dan ilmu tidak hanya Aku berikan kepadamu saja. Ada lagi manusia yang lebih pintar daripada engkau yang bertempat tinggal di antara dua lautan. Ia adalah hamba-Ku yang soleh dan lebih pintar daripada engkau.”

Musa berkata: “Wahai Tuhanku, bagaimana aku dapat bertemu dengannya? Allah SWT menjawab: “Bawalah ikan Hut (ikan yang besar) dengan keranjang. Di mana ikan itu hilang, di situlah dia berada.” Maka pergilah Nabi Musa membawa ikan Hut itu dengan ditemani muridnya.


Ketika Musa dan muridnya tiba di permukaan dua laut, maka duduklah mereka untuk berehat, lalu Nabi Musa tertidur.

Dalam pada itu turunlah hujan membasahi ikan itu. Tiba-tiba ikan itu hidup (yang sebelumnya mati), berenang menuju air laut.

Diringkaskan cerita, tiba-tiba mereka menjumpai hamba soleh itu.
Kemudian Musa meminta kepadanya (Khidir) supaya mengizinkan untuk menemaninya supaya dapat dia mengambil ilmunya.

Hamba soleh itu menjawab, Musa tidak akan sanggup bersabar menemaninya. Musa memohon untuk ikut bersama sambil berkata: “Insya-Allah engkau akan mendapatkan diriku bersabar atas segala tindakan, perbuatanmu dan tidak akan membantahmu.”

Di tengah perjalanan, Khidir membocorkan perahu milik orang. Musa berkata: “Mengapa engkau bocorkan perahu ini, yang akibatnya penumpangnya semua akan karam? Sesungguhnya kamu telah berbuat suatu kesalahan besar.” (Surah al-Kahfi, ayat 71)

Khidir menjawab: “Bukankah aku telah berkata, sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan bersabar bersama denganku?” (Surah al-Kahfi, ayat 72)

Musa yang menyedari syarat atau perjanjian itu berkata: “Jangan engkau menghukum aku kerana kesilapanku, dan janganlah engkau membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.”

Musa dan Khidir meneruskan perjalanan sehingga berjumpa dengan seorang anak, maka dengan segera Khidir membunuh anak itu.

Musa berkata: “Mengapa engkau bunuh jiwa yang bersih dan tidak bersalah itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya engkau telah melakukan sesuatu yang mungkar.” (Surah al-Kahfi, ayat 74)

Khidir menjawab: “Bukankah telah aku katakan kepadamu bahawa sesungguhnya engkau tidak akan dapat bersabar dan tidak sanggup bersamaku?” (Surah al-Kahfi, ayat 75)

Mereka meneruskan perjalanan hingga berasa letih dan lapar. Kemudian memasuki sebuah kampung dan meminta makanan daripada penduduk kampung itu.

Tetapi tidak diberi penduduk dan mereka diusir dengan kasar.

Ketika menyusuri jalan dilalui tadi, tiba-tiba mereka menjumpai dinding rumah yang hampir roboh.

Maka Khidir memperbaiki dinding itu. Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya.” (Surah al-Kahfi, ayat 77)

Pada masa hendak berpisah, Khidir menjelaskan kepada Musa mengenai perlakuannya: “Perahu itu milik orang miskin yang bekerja di laut. Aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana ada seorang raja yang merampas perahu yang tidak cacat.

Anak itu, kedua-dua ibu bapanya adalah orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

Aku berharap Tuhan menggantikan dengan anak yang lebih baik dari anaknya itu dan lebih dalam kasih sayangnya kepada ibu bapanya.

Dinding rumah itu milik dua orang anak yatim dan di bawahnya ada ‘harta terpendam’ kepunyaan mereka, dan bapa mereka pula adalah orang soleh. Maka Tuhan engkau menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta terpendam itu, sebagai rahmat dari Tuhan engkau, dan ingatlah aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan maksud dan tujuan perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.” (Surah al-Kahfi, ayat 78-82)

Sumber: BHarian

0 comments: