Nuff Atas

11 Mei 2011

Keindahan Kaligrafi Islam



Seni kaligrafi Islam atau lebih sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya.

Penulisan Khat yang pertama di dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang tercatat daripada sumber bertulis menyatakan seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12.


Pada kurun ke 10, seni kaligrafi Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni. Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi, Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.

Sumber: callidesign.





Kaligrafi Islam

KALIGRAFI pada asalnya adalah perkataan yang merujuk kepada tulisan tangan yang cantik yang dihasilkan oleh penulis khat. Perkataan kaligrafi berasal dari gabungan dua perkataan Greek iaitu kallos yang bermaksud cantik dan graph yang bermaksud tulisan.

Kaligrafi yang merupakan salah satu cabang dalam bidang seni visual tidak terikat kepada satu budaya dan bangsa sahaja. Pengetahuan dan kemahiran menulis amat dipandang tinggi di dalam sejarah, apatah lagi kebolehan menghasilkan kaligrafi.





Karya kaligrafi dijadikan satu warisan seni yang amat berharga bukan hanya kerana tulisan malah dari segi pemilihan perkataan dan komposisi yang digunakan. Ini melambangkan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh penulis yang menghasilkan karya.

Dalam Islam, sejarah perkembangan tulisan kaligrafi adalah selari dengan perkembangan penyebaran Islam keluar dari Madinah. Sebagai contoh, tulisan kaligrafi pertama yang dihasilkan berasal dari Kufah iaitu sebuah bandar yang terletak di Iraq.

Tulisan ini diberi nama sempena dengan bandar Kufah iaitu kaligrafi kufik. Tulisan kufik mempunyai bentuk tulisan yang statik dan bersudut. Tulisan kufik yang asal tidak mempunyai titik huruf dan tidak bersambung dan sesetengah huruf.

Gaya kaligrafi kufik ini oleh dilihat di atas helaian al-Quran awal yang dihasilkan dalam abad ke 8 atau 9 Masihi.





Gaya ini kemudiannya diperkemaskan lagi dengan pengenalan titik huruf dan seterusnya mempunyai gaya hybrid daripada yang asal dikenali sebagai kufik berbunga kerana di bahagian hujung huruf yang akhir mempunyai corak bunga atau sulur daun.

Gaya tulisan ini banyak digunakan untuk tulisan pada seni bina Islam. Satu lagi jenis tulisan kufik yang telah mula popular semula pada hari ini ialah kufik segi empat.

Kesemua perkataan yang ditulis menggunakan gaya ini akan ditulis dalam urutan tetapi diolah dalam bentuk segi empat.





Iran adalah salah sebuah lagi wilayah Islam yang amat banyak menyumbang kepada gaya penulisan kaligrafi Islam yang kekal sehingga ke hari ini. Antaranya ialah gaya kaligrafi nasta'liq dan ta'liq.

Ta'liq bermaksud tulisan ringkas atas pada hari ini ia lebih dikenali sebagai trengkas. Nasta'liq pula ialah gaya tulisan yang dihasilkan daripada gabungan tulisan naskh (tulisan yang selalunya digunakan bagi penulisan al-Quran) dan tulisan ringkas ta'liq.

Jenis penulisan kaligrafi ini boleh dilihat di atas sijil perkahwinan atau kontrak perkahwinan yang digunakan di Iran. Gaya kaligrafi ini juga turut digunakan dengan meluas dalam penghasilan manuskrip di India sewaktu pemerintahan Empayar Islam Mughal dan di Asia Tengah sewaktu pemerintahan Empayar Islam Timur.







Turki turut menyumbang penambahan bilangan gaya penulisan kaligrafi Islam.

Kaligrafi yang paling indah yang dihasilkan di Turki sewaktu di bawah pemerintahan Empayar Islam Uthmaniah adalah tulisan diwani. Tulisan ini juga dikenali sebagai tulisan istana kerana hampir kesemua dokumen rasmi istana menggunakan gaya penulisan ini seperti surat dan dekri diraja terutamanya sewaktu zaman pemerintahan Sultan Sulaiman I yang memerintah Empayar Uthmaniah dari tahun 1522 - 1566 Masihi bersamaan tahun 928 - 973 Hijrah.

Satu lagi gaya kaligrafi yang dihasilkan sewaktu zaman Uthmaniah adalah tughra. Tughra adalah gaya kaligrafi yang digunakan khusus untuk tandatangan sultan yang memerintah Empayar Uthmaniah. Tughra sering diletakkan sebagai kepala surat atau dokumen rasmi Empayar Uthmaniah.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Sumber: Utusan





















Sumber Khat: Pelbagai Sumber (Google Search)

3 comments:

Si Matatajam berkata...

Cantik sgt. Dulu M pernah blajaq tapi mungkin tangan ni tak berseni sgt kot so tak menjadi hu hu hu..

myfreeminded berkata...

Talking about kaligrafi Islam ini, mengingatkan sy kpd "Tesselation", yg dikatakan dimulai oleh seseorg dr barat dlm abad ke 17, yang sy rasa sebenarnyalah diadaptasi dr seni kaligrafi islam kita ini.

noor liyana berkata...

kaligrafi islam ni memang cantik dan indah dipandang..dulu masa sekolah dulu pernah belajar dan masuk pertandingan kaligrafi nie..:-)