15 Mei 2011

Penghargaan Buat Guru.

Tema bagi sambutan Hari Guru kali ke-40 untuk tahun 2011 ialah:
'GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA'



Esok adalah sambutan hari guru di kebanyakan sekolah. Malam ini adalah hari yang paling sibuk bagi isteri aku.

Sejak siang tadi dia dah kira jumlah cikgu yang mengajar setiap orang anak kami.

“Abang ada 14 cikgu, Angah ada 9 cikgu, Kakak pulak ada 7 orang cikgu.”

Pada waktu petang dia pun keluar dengan si kakak ke pasaraya Cowboy dan Tunas Manja untuk mencari hadiah yang sesuai dengan budgetnya.

Pada waktu malamnya pula sibuk dengan kerja-kerja membungkus dan melabel.

Aku pulak duduk saja sambil menjaga budak-budak kecik agar tidak mengganggu umi mereka menyiapkan kerja-kerja membungkus hadiah.


Begitulah susah payahnya seorang ibu yang prihatin untuk mendidik anak-anaknya belajar untuk menghargai jasa guru-guru mereka.

Anak-anak aku pula Abang, Angah dan Kakak ternyata sangat gembira kerana mereka akan menyambut hari istimewa guru-guru mereka. Mereka pastinya akan merasa bangga kerana ada sesuatu yang akan mereka sampaikan kepada guru yang mengajar mereka pada hari esok. Si Kakak paling sibuk membantu umi mereka menyiapkan kerja-kerja membungkus hadiah.

Itulah kelebihan anak-anak aku. Syukur Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada keluarga kami, maka penghargaan yang tidak seberapa ini dapat disediakan.

Aku teringat di zaman persekolahan aku dahulu. Semua perkara-perkara sebegini tidak dapat aku lakukan. Pastinya atas faktor ekonomi keluarga aku yang tidak begitu mengizinkan.

Ucapan selamat hari guru pula aku ucapkan kepada guru yang aku temui pada hari tersebut, biasanya mereka adalah guru yang ternyata begitu ramah, menjadikan anak murid mereka seolah-olah anak-anak mereka. Sehingga aku merasakan tiada halangan untuk aku berbual-bual dengannya.

Pastinya cikgu-cikgu aku semua memahami diriku, seorang budak kampung yang comot, tiada sebarang kemampuan untuk memberikan sesuatu penghargaan selain daripada ucapan selamat hari guru.

Kini apabila aku dewasa dan berupaya untuk berfikir secara orang dewasa, mula terfikir, penghargaan tak semestinya berupa barangan, ucapan tanda ingatan sudah memadai untuk mengembirakan hari guru. Untuk yang lebih kreatif kad ucapan hasil tulisan tangan atau cetakan computer pastinya lebih bererti, menunjukkan kesungguhan pelajar dalam usaha mereka menghargai guru.

Seorang rakan aku yang merupakan seorang guru bercerita bagaimana terharunya beliau, pelajar yang selalu menimbulkan masalah disiplin, selalu menerima hukuman kerana masalah disiplin yang ditimbulkan di sekolah atau dalam kelas, tidak menyimpan dendam terhadapnya. Pagi-pagi lagi di hari sambutan hari guru, dari jauh pelajar ini sudah melaungkan nama rakan aku tu….

“Cikgu…. Selamat hari guru cikgu” kata pelajar tersebut sambil menghulurkan tangan bersalaman dan mencium tangan rakan aku tu yang merupakan gurunya.

Rakan aku itu memberi komen.

"Kadangkala sesetengah pelajar yang bermasalah disiplin ini lebih ringan mulutnya untuk mengucapkan penghargaan kepada guru mereka berbanding sesetengah pelajar yang cerdik."

Cuma barangkali ada pengecualian. Hanya berlaku kepada pelajar yang nakal tetapi masih menghormati guru.

Apapun pastinya sikap hormat dan menghargai guru bermula daripada rumah. Aku berterima kasih atas usaha isteri aku bersusah payah dalam usaha mendidik anak-anak kami menghormati dan menghargai guru…

0 comments: