Nuff Atas

19 Mei 2011

Sejarah Stesen Tanjung Pagar Dan Bukit Timah Akan Terus Kekal

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah



SINGAPURA, 18 Mei, Stesen Keretapi Tanjung Pagar, yang juga dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road, mempunyai nilai yang sungguh berharga dari segi sejarah dan sentimen bukan sahaja kepada Singapura malahan jirannya Malaysia.

Apapun berkuatkuasa 1 Julai, 2011, perkhidmatan kereta api ke stesen Tanjung Pagar dan Bukit Timah akan ditamatkan, dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengakhiri perkhidmatan kereta api ke republik itu di Woodlands Train Checkpoint (WTCP).

Stesen Tanjung Pagar yang dibuka pada 1932 dan stesen Bukit Timah yang dibuka pada 1903 dijangka menyaksikan peranan baru tetapi struktur dan warisannya akan terus dikekalkan.


Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan langkah mewartakan kedua-dua stesen itu sebagai tapak warisan adalah antara Perkara Perjanjian Malaysia-Singapura (POA) yang dicapai pada 1990.

Beliau memberitahu Bernama Stesen Tanjung Pagar khasnya mempunyai nilai sentimental bagi rakyat Malaysia selain melambangkan hubungan sosial dan budaya antara kedua-dua belah tambak.

Md Hussin berkata persiapan bagi perkhidmatan KTMB berakhir di WTCP sedang berjalan lancar dan mengikut jadual.

BAGI GENERASI MASA DEPAN

Memandangkan kepada nilai sejarah kedua-dua stesen itu dan langkah untuk melindungi peninggalan fizikal warisan sejarah, kerajaan Singapura baru-baru ini mengumumkan komitmen untuk memulihara kedua-dua stesen itu.

Lembaga Pemuliharaan Monumen (PMB) mewartakan Stesen Keretapi Tanjung Pagar sebagai monumen negara, sementara Lembaga Pembangunan Bandar (URA) mewartakan Stesen Keretapi Bukit Timah Railway sebagai bangunan terpelihara.

Pada 24 Mei, 2010, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan bersama mengumumkan bahawa khidmat KTMB akan berakhir di WTCP dan bukan lagi di Tanjung Pagar berkuatkuasa 1 Julai, 2011.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa struktur Stesen Keretapi Tanjung Pagar dan Stesen Keretapi Bukit Timah di Blackmore akan dikekalkan kerana nilai sejarahnya.

CIRI-CIRI SENIBINA

Stesen Tanjung Pagar khasnya, dianggap sebagai tanda tempat yang jelas kerana bentuk senibina muka hadapannya yang menampilkan ciri-ciri Neo-Classical dan Art-Decoe.

Ciri senibina lain yang dianggap menarik di stesen ini ialah bumbung 'barrel-vault' setinggi 72 kaki di atas balai menunggu serta lukisan mural yang menampilkan pemandangan dari Malaya.

Pada zaman di mana perjalanan dengan kereta api dikaitkan dengan kemewahan, stesen ini menampilkan keanggunan dan kemewahan.

KEKAL MENJADI TANDA TEMPAT

Menurut Jean Wee, Pengarah PMB, stesen ini akan terus kekal sebagai tanda tempat walaupun selepas ia mengambil peranan baru yang akan tetap melambangkan ciri dan kekuatan hubungan antara kedua-dua negara di kedua-dua belah tambak.

Dengan Stesen Keretapi Tanjung Pagar diwartakan sebagai struktur warisan, bilangan monumen negara di Singapura berjumlah 64.

STESEN KERETAPI BUKIT TIMAH



Stesen Keretapi Bukit Timah berhampiran King Albert Park adalah antara stesen kecil yang dibina untuk menghubungkan kawasan luar bandar Singapura.

Bangunan ringkas diperbuat daripada batu-bata ini bersama dewan menunggu terbuka ini dilihat sebagai satu lagi tanda tempat yang menarik.

Bangunan satu tingkat ini mengikut gaya tradisional yang lazim boleh ditemui di stesen bandar-bandar kecil di United Kingdom dan Malaya pada 1930-an.

Ler Seng Ann, Pengarah Kumpulan (Khidmat Pemuliharaan & Pembangunan) di URA, berkata bangunan serta struktur berkaitan dengan perkhidmatan kereta api di Singapura mewakili memori sosial kolektif Singapura.

"Program pemuliharaan URA diwujudkan untuk mengekalkan warisan binaan kita.

"Di bawah program yang memenangi anugerah ini, kami berjaya mengekalkan Clifford Pier dan bekas lapangan terbang Kallang yang menjadi gerbang keluar-masuk Singapura semasa zaman kegemilangannya.

Dan apabila struktur-struktur utama perjalanan kereta api dipulihara, maka secara tersendiri lengkaplah warisan sejarah pengangkutan Singapura.

Sumber: BERNAMA

0 comments: