Bakteria Escherichia coli atau E. Coli selalunya dikaitkan dengan cirit birit. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh penyediaan makanan yang tidak bersih. (Rujuk sini)
GAMBAR menunjukkan bakteria E.coli baharu yang dilihat menerusi mikroskop di Institut Penyelidikan Jangkitan di Brunswick, Jerman.
BERLIN/LONDON - Dilaporkan lebih 1,600 orang mangsa telah dijangkiti oleh bakteria E. coli (Escherichia coli) yang telah membunuh sekurang-kurangnya 17 orang dan mungkin menjadi wabak paling bahaya setakat ini dalam sejarah manusia.
Jerman dikatakan menjadi pusat kepada wabak tersebut. Dengan punca sebenar masih kekal misteri, para pengguna di seluruh dunia kini berada dalam kebimbangan.
Dianggarkan seramai 1,624 orang di negara Eropah seperti Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan sudah jatuh sakit, kemungkinan selepas memakan salad dan sayur-sayuran yang tercemar dari Jerman.
Kredit Foto: Bharian
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia merupakan bakteria E. coli yang baharu.
Angka kematian juga dijangka meningkat apabila Jerman mengemaskini jumlah pesakit.
Bakteria E. coli normal yang menjadi punca kepada masalah keracunan makanan sebenarnya tidak terlalu berbahaya.
Namun, bakteria jenis E. coli yang menyerang di Eropah mempunyai kemampuan untuk kekal pada dinding usus manusia dan mengeluarkan toksin yang dikenali sebagai Shiga (STEC).
Ia kemudian akan mengakibatkan cirit-birit berdarah yang teruk, komplikasi lain seperti kerosakan ginjal dan boleh membawa maut.
Seorang pakar, Robert Tauxe dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS yang telah bekerjasama dengan pegawai kesihatan Jerman sejak minggu lalu mengakui E. coli itu sebagai jenis yang paling berbahaya jika dinilai daripada jumlah kematian.
Di Berlin, Canselor Jerman, Angela Markel telah mengarahkan satu satu pasukan khas untuk mengesan punca E. coli ditubuhkan.
Para saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti punca pencemaran, sama ada tahap kebersihan yang teruk di ladang, transit atau di kedai di Jerman sebagai punca kewujudan bakteria baharu itu.
Mengulangi amaran supaya rakyatnya tidak memakan sayur-sayuran mentah, para pegawai kesihatan Jerman menyatakan mereka telah merekodkan 199 kes terbaharu wabak tersebut dalam tempoh dua hari.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti kepada 1,733 orang.
Wabak itu juga membuatkan hubungan perdagangan antara negara Eropah menjadi tegang.
Rusia mengundang kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU) selepas mengharamkan import sayur-sayuran mentah dari Eropah dengan mendakwa Belgium gagal menangani krisis tersebut.
Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa bakteria itu berpunca daripada timun yang tercemar dari Sepanyol sebelum puncanya yang sebenar dari Jerman diketahui.
Sumber: Kosmo
Basuh
Agensi Standard Makanan Britain (FSA) memberitahu, pengguna mesti membasuh dahulu buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memakannya.
“Membuang kulit atau memasaknya juga boleh menyingkirkan bakteria.”
Namun, pakar Scotland berkata penyelidikan baharu mendapati membasuh sahaja tidak mencukupi kerana bakteria itu sudah masuk ke dalam makanan mentah terbabit.
Dr. Nicola Holden dari Institut James Hutton, Scotland berkata, bakteria yang berasal daripada haiwan itu boleh melekat pada tanaman menerusi parit atau semburan air. Kadangkala ia tercemar semasa proses membungkus dan menghantar produk berkenaan.
Holden berkata, bakteria itu boleh berkumpul pada akar pokok sebelum naik ke daun dan buahnya. Ancaman kepada kesihatan manusia bukan disebabkan bakteria ini mendiami permukaan pokok sahaja bahkan ia sukar dibuang selepas proses menuai.
Profesor Brendan Wren dari Sekolah Perubatan Tropika dan Kebersihan London pula menambah, E.coli melekat pada makanan segar seperti daun salad, bayam dan timun.
“E.coli jenis ini boleh hidup dalam persekitaran yang ekstrem berbanding E.coli biasa bahkan mampu menghasilkan toksin berbahaya kepada tubuh manusia,” ujarnya
(Rujuk: Kosmo)
2 comments:
Mereka lupa nak check 'baja' yang digunakan untuk pembesaran sayur-sayuran...
kalau mereka guna baja asli (najis haiwan ternakan ke...) siapa tahu, mungkin puncanya dari situ...?
Saya pun rasa begitu. Lebih-lebih lagi sebahagian daripada bakteria sangat sukar untuk dimusnahkan kecuali dengan pemanasan pada suhu yang cukup tinggi...
Catat Ulasan