12 Jun 2011

Jawatan Kuasa Menguruskan Sijil



Katakan anda diamanahkan satu Jawatan Kuasa yang dinamakan Jawatan Kuasa Sijil dan Hadiah dalam satu Kejohanan, sebagi contoh Kejohanan Sukan Peringkat Daerah. Apakah tugas-tugas yang anda perlu laksanakan?

Ada 2 tugas yang utama perlu dilakukan bersama beberapa kerja sampingan yang perlu juga dilaksanakan.

Tugas pertama ialah penyediaan segala jenis sijil yang berkaitan. Terdapat 3 jenis sijil perlu direkabentuk dan dicetak.




1. Sijil Penyertaan. Semua peserta yang mengambil bahagian layak diberikan sijil ini.



2. Sijil Pencapaian. Sijil ini terbahagi kepada 3 jenis. Iaitu Sijil kepada peserta Johan, sijil kepada peserta Naib Johan dan Sijil kepada peserta yang mendapat tempat ketiga. Peserta yang mendapat tempat keempat juga layak mendapat sijil pencapaian. Bagaimanapun sijil tersebut akan ditulis sebagai mendapat ‘tempat ketiga’.



3. Sijil Penghargaan. Sijil ini paling banyak dikeluarkan selepas sijil penyertaan. Semua jawatankuasa atau individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengelolaan atau pengendalian sesuatu acara kejohanan layak diberikan sijil penghargaan.

Setelah sijil siap dicetak, jenis kedudukan pencapaian dan jenis acara perlu ditaip ke dalam sijil penyertaan. Manakala bahagian nama dikosongkan. Ianya perlu diisi oleh pengurus pasukan masing-masing setelah sijil tersebut mereka perolehi.

Sijil-sijil ini kemudian diasingkan mengikut pencapaian dan jenis permainan bagi sijil pencapaian. Ianya kemudian dimasukkan ke dalam sampul surat mengikut pencapaian dan jenis permainan.

Sijil penyertaan di asingkan mengikut pasukan yang mengambil bahagian dan jenis permainan.

Manakala sijil penghargaan diasingkan mengikut jawatan kuasa, agensi yang terlibat sebagai contoh penyedia penginapan, venue, PBSM, pengakap, Jabatan Pertahanan Awam, Hospital, PDRM dan sebagainya.

Sampul surat yang telah diisi dengan sijil, di’seal’kan, dan dihias dengan meletakkan reben sebagai contoh.

Akhir sekali termasuk dalam kerja jawatankuasa sijil adalah menyediakan tempat untuk meletakkan sijil semasa hari penyampaian hadiah dan sijil, mencari dulang untuk mengangkat sijil dan kemudian membawa sijil untuk dihulurkan kepada pegawai yang menyampaian sijil kepada para peserta.

Nota Kaki:
Hari ini merupakan hari terakhir berlangsungnya satu kejohanan (yang dikenali dengan singkatan ‘KAT’) di Kuantan Pahang. Saya dan beberapa orang rakan terlibat bertungkus-lumus menyediakan sijil dan lain-lain keperluan yang berkaitan dengan sijil dan hadiah.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan pengediaan sijil dan hadiah. Terima kasih kepada Kak Mala yang member tunjuk ajar. Terima kasih kepada Badri yang membantu menaip di atas sijil, Mela dan Leha yang membantu menampal label dan membuat reben pada sampul surat, Zaini yang membantu memasang dan mengilatkan piala, zuraidah dan fazil yang membantu mengira medal dan meletakkan reben pada piala.

Terima kasih kepada Che Ros dan Aimi yang mencari bakul berisi buah, Kak Ani yang menolong mencari Kain Tenun Pahang (Cantik gubahan kain dalam bakul yang Kak Ani buat). Tidak lupa Intan, Shana, Dayah yang turut membantu mengira bilangan sijil. juga Zakiah yang membantu ‘laminating’ sijil. Halim dan Syukri yang membawa kami berulang-alik ke tempat pertandingan.

Kerjasama anda amat dihargai demi memastikan kejayaan dan kelancaran program.

Bagaimanapun, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Walau bagaimana kemas perancangan, akibat sesuatu kesilapan (di pihak yang lain yang menukar skrip serta merta di luar pengetahuan kami) menyebabkan kelancaran majlis penyampaian piala terganggu.

Ianya pasti menjadi suatu kenangan yang menjatuhkan 'air muka' kami. Sebagaimana kata bos kami, orang tidak akan melihat kesilapan pihak lain yang mengumumkan. Tetapi mereka melihat kesilapan jawatankuasa hadiah menyusun hadiah.

Mujur bos kami amat memahami bahawa kesilapan tersebut bukan berpunca dari kami. Beliau sendiri telah memastikan sebelum majlis bahawa penyusunan sijil dan piala adalah selari dengan skrip.

Terima kasih bos kerana tidak menuding jari terhadap kami.

0 comments: