30 Jun 2011

Maktab Kirkby Nostalgia Pendidikan di Malaysia

MALAYAN Teacher's College Kirby di Liverpool, England yang lebih ringkas dipanggil Maktab Kirby telah ditutup 48 tahun yang lalu. Namun, sehingga hari ini maktab itu sentiasa dikenang dalam sejarah perkembangan pendidikan negara. Apa istimewanya maktab itu?



Ia adalah sebuah institusi pertama khas ditubuhkan di luar negara bagi melahirkan guru-guru di Tanah Melayu.

Kelahiran maktab itu juga merupakan satu eksperimen pendidikan yang unik di mana sebuah negara asing dibenarkan menubuhkan maktab latihan guru di England pada 1951.

Mengikut kontrak perjanjian antara Tanah Melayu dan England, Maktab Kirby beroperasi selama 10 tahun, dari 1952 hingga 1962.


Kontrak itu juga telah menetapkan jumlah pengambilan guru pelatih sebanyak 150 orang setahun dan sepanjang tempoh itu, ia berjaya melahirkan 1,500 pelatih dengan 405 daripada mereka mendapat bantuan pakar dari Universiti Liverpool.

Berbekalkan tenaga pensyarah berpengalaman, kurikulum dan kokurikulum yang digubal khas bagi melatih guru Malaya menggunakan silibus moden, termasuk sesi latihan mengajar di sekolah-sekolah Inggeris; dan pendedahan kepada tamadun dan cara hidup masyarakat Barat, Maktab Kirby berjaya melahirkan guru-guru cemerlang dan hebat. (Rujuk: Utusan Online)


GAMBAR suasana pembelajaran bahasa Inggeris di Maktab Kirkby yang diajar oleh E Hilton.

MALAYAN Teachers Training College, Kirkby sebagai maktab perguruan mungkin nama asing kepada penduduk negara ini kerana pelajar jarang bertanya tempat latihan guru mereka. Namun, sebahagian masyarakat di Malaysia sebenarnya dilatih oleh guru keluaran Maktab Kirkby, terutama guru bahasa Inggeris.

Maktab itu penting dalam susur-galur latihan guru atau sejarah pendidikan negara kerana menjadi institusi yang ditubuhkan di England untuk melatih sumber manusia di Persekutuan Tanah Melayu.



Maktab Kirkby hanya beroperasi selama 11 tahun, iaitu antara 1951 hingga 1962 di Liverpool dan berjaya melahirkan 1,500 pendidik.

Kebanyakan mereka daripada kumpulan terakhir sudah pun menamatkan perkhidmatan lebih 20 tahun lalu dan tidak hairanlah ramai yang tidak mengetahui kewujudan maktab berkenaan.

Pelajar yang dilatih oleh guru Maktab Kirkby kini memegang jawatan penting sama ada dalama sektor awam mahupun swasta. Antara alumni Maktab Kirkby ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun (Kumpulan 1952-1954) yang juga Penaung Diraja, Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia (PAMKM).

Baginda kekal sebagai guru selama 22 tahun dan mendidik ribuan pelajar di Kuala Lumpur, Seremban, Raub, Taiping dan Kuantan.

Bahkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenalan dengan Tuanku Bainun di England pada 1952 ketika menyambut kumpulan kedua 150 pelajar dari Tanah Melayu yang akan meneruskan latihan di Maktab Kirkby. Kedua-dua baginda aktif dalam sukan hoki.

Kegigihan dan iltizam guru keluaran maktab itu terbukti dengan empat Tokoh Guru Kebangsaan ialah lulusan Maktab Kirkby, iaitu Harith Liki (1988), Idris Tain (1990), Lau Hut Yee (1992) dan Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim (1998).

Selain dedikasi dalam pendidikan, guru keluaran maktab itu sebenarnya serba boleh dan menceburi bidang lain selepas berbakti dalam perkhidmatan pendidikan.

Sebahagian guru keluaran Maktab Kirkby melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kemudian bertugas dalam kerjaya seperti doktor perubatan, peguam, akauntan, ahli politik dan pensyarah serta diplomat.

Kini, walaupun sudah lama pencen, kebanyakan pesara Maktab Kirkby masih aktif sama ada dalam perniagaan, kerja kebajikan atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mengajar di universiti atau kolej swasta serta menulis.

Antaranya, Timbalan Presiden PAMKM yang juga bekas pensyarah, Dr Shaari Isa yang sudah menghasilkan kira-kira 40 buku fiksyen dan ilmiah, termasuk novel Kirkby; The Life and the Loves.

Sekadar menyatakan beberapa nama lagi, alumni Maktab Kirkby ialah Datuk Baharuddin Marji yang terbabit dalam penganjuran musabaqah al-Quran sejak 1971, Sasterawan Negara dan budayawan dalam bidang teater, Datuk Noordin Hassan dan pengasas Sri Murugan Centre, iaitu NGO yang memberi tuisyen percuma kepada lebih 13,000 pelajar keturunan India yang miskin, Datuk Dr M Thambirajah.

Ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini, tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim yang juga Presiden PAMKM secara berseloroh menggelar rakan-rakannya yang masih bergiat dalam pelbagai arena itu sebagai ulamak, singkatan kepada ‘usia lanjut masih aktif’.

Yahaya sendiri pada usia 82 tahun dan bersara dari Jemaah Nazir, Kementerian Pelajaran kira-kira 25 tahun lalu masih menyumbang tenaga dan buah fikiran menerusi beberapa institusi pendidikan tinggi swasta.

Jabatan Filem Negara Malaysia berjaya menerbitkan dokumentari mengenai pengalaman anak muda berusia 19 hingga 21 tahun dari Tanah Melayu ketika itu menjalani latihan di Maktab Kirkby.

Filem kira-kira 40 minit antara lain merekodkan kumpulan pertama seramai 148 pelajar pada 1951 menaiki kapal SS Chusan dalam perjalanan 21 hari menuju Liverpool.



Sebaik tiba, mereka terkejut kerana ‘Kirkby College’ bukannya kolej dengan bangunan tinggi dan berprestij seperti institusi pendidikan lain di England, tetapi binaan kayu setingkat, iaitu bekas kemudahan tentera British yang digunakan sepanjang Perang Dunia Kedua.

Namun, mereka tetap tabah untuk menuntut ilmu dan berazam pulang untuk membantu membangunkan tanah kelahiran.

Pelatih datang dari seluruh Tanah Melayu dan dipilih daripada kalangan keluarga berada dan miskin dari luar bandar sama ada Melayu, Cina, India dan Serani.

Kepelbagaian budaya dan status masyarakat serta kemesraan penduduk Tanah Melayu yang terhimpun di Maktab Kirkby menjadikan pelatih menggelarkan kolej mereka sebagai Kampung Kirkby.



Latihan selama dua tahun dilaksana sekumpulan pensyarah berpengalaman dalam pelbagai subjek seperti Bahasa Inggeris, muzik dan seni tampak serta diikuti praktikal mengajar di sekolah sekitar Liverpool.

Dengan England yang baru tamat daripada perang dan pelajar sekitar Liverpool yang datang daripada keluarga miskin serta tidak berpendidikan tinggi, latihan di Maktab Kirkby menghasilkan guru yang kental selepas pulang dan ditempatkan di pedalaman tanah air.



Fakta tidak patut dilupakan ialah pengumuman pertama mengenai persetujuan kerajaan Inggeris memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu atau Malaya dalam bahasa Inggeris dibuat di Maktab Kirkby.

Pengumuman berkenaan dibuat pada Februari 1956 oleh Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman ketika lawatan bersama Menteri Pelajaran, Datuk Abdul Razak ke Maktab Kirkby, sehari selepas tamat rundingan kemerdekaan.

Tunku dan rombongan bersusah payah mengambil perjalanan sejauh 340 kilometer dari London ke Liverpool untuk bertemu penduduk Malaya di maktab itu dan kemudian bersama-sama melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali.

Sumber: BHarian.

0 comments: