08 Julai 2011

Adakah Istidraj Berlaku Kepada Kita?



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Istidraj adalah perkara luar biasa yang dikurniakan Allah S.W.T kepada seseorang tetapi dengan tujuan Allah S.W.T ingin membinasakannya.

Istidraj adalah keluarbiasaan yang menambah keburukan, kehinaan dan kebinasaan atas mereka yang mendapat keluarbiasaan itu, hingga sampai masa Allah membinasakan mereka, ia berlaku dalam keadaan mereka lupa. Bukan sahaja merekalupa dan tidak sedar, malah tatkala Allah S.W.T menghukum mereka, tiada manusia yang membantahnya lantaran lengkapnya segala syarat untuk Allah S.W.T membinasakan mereka. Tiada lagi ragu-ragu atas kejahatan mereka.


Istidraj boleh dibahagikan kepada 4 bahagian.

01. Istidraj belaku kepada seseorang yang menuntut ilmu hitam (sihir/ kedukunan/ ilmu batin/ ilmu sesat dan sebagainya).

Biasanya seseorang yang menuntut ilmu hitam adalah menggunakan khidmat jin kafir. Dia berpuasa untuk beberapa hari dengan tidak memakan daging haiwan bernyawa, menyediakan beberapa sajin (untuk makanan jin), bertapa (dengan meninggalkan solat fardu) dan ada jampi mentera (memuji dan memuja jin-jin) hingga menjadikan seseorang memiliki kelebihan luar biasa seperti kebal, pijak bara api kaki tidak terbakar, boleh ghaib, boleh mengeluarkan bola api dan sebagainya. Contoh sami hindu dalam perayaan Thaipusam, sami budha yang bertapa dikuil-kuil dan di dalam ilmu-ilmu kebatinan yang sesat.

Kelebihan itu semuanya hanyalah hayalan dan dia telah dikuasai oleh jin dan syaitan untuk mengelirukan manusia. Amalan tersebut adalah kurafat dan boleh mendatangkan syirik. Kelebihan ini adalah istidraj dan Allah S.W.T akan menimpakan bala kepadanya disebabkan dia beramal dengan amalan-amalan syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah Al-A'raaf : ayat 182)

02. Istidraj berlaku kepada pemimpin.

Para pemimpin yang berkuasa dan menzalimi rakyat. Tidak mahu menjalankan hukum-hukum Allah S.W.T dan menghidupkan undang-undang ciptaan manusia, menyekat kebebasan bersuara dan melakukan penipuan, rasuah, merampas hak-hak rakyat maka kekuasaan seperti ini adalah istidraj. Sebab apa dipanggil istidraj kerana walaupun melakukan kezaliman dan penyelewengan pemimpin seperti ini tetap mendapat sokongan, kuasa dan pengaruh dan tidak mudah untuk menggugat kedudukan kekuasaannya.

Perlu diingat bahawa firaun adalah contoh pemimpin dunia yang diberikan istidraj oleh Allah S.W.T, akhirnya Allah S.W.T rentap kekuasaannya dan menenggelamkan dia dan bala tenteranya diLaut Merah kerana kezalimannya sudah melampaui batas .

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah: 'Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah Ali-Imran:ayat 26).

Istidraj datang beransur-ansur. Rupanya luar biasa. Tujuannya adalah binasa. Kebinasaan buat manusia yang menerimanya. Lantaran kejahatan dan kezaliman mendustakan ayat-ayat-Nya. Sekumpulan manusia tidak pernah serik dengan kezaliman, penipuan dan kejelikan yang bertimpa-timpa. Kejahatan demi kejahatan, penyelewengan demi penyelewengan, salah laku yang sudah dianggap biasa, namun semakin buruk prestasi kumpulan itu, sokongan yang diterima semakin padu. Namun bagi kumpulan zalim yang mendapat nikmat daripada kedunguan sokongan yang dinikmatinya itu, segala 'kemanisan' itu mungkin sekadar istidraj daripada Allah S.W.T untuk menyempurnakan kezaliman mereka. Agar bila sampai masa Allah S.W.T menghukum dan mengazab mereka, tiada manusia yang akan membantah, kerana telah sempurna syarat-syaratnya.

03. Istidraj berlaku kepada harta dan kekayaan.

Apabila seseorang ahli maksiat, suka minum arak, berzina, menipu, mengambil riba dan meninggalkan solat dan puasa tetapi diberikan oleh Allah S.W.T kemewahan, kekayaan, perniagaan maju dan tiada kerugiaan. Anak-anak berjaya dalam kerjaya masing-masing, rumah banglow, kereta mewah, media masa menyanjungnya sebenarnya ini semuanya adalah istidraj dari segi harta dan kekayaan. Apabila sampai masanya nanti akan datang musibah dan bala dan dalam sekelip mata harta yang dia miliki, perniagaan yang dianggap tak akan rugi dan rakan-rakan sekeliling yang memujinya semuanya akan hilang tanpa diduga. Baru dia sedar bahawa sifat manusia ini adalah lemah dan apa yang dimiliki bukan hak mutlaknya dan pemilik sebenar harta dan kekayaan adalah Allah S.W.T.

Al-Quran menceritakan istidraj berlaku kepada harta dan kekayaan yang paling besar adalah berlaku kepada Qarun. Qarun memiliki gedung-gedung menyimpan harta kekayaannya, anak kuncinya saja dipikul oleh 70 orang yang kuat dan gagah. Bayangkanlah jumlah hartanya bukan billion tetapi mungkin ribuan trillion (RM). Tetapi akhirnya Qarun pergi kemana? Dia dan hartanya ditelan bumi kerana enggan bayar zakat dan cuba memfitnah Nabi Musa A.S.

Perlu diingat orang-orang kaya dan ahli perniagaan yang suka membuat fitnah (sebarkan vedio lucah) mungkin mereka dan harta mereka akan mendapat nasib yang sama seperti Qarun, caranya Allah S.W.T sahaja Maha Mengetahui, yang pasti bala daripada Allah S.W.T akan mereka terima samaada cepat atau lambat.

Daripada Nabi SallaLlahu 'Alayhi Wa sallam bersabda, "Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah istidraj".

Lalu Rasulullah SallaLlahu 'Alayhi Wa sallam membaca (surah al-An'aam ayat 44): Maksudnya: "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."(Hadis riwayat Ahmad)

04. Istidraj berlaku daripada kemajuan sains dan teknologi ciptaan manusia.

Islam menggalakan umatnya mempelajari ilmu sains dan teknologi untuk kemaslahatan manusia sendiri. Tetapi ramai mausia telah menyalahgunakan kemajuan teknologi untuk memuaskan hawa nafsunya. Ada dikalangan manusia mempelajarinya dan menggunakannya untuk mendatangkan kerosakakn dimuka bumi. Mencipta bom atom dan nuklear untuk membunuh jiwa manusia yang tidak berdosa. Mencipta berbagai-bagai penyakit dan disebarkan kepada manusia lain dan mencari keuntungan dengan menjual ubat-ubat dan penawar ke atas penyakit yang diciptakannya.

Contoh Jepun adalah negara maju yang mampu mencipta alat pengesan sunami dan mempunyai simpanan senjata nuklear. Tetapi apabila berlaku sunami baru-baru ini alat yang paling cangih yang mereka miliki tidak dapat mengesan tentra Allah S.W.T berupa angit ribut, taufan dan ombak besar hinggakan mengalami bencana besar dan kematian yang tinggi dan berlaku kebocoran di rektor nuklearnya. Ini adalah tanda awal kemurkaan Allah S.W.T dan peringatan kepada warga Jepun dan manusia seluruh dunia bahawa kemajuan sains dan teknologi akan menjadi istidraj jika manusia tidak mahu kembali mentauhidkan Allah S.W.T. Allah SWT akan membinasakan manusia yang engkar melalui kemajuan sains dan teknologi yang mereka cipta sendiri

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita insaf dan sedar dan bermuhasabah diri adakah istidraj juga berlaku keatas diri kita? Tanda istidraj adalah apabila kita memiliki harta kita tidak mahu membayar zakat, tidak suka bersedekah dan banyak dihabiskan harta dalam perkara yang sia-sia, dan banyak masa berhibur. Kita ada masa tetapi tidak suka berjihad, berdakwah dan jalankan kerja-kerja amar makruf nahi mugkar dan tidak suka menuntut ilmu. Oleh itu pastikan segala amalan dan aktiviti harian kita menjurus kepada keredaan Allah S.W.T dan mendapat kasih sayang-Nya.

Sumber: www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/2953-adakah-istidraj-berlaku-kepada-kita.html dan Penulis Abu Basyer

0 comments: