25 Julai 2011

Bertukar Ke Peralatan Cekap Tenaga



SEWAKTU kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik pada 1 Jun lalu, mereka yang menggunakan elektrik pada kadar kurang daripada 300kWj sebulan atau RM77 ke bawah pastinya menarik nafas lega.

Kenaikan itu hanya memberi kesan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 301 hingga 1,000kWj sebulan. Bagaimanapun, kelebihan itu mungkin tidak akan berterusan.


Menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, kos bahan api semakin meningkat dan ia adalah kos tertinggi bagi industri elektrik. Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan Imbangan Tenaga Kebangsaan (NEB) 2008.

“Menurut NEB, campuran bahan api untuk penjanaan elektrik adalah gas asli iaitu sebanyak 56.6 peratus , arang batu (33.4), hidro (8.1), diesel (1.2) dan minyak bahan api (0.7),” katanya.

Statistik NEB itu jelas dapat dilihat dua komponen utama yang mempengaruhi tarif elektrik iaitu gas asli dan arang batu.

Tambah beliau, gas asli dibekalkan oleh Petronas pada harga subsidi berdasarkan harga formula kerajaan. Sementara itu, arang batu pula dibeli dari luar negara berdasarkan harga pasaran antarabangsa.

“Kenaikan harga arang batu masih diserap oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas permintaan Kerajaan Persekutuan,” kata Piarapakaran semasa mengulas impak kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan Jun lepas.

Kenaikan tarif elektrik itu adalah untuk mengurus kenaikan harga gas asli dan pelaksanaan Feed-in Tariff (FiT) iaitu mekanisme yang diperkenalkan kerajaan bagi mempromosi pembangunan Tenaga Diperbaharui (RE).

Usaha itu, kata beliau, dibuat melalui penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang bertanggungjawab menguruskan Dana RE yang dikumpul melalui tarif elektrik pengguna.

Tenaga diperbaharui

“Satu peratus daripada tarif kita disumbangkan kepada Dana RE. Bagaimanapun, keperluan ini dikecualikan bagi pengguna domestik yang penggunaan elektriknya di bawah 300kWj sebulan,” jelas Piarapakaran.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan bercadang meningkatkan campuran tenaga RE yang kini kurang daripada 1 peratus kepada sekitar 5.5 peratus pada tahun 2015.

SEDA dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2011 dan mempunyai masa empat tahun untuk mencapai sasaran seperti yang ditetapkan RMK10.

Dari segi penggunaan tenaga asas (semua bentuk sumber tenaga), Malaysia mencatat peningkatan pada kadar 6.1 peratus antara tahun 2000 hingga 2008.

Permintaan meningkat

Peningkatan permintaan tenaga bukan sahaja mempunyai kaitan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) malah pertambahan jumlah penduduk negara. Keadaan itu membuktikan bahawa permintaan tenaga di Malaysia akan sentiasa meningkat daripada nilai anggaran purata dunia.


BANYAK peralatan di dalam kediaman perlu diberi perhatian terutamanya dari segi tempoh penggunaan, usia produk, penyelenggaraan dan kecekapannya menggunakan tenaga. - Gambar hiasan

Dalam keadaan itu, kerajaan perlu menjamin industri elektrik masih mampu memberikan tarif yang saksama kepada semua pengguna.

“Ini penting untuk perkembangan ekonomi yang berterusan. Kebimbangan AWER adalah untuk kerajaan memastikan Malaysia kekal sebagai pasaran yang berdaya saing untuk pelabur.

“Disebabkan kerajaan sedang merasionalisasi subsidi, tarif elektrik menjadi parameter yang penting untuk dikaji. Kita sudah pun mula hilang tahap kompetitif kepada Thailand dan Korea Selatan,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Piarapakaran berkata pihaknya ingin mencadangkan supaya proses penetapan tarif yang telus dengan pembabitan rakyat dapat dilaksanakan.

Melalui proses yang sedemikian, rakyat boleh menerima sebarang kenaikan tarif tanpa sebarang keraguan dan dapat memainkan peranan mereka secara lebih bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, pihak peniaga serta pelabur boleh merancang operasi mereka dengan lebih teliti.

Setiap kali berlaku pelarasan tarif elektrik, isu utama yang sering dibangkitkan ialah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara TNB dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Lazimnya, perkara yang menjadi tumpuan untuk PPA ini ialah kos bahan api.

Menurut Piarapakaran, mekanisme penyaluran kos bahan api yang dipraktikkan sekarang di bawah PPA agak kabur. Rakyat juga perlu dimaklumkan dengan lebih jelas mengenai kos bahan api yang memberi impak kepada tarif.

“Daripada kajian kami, IPP mengambil masa kurang daripada 10 tahun untuk memperoleh kembali perbelanjaan modal. Ini menunjukkan IPP tidak mempunyai sebarang risiko dalam perniagaan elektrik.

“IPP juga mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek-projek mereka dan semua kos ini akhirnya disalurkan kepada rakyat sebagai tarif.

“Sektor penjanaan elektrik mesti dikawal selia dan kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu hanya mengutamakan keuntungan seterusnya mengabaikan kesejahteraan rakyat,” tegas Piarapakaran.

Langkah ideal

Sehubungan itu, rakyat Malaysia disaran untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga melalui pembelian alat elektrik yang cekap tenaga. Golongan yang tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik juga disyor untuk berbuat demikian.

Pengguna juga perlu mengenal pasti alat yang banyak menggunakan tenaga elektrik khususnya peralatan yang fungsinya memanaskan, menyejukkan dan berputar.

Perbuatan membiarkan peralatan dalam mod sedia juga perlu dielakkan selain keperluan menyelenggara alat-alat elektrik secara berkala.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian berat oleh pengguna ialah peralatan yang berusia lebih daripada 10 tahun kerana ia menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan tenaga elektrik berbanding model terkini di pasaran.


PERALATAN elektrik yang berusia lebih daripada 10 tahun menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan tenaga berbanding model terkini. - Gambar hiasan

Piarapakaran menjelaskan bahawa sebagai permulaan, kerajaan Persekutuan memberikan rebet untuk pendingin hawa sebanyak RM100 dan peti sejuk sebanyak RM200 yang cekap tenaga serta mempunyai label lima bintang.

Tawaran itu, katanya adalah untuk jenama-jenama yang menyertai program ini di lokasi-lokasi terpilih sehingga akhir 2011.

Pada masa yang sama, kaedah penggunaan atau pemasangan peralatan dengan betul adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak bil.

Penipuan

Dalam keterujaan mengurangkan kos penggunaan elektrik, pengguna bagaimanapun dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Piarapakaran memberitahu, kini terdapat banyak produk yang mendakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik termasuk mengurangkan pembacaan meter.

“Dakwaan jurujual yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Tenaga, TNB dan SIRIM telah memberi pengiktirafan kepada barangan seperti itu adalah tidak benar.

“Sekiranya ada orang awam atau peniaga didatangi jurujual-jurujual ini, segera laporkan kepada Suruhanjaya Tenaga,” tegasnya.

Piarapakaran berkata pihaknya telah memulakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pasar raya-pasar raya besar supaya tidak membenarkan jurujual berkenaan membuka kedai di lokasi mereka.

Oleh MELATI MOHD. ARIFF
Sumber: Kosmo

0 comments: