06 Julai 2011

Gelaran Juara Liga Super 2011, Milik Siapa?

Pasukan P M S J B Mata
Kelantan 25 16 5 52 20 53
Selangor 25 16 3 42 24 51
Terengganu 25 15 5 48 24 50

Perlawanan Akhir Liga Super 2011:
Tarikh: 6 Julai 2011

Felda Utd Vs Terengganu (Std. MBPJ)
Perak Vs Selangor (Std. Perak)
Sabah Vs Kelantan (Std. Likas)


MAMPUKAH barisan pemain Selangor mengucup trofi Liga Super buat kali ketiga berturut-turut musim ini?

SAINGAN Liga Super 2011 akan menutup tirainya malam Rabu (6 Julai 2011). Sejak edisi sulung Liga Super diperkenalkan pada 2004, belum pernah berlaku, penentuan juara terpaksa dibuat sehingga perlawanan terakhir. Namun malam Rabu (6 Julai 2011), bakal menentukan siapakah yang lebih layak bergelar juara dan majlis penyerahan trofi akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Jumaat 8 Julai 2011.

Salah satu daripada pasukan 3 pasukan iaitu Selangor, Kelantan atau Terengganu, bakal dinobatkan selaku juara Liga Super 2011, seterusnya menempah tiket layak beraksi pada Piala AFC 2012.


Kelebihan kini tampak memihak kepada pendahulu liga, Kelantan yang hanya perlu seri ketika bertemu Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam 6 Julai 2011. Jika mencatat keputusan seri atau menang, skuad bimbingan Datuk M. Karathu itu sah bergelar juara buat kali pertama tanpa perlu mengetahui dua keputusan perlawanan membabitkan Selangor dan Terengganu.

Namun andai Kelantan tewas, peluang untuk bergelar juara menjadi milik Selangor dengan syarat skuad kendalian K. Devan itu berjaya mencatat tiga mata penuh ketika berdepan Perak di Stadium Perak, Ipoh malam 6 Julai 2011.

Ia sekali gus bakal menjadi sejarah tersendiri buat Selangor apabila muncul juara Liga Super buat tiga musim berturut-turut. Mengambil kira segala kemungkinan boleh berlaku, Terengganu turut berpeluang untuk dinobatkan sebagai juara berganda musim ini setelah skuad bimbingan Irfan Bakti itu berjaya menjulang Piala FA 2011 pada 11 Jun 2011. Terengganu hanya akan dapat menjuarai Liga Super jika mereka menang besar ke atas Felda United sambil mengharapkan Kelantan dan Selangor tewas.

Sementara itu, pasukan di tangga ke-12 dan 13 iaitu Kuala Lumpur dan Pahang ‘merebut’ satu lagi slot untuk mengiringi Perlis ke saingan Liga Premier musim depan. Kuala Lumpur yang memiliki 23 mata berdepan T-Team di Kuala Terengganu, manakala Pahang dengan 22 mata menanti kunjungan Kedah di Kuantan. Sejarah pasti tercipta andai Pahang turun ke Liga Premier 2012 kerana skuad Tok Gajah itu belum pernah sekalipun diturunkan ke saingan Divisyen Dua sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan pada 1989.

Sumber: Kosmo