05 Julai 2011
PR1MA: Pinjaman Perumahan Hingga 105 Peratus
Pembeli rumah di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) ditawarkan pinjaman sehingga 105 peratus oleh institusi kewangan terpilih dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun selain dikecualikan pembayaran duti setem untuk mengurangkan beban mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.
Pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan memastikan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana, terutama di bandar dan pinggir bandar, membabitkan isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.
Pinjaman ditawarkan sehingga 105 peratus supaya lebihan lima peratus diguna bagi membiayai kos insurans dan yuran guaman.
Pembeli juga boleh mengeluarkan simpanan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian bayaran balik pinjaman.
Pada masa sekarang terdapat jurang yang agak ketara dalam penyediaan rumah kos sederhana, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru kerana kecenderungan pemaju swasta memajukan projek perumahan kos sederhana tinggi serta kos tinggi yang memberikan pulangan lebih besar.
Projek PR1MA yang dibangunkan menerusi usaha sama kerajaan-swasta ini adalah khusus untuk warga negara Malaysia yang berpendapatan sederhana tetapi tidak lebih daripada RM6,000 sebulan tanpa mengira mereka yang bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.
Harga seunit ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi tetapi untuk projek fasa pertama di Presint 11 ini harga seunit bermula daripada RM120,000.
Najib turut mengumumkan penubuhan Perbadanan Program PR1MA, di bawah Pejabat Perdana Menteri, bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek itu di seluruh negara selain menentukan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.
Sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan dikenal pasti bagi pelaksanaan projek PR1MA, termasuk lapan projek yang dijangka bermula tahun ini dan tahun depan, membabitkan 42,000 unit rumah strata dan kediaman bertanah.
Perdana Menteri berkata, tapak pertama projek PR1MA di Presint 11 di sini akan menyediakan 560 unit rumah dengan keluasan antara 815 kaki persegi (kps) hingga 1,006 kps di tapak seluas 1.9 hektar, lengkap dengan kemudahan dewan serba guna, Taska, Tadika, surau dan tapak perniagaan serta kedai.
Sumber: BHarian.
NAJIB melihat model rumah selepas majlis Pelancaran Program Perumahan 1Malaysia.
"Kerajaan menyedari kesulitan yang dihadapi oleh golongan yang berpendapatan sederhana yang tidak mampu membeli rumah berharga tinggi tetapi pada masa yang sama juga tidak layak dipertimbangkan dalam program perumahan awam kos rendah sedia ada."
"Pelaksanaan PR1MA ini akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik," katan Najib ketika melancarkan tapak pertama PR1MA di Presint 11.
Perdana Menteri sebelum itu menetapkan beberapa parameter bagi skim PR1MA, antaranya harga jualan setiap unit rumah PR1MA adalah antara RM150,000 hingga RM300,000, yang bergantung kepada lokasi dan saiz unit dan keluasan setiap unit rumah PR1MA adalah antara 800 sehingga 1,400 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Pemohon haruslah pembeli kali pertama bagi skim PR1MA dan perlu mendiami rumah tersebut. Bagi mengelakkan aktiviti spekulasi di kalangan pembeli yang bertujuan untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan serta merta, "pembeli unit rumah PR1MA tidak akan dibenarkan untuk menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun.
"Tujuan sebenar kerajaan melaksanakan program ini adalah untuk melihat rakyat menikmati hidup yang lebih selesa dengan memiliki rumah sendiri dan bukannya untuk memberi ruang kepada sesetengah pembeli untuk mengaut keuntungan daripada aktiviti spekulasi," katanya.
Najib berkata program PR1MA dijayakan melalui kaedah Perkongsian Awam-swasta di mana kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara bagi memastikan rumah tersebut dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
Perdana Menteri juga menggalakkan supaya menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menekankan beberapa aspek seperti peningkatan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.
Selain itu, katanya para pemaju juga hendaklah mengaplikasikan konsep teknologi hijau dan mesra alam dalam pelaksanaan projek PR1MA.
"Dengan cara ini, rakyat bukan sahaja dapat membeli rumah dengan harga yang mampu dimiliki tetapi juga dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dengan rumah yang berkongsepkan teknologi hijau dan mesra alam," katanya.
Sumber: BERNAMA
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan