23 Julai 2011

Ketenangan di Kalayaan, Kepulauan Spratly

Kepulauan Spratly merupakan satu rangkaian mengandungi lebih 750 pulau dan batu karang di Laut Cina Selatan terletak antara Filipina, Malaysia (Sabah) dan Vietnam. Spratly keseluruhannya mengandungi kurang daripada 4 km persegi kawasan darat dan bertaburan di laut seluas 425,000 km persegi.

Spratlys merupakan satu daripada 3 kepulauan di Laut Cina Selatan yang mempunyai lebih dari 30.000 pulau dan terumbu karang dengan penglibatan negara pemerintah dan ekonomi yang rumit di wilayah Asia Tenggara.

Pulau-pulau kecil yang terpencil daripada tanah besar mempunyai kepentingan ekonomi yang kecil tetapi sangat penting dalam penentuan sempadan antarabangsa. Kepulauan ini kaya dengan sumber perikanan dan kajian terkini menunjukkan kepulauan ini mungkin mengandung simpanan bawah tanah sumber minyak dan gas bumi.

Hampir 45 buah pulau ditempati oleh sejumlah kecil pasukan ketenteraan dari berbagai Negara iaitu Cina, Taiwan, Malaysia, Vietnam, Brunei. (Sumber: Wikipedia)



BAGI puluhan rakyat Filipina yang menetap di sebuah pulau terpencil di Laut China Selatan, setiap hari yang dilalui adalah perjuangan memerangi kesunyian selain menjalin hubungan cinta dengan alam semula jadi.


Hubungan dengan masyarakat di luar agak terhad dan keselesaan hidup bukanlah sesuatu yang menjadi kemestiaan bagi penduduk di bandar bebas itu yang diwujudkan bagi mengibarkan bendera Filipina dan menangkis tuntutan pihak-pihak lain terhadap Kepulauan Spratly.

"Penduduk di sini hanya bermain biliard, ping pong. Kami tidak mempunyai pasar atau pasar raya. Anda perlu menyesuaikan diri untuk menetap di sini," kata Datuk Bandar Kalayaan, Eugenio Bito-onon, 55.

Lelaki yang tiba di Kalayaan pada tahun 1997 dan bekerja sebagai perancang bandar itu berkata, dia telah menyesuaikan dirinya dengan bermain gitar, menonton video dan berjalan-jalan di pulau kecil yang dikelilingi keaslian lautan birunya.

"Saya suka kecantikan tempat ini. Ia sangat menenangkan," kata Bito-onon yang sering melawat Puerto Princesa, salah sebuah bandar utama Filipina yang terletak di Pulau Palawan.

Kalayaan wujud pada tahun 1978 bagi mengukuhkan tuntutan Filipina terhadap Kepulauan Spratly. Kepulauan Spratly merupakan kumpulan 700 pulau, terumbu dan lagun di Laut China Selatan yang dipercayai kaya dengan pelbagai sumber semula jadi.

Filipina, China, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei menuntut hak terhadap keseluruhan atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada Spratly, yang kini menjadi wilayah pertikaian di Laut China Selatan.

Sebahagian besar negara tersebut yang menuntut juga telah menunjukkan kehadiran mereka di pulau-pulau lain di Spratly bagi mengukuhkan kedudukan mereka di wilayah terbabit.

Bagaimanapun, Filipina berkehendakkan Kalayaan yang meliputi lima pulau, dua teluk dan dua kawasan terumbu dan merupakan satu-satunya kawasan yang mempunyai pemerintahan sendiri di kepulauan itu.


PULAU Kalayaan wujud pada tahun 1978 bagi mengukuhkan tuntutan Filipina terhadap Kepulauan Spratly.

Ketegangan akibat pertikaian berpanjangan di wilayah itu tiba-tiba disemarakkan pada bulan lalu, apabila Filipina menuduh China mengambil langkah agresif dalam mengukuhkan kedudukannya terhadap Spratly dan perairan berhampiran.

Bito-onon berkata, ketegangan diplomatik telah mengancam penduduk yang menetap di kawasan pulau seluas 37 hektar atau lebih dikenali sebagi Thitu yang juga dikenali sebagai Pagasa atau bahasa Inggerisnya Hope dalam kalangan rakyat Filipina.

Secara umumnya, Pagasa terletak kira-kira 450 kilometer (km) di barat laut Palawan dan kira-kira 600km dari pantai Vietnam. Ia juga terletak kira-kira 900km dari wilayah China, Pulau Hainan.

Menurut Bito-onon, penduduk atau sesiapa yang berulang-alik ke Pagasa perlu menaiki kapal yang membawa bekalan tentera. Keseluruhan masa perjalanannya ialah tujuh hari.

Terdapat lapangan terbang kecil di Pagasa, namun ia dibina secara semula jadi dan tidak boleh digunakan pada waktu hujan.

Selain itu, terdapat kira-kira 100 tentera Filipina yang berkawal. Bandar itu mempunyai 200 pengundi berdaftar, namun hanya 60 penduduk dibenarkan menetap di Kalayaan pada satu-satu masa seperti yang disyaratkan kerajaan, jelas Bito-onon.

Di samping itu juga terdapat beberapa nelayan dan pekerja kontrak. Kebanyakan penduduk yang bergilir-gilir menetap di situ pula merupakan kakitangan kerajaan dan keluarga mereka, masing-masing berkhidmat selama tiga bulan di pulau-pulau berkenaan.

Ujar Bito-onon, penduduk tertarik untuk menetap di situ disebabkan kerajaan menyediakan mereka peluang pekerjaan dan rumah, di samping barangan keperluan yang diberi percuma seperti beras, minyak masak, gula, mi dan makanan di dalam tin.

Terdapat banyak bekalan ikan di lautan dan mampu menampung permintaan penduduk di samping bekalan air bersih yang mencukupi.

Bagaimanapun, Bito-onon memberitahu agak sukar untuk menerima kehidupan asing di situ yang kurang kemudahan, tiada sekolah dan tiada pekerja kesihatan bandar selepas seorang bidan tempatan meletakkan jawatan kerana berkahwin.

"Sesetengah orang sukar menerimanya. Mereka membentak dan mula bercakap dengan lalat dan mabuk sepanjang masa. Adakalanya mereka bergaduh sesama sendiri ketika mabuk," katanya.

Walaupun terdapat beberapa keluarga yang cuba membesarkan anak-anak mereka di pulau itu, namun mereka terpaksa dihantar ke tempat lain sebaik sahaja mencecah umur yang sesuai untuk bersekolah.

Isteri Bito-onon menetap dan bekerja di Puerto Princesa. Ketika dua anak lelaki mereka masih kecil, pasangan itu hanya menghabiskan masa kira-kira sebulan setengah di Kalayaan.


MESKIPUN kehidupan di Pulau Kalayaan serba kekurangan dari segi kemudahan, namun penduduknya seronok mendiami pulau tersebut.

Walaubagaimanapun, kesengsaraan akibat perpisahan sementara itu terubat apabila pusat pentadbiran tambahan dibina di Puerto Princesa (kini sering dikunjungi oleh Datuk Bandar).

Pulau itu juga tidak mempunyai televisyen satelit kecuali cakera satelit yang mula berkarat kerana terkena percikan air laut yang turut merosakkan generator bekalan elektrik.

Sebuah syarikat telekomunikasi juga berusaha keras untuk meningkatkan perkhidmatannya di Pagasa, namun Bito-onon memberitahu signal yang dipancarkan tidak konsisten.

Dia mengadu, walaupun pulau itu diselia oleh Filipina, namun pulau yang didiami itu agak kurang membangun berbanding pulau-pulau lain di Spratly.

Di sesetengah pulau lain mempunyai struktur dengan lapangan terbang konkrit. Salah satu pulau yang diduduki Malaysia misalnya menyediakan hotel untuk pelancong-pelancong, kata Bito-onon.

Di pejabatnya, Bito-onon meletakkan gambar-gambar menunjukkan pulau-pulau yang dimiliki China, Malaysia dan Vietnam dengan dermaga untuk kapal-kapal mereka berlindung.

Beliau berharap, satu hari nanti dia berpeluang menarik pelancong-pelancong dan para pelabur daripada industri perikanan di Kalayaan.

Perkara pertama yang perlu dilakukan kerajaan ialah menambah baik dan membesarkan lapangan terbang dan membina dermaga yang membolehkan kapal-kapal berlabuh.

Sementara itu, Bito-onon dan penduduk-penduduk lain yang menetap di situ terus menikmati kehidupan mereka dengan aman.

Bagi pekerja kontrak, Nonelon Balbontin, 34, kehidupan mereka di Sparatly semakin baik berbanding kehidupannya di ibu negara negara itu, Manila sebelum ini yang sentiasa kelam-kabut, sesak dan dipenuhi pencemaran.

"Suasana di sini sangat cantik. Cuacanya juga agak baik di samping saya juga kini mempunyai pekerjaan. Kami tidak mempunyai sebarang masalah, penyakit, makanan pula diberi percuma dan dibayar oleh kerajaan," katanya kepada wartawan agensi.

Balbontin yang juga terlibat di dalam projek pembuatan garam di Kalayaan berkata, ketika masa lapang, dia berpeluang menangkap ikan, untuk dijual atau dijadikan hidangan mereka sekeluarga.

Dia juga bermain bola keranjang dengan anggota tentera bertugas di Spratly yang begitu dahagakan sebarang aktiviti rekreasi.

Pada sebelah malamnya, dia gemar merayau-rayau di sekitar pulau itu untuk melihat penyu bertelur. Dia kemudiannya akan memaklumkan kepada pihak berkuasa alam sekitar untuk ditandakan dan sekali gus melindunginya. - AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: