17 Ogos 2011

Ajar Sains Dan Matematik Dalam Dwibahasa



Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.


Katanya kajian itu sedang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa kecil yang telah ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

"Ini kerana yang kita utamakan dalam dasar baru kita ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris. Saya tahu ramai ibu bapa yang berminat tentang soal pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mendapatkan input daripada ibu bapa sebelum memutuskan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Najib berkata Kementerian Pelajaran juga akan mengkaji sama ada mungkin subjek-subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah terpilih tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Sumber: BERNAMA

0 comments: