08 Ogos 2011

Burj Khalifa: Waktu Berbuka Puasa dan Imsak Berbeza

Waktu terbenam, terbit matahari di tingkat 80 ke atas berbeza



DUBAI: Umat Islam yang menghuni di tingkat 80 dan tingkat lain yang lebih tinggi Burj Khalifa di Dubai dinasihatkan melewatkan waktu berbuka puasa mereka sepanjang Ramadan ini selama dua hingga tiga minit berikutan waktu terbenam matahari yang berbeza, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Dubai.

Waktu imsak mereka juga adalah dua minit lebih awal berbanding mereka yang tinggal di tingkat lebih rendah, kata jabatan yang sama dalam satu fatwa yang dikeluarkan.


“Penghuni di Burj Khalifa mempunyai waktu berbuka puasa, imsak dan solat Subuh yang berbeza bergantung kepada tingkat berapa mereka tinggal,” kata ketua bahagian fatwa jabatan itu, Ahmad Abdul Aziz Al Haddad.

Beliau berkata, penduduk Islam yang tinggal di tingkat 80 hingga 150 menara tertinggi di dunia itu, perlu menangguhkan waktu berbuka puasa mereka selama dua minit manakala mereka yang berada di tingkat 151 hingga 160 perlu berbuka kira-kira tiga minit lebih lewat.

“Penghuni di tingkat 80 hingga 150 perlu menunaikan solat Asar dan isyak dua minit lewat manakala solat subuh dua minit lebih awal.

“Mereka yang menghuni tingkat 150 ke atas perlu melambatkan solat Asar dan Isyak mereka tiga minit tetapi mempercepatkan waktu solat subuh tiga minit lebih awal berbanding waktu yang ditetapkan penduduk di tingkat lebih bawah,” katanya.

Al Haddad berkata, perbezaan waktu ini bagi bangunan setinggi 160 tingkat itu adalah kerana waktu matahari terbenam bagi penduduk di tingkat atas tetapi penduduk terbabit adalah mula-mula dapat melihat matahari terbit pada awal pagi.” – Agensi

Sumber: BHarian

0 comments: