08 Ogos 2011
Rangka Manusia Purba Gua Niah Akan Dibawa Pulang
Sekurang-kurangnya tempoh dua tahun lagi diperlukan sebelum Sarawak dapat membawa pulang 122 rangka manusia purba dari Gua Niah yang dibawa ke Amerika Syarikat oleh pakar arkeologi negara itu pada pertengahan 1960-an.
Kurator Muzium Sawarak Ipoi Datan hari ini berkata persiapan sedang dibuat dengan bantuan Jabatan Warisan Negara untuk membawa pulang rangka berkenaan, yang kini berada di Universiti Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat.
"Ia membabitkan perbincangan yang panjang, termasuk urusan Imigresen dan isu kesihatan yang perlu diselesaikan tetapi kami menjangkakan ia berjaya dibawa pulang selewat-lewatnya pada 2013 atau 2014," katanya kepada pemberita selepas pembukaan Pameran Arkeologi Malaysia di Muzium Petroleum di sini hari ini.
Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak Mong Dagang merasmikan pameran itu yang akan berlangsung sehingga 31 Dis ini.
Ipoi berkata sebaik dibawa pulang, kesemua rangka berkenaan akan ditempatkan di bilik pameran khas di Muzium Petroleum di sini.
Dianggarkan keseluruhan projek itu membabitkan kos RM1.5 juta termasuk perbelanjaan menjejaki rangka, perjalanan ke Las Vegas, tiket penerbangan dan pembinaan bilik kurasi khas serta kemudahan di Muzium Petroleum.
Inisiatif membawa pulang rangka manusia purba itu bermula selepas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan perkara itu ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo pada tahun lepas.
Pada majlis itu, Abdul Taib berkata dua pakar arkeologi dari Universiti Nevada, Dr Richard dan Sheilagh Brooks yang menjalankan penyelidikan tentang rangka itu membawanya ke Amerika Syarikat antara 1965 dan 1966.
Katanya mereka telah menyediakan beberapa laporan mengenai penemuan rangka manusia itu namun sehingga kini tiada satupun diterbitkan.
Kesemua rangka manusia purba itu merupakan warisan yang tidak ternilai bagi Sarawak dan Malaysia, justeru ia harus dibawa pulang untuk memudahkan pakar arkeologi tempatan menyelidik dan menganalisis penemuan itu, tambah beliau.
Sumber: BERNAMA
INFO GUA NIAH
Gua Niah merupakan sebuah gua yang terbesar di Malaysia dan penuh dengan sejarah. Ia juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Terletak kira-kira 90 kilometer atau 1 1/2 jam dari Miri, Sarawak, gua ini menunjukkan bukti kehidupan awal manusia di daerah ini.
Gua Niah juga merupakan salah satu gua tertua di dunia dan telah diwartakan sebagai tapak bersejarah di bawah kuasa Muzium Sarawak. Gua Niah terbentuk sebagai terumbu karang pada akhir Miocene sebelum pergerakan bumi yang mengangkatnya dan dihakis membentuk gua. Gua Niah seluas 12 hektar dan kawasan dalam gua dianggarkan tiga kali padang bola sepak. Selain pintu masuk utama Gua Niah, terdapat 5 bukaan lain dengan kamar dibelakangnya. Ia dikenali sebagai Mulut Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Gan Kira dan Lubang Tahi Menimbun.
Taman Negara Gua Niah
Gua Niah juga merupakan taman negara Sarawak terkecil, tetapi merupakan yang paling penting dan menarik minat pelancong. Ini adalah kerana di Gua Niah telah dijumpai fossil manusia yang berusia 40,000 ribu tahun dahulu sekali gus menjadikannya sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Selain itu jumpaan perkakasan manusia purba ini telah menjadikan Gua Niah sebagai tapak kaji purba terpenting di dunia.
Taman negara Gua Niah seluas 3,138 hektar kawasan bukit batu kapur dan hutan. Ia diwartakan sebagai Monumen Sejarah Kebangsaan pada 1958 dan pada 23 November 1974 diwartakankan sebagai Taman negara dan dibuka kapada umum pada 1 Januari 1975.
Sumber: KLIK Wikipedia Untuk Maklumat Lebih lanjut.
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan