12 Ogos 2011
Kerajaan P. Pinang Tidak Halang Bacaan Al-Quran Guna Pembesar Suara
Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.
Arahan itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lalu dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu dan diedarkan kepada semua jawatankuasa kariah masjid. (Rujuk: BHarian)
BAGAIMANAPUN ...............
Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada pentadbiran masjid atau surau di negeri itu membuat pertimbangan sendiri sama ada mahu menggunakan sistem pembesar suara untuk mempendengarkan bacaan Al Quran dan zikir sebelum waktu Subuh atau sebaliknya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim berkata sebagai pentadbir institusi agama, pihak masjid dan surau bagaimanapun sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang yang memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.
"Majlis Fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad pada 6 Jun lepas memutuskan perbuatan berkenaan boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid," katanya.
Sebuah akhbar tempatan hari ini memetik pekeliling Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan penggunaan sistem pembesar suara ketika bacaan Al-Quran di waktu sebelum subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.
Abdul Malik berkata kerajaan negeri dan JHEAIPP tidak terlibat dalam keputusan Majlis Fatwa itu dan meminta perkara berkenaan tidak dipolitikkan. (Sumber: BERNAMA)
SEMENTARA ITU .............
Majlis Fatwa Kebangsaan meminta Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang menimbangkan sehalus-halusnya larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh di masjid dan surau di negeri itu kerana ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.
Pengerusinya Prof Datuk Dr Abd Shukor Husin, berkata larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.
Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri seharusnya mengadakan perbincangan dulu bersama mufti di negeri lain melalui Majlis Agama Islam kerana larangan itu dibimbangi akan menjadi asas hukum kepada larangan sama di negeri lain.
Katanya, pertemuan dengan masyarakat setempat perlu diadakan bagi memperoleh kata sepakat sama ada mereka bersetuju jika dilaksanakan larangan itu atau tidak.
"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.
"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya.
Mengenai tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang memutuskan larangan itu adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abi Sa’id al-Khudri menerusi kitab Sunan Abi Daud, Abd Shukor berkata sabda itu diiktikaf oleh Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk tidak mengganggu bacaan al-Quran yang dibaca oleh jemaah lain pada waktu sama di masjid.
"Sama juga ketika membaca khutbah, jika kita berbual di belakang adalah dilarang, tetapi masjid sekarang kosong ketika waktu sebelum subuh jadi kita kena mengimarahkan dengan bacaan al-Quran.
"Dan bacaan al-Quran di satu kawasan yang majoritinya diduduki umat Islam tanpa ada faktor penghalang adalah digalakkan,” katanya.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah menggesa supaya Jawatankuasa Fatwa Negeri menarik balik larangan berkenaan sebelum badan itu mengambil tindakan.
“Kita sudah membaca al-Quran sebelum waktu subuh berpuluh-puluh tahun lamanya dan tidak sepatutnya baru sekarang ia ditimbulkan,” katanya. (Sumber: BHarian)
KEMUDIAN............
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya.
Mursyidul Am PAS itu berkata perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.
Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.
"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit," katanya.
(Sumber: Bernama)
Labels:
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan