12 Ogos 2011

Pameran Keajaiban Khazanah Kapal Karam

Pameran Keajaiban Khazanah Kapal Karam
The Miracle of Shipwreck Treasures Exhibition


Bermula: 15 Ogos 2011 9:00 am
Tamat: 15 Oktober 2011 6:00 pm
Location: Gallery 2, National Museum, Kuala Lumpur.




Pameran Keajaiban Khazanah Kapal Karam yang bermula Isnin ini (15 Ogos 2011) dan berakhir 15 Okt 2011, bakal menampilkan 240 artifak daripada 13 kapal yang karam di sekitar perairan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail berkata pameran yang diadakan di Galeri 2, Muzium Negara di sini kebanyakannya menampilkan artifak jenis seramik.


"Kebanyakan artifak seramik tersimpan dalam keadaan baik dan ada ditemui masih tersusun dalam keadaan yang sama semasa kapal itu karam," katanya kepada pemberita pada sidang media di Galeri 2, Muzium Negara di sini, Jumaat.

Beliau berkata antara jenis seramik itu ialah tembikar tanah serta batu yang selalunya digunakan untuk memasak dan menyimpan makanan dan jenis porcelin yang banyak digunakan masyarakat Cina pada masa dahulu.

Katanya ada seramik yang ditampilkan pada pameran itu mempunyai fungsi khusus antaranya digunakan sebagai hantaran perkahwinan serta upacara keagamaan dan fungsi itu dikenal pasti menerusi motif pada corak hiasan seramik itu.

"Kita turut menemui pelbagai jenis meriam yang turut dipamerkan dan kita juga menemui kuaci hitam yang bertaburan di kapal karam itu. Apa yang menarik kuaci itu masih terpelihara dengan baik walaupun beratus tahun dalam laut," katanya.

Beliau berkata jabatan itu mula melakukan kerja 'salvage' sistematik ke atas 13 kapal itu pada tahun 1995 di mana tugasan pertama ialah kapal perang Belanda bernama Nassau dipercayai karam pada 1606 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya 12 kapal yang lain ialah Desaru (nama diberi bukan nama kapal sebenar) dipercayai karam pada 1830 di Desaru, Johor, Diana (1817/perairan Selat Melaka), Risdam (1727/Mersing, Johor), Wanli (1630/Dungun, Terengganu).

Xuande (1540/perairan Terengganu), Longquan (1400/perairan Terengganu), Nanyang (1380/Pulau Pemanggil, Mersing, Johor) dan Ranee (1923/Sedili, Johor).

"Kapal karam dianggap kapsul masa di mana reka bentuk, seni bina dan muatannya menceritakan kehidupan pada masa dahulu. Ia menyumbang kepada pemahaman isu sejarah manusia dan membantu kita memahami asal usul kita," katanya.

Beliau berkata jabatan itu tidak meletakkan sasaran jumlah pengunjung untuk pameran itu dan akan membawa pameran itu ke muzium di seluruh negara sekiranya sambutan daripada pengunjung menggalakkan.

Tiket berharga RM3 dan pameran itu dibuka setiap hari antara 9 pagi dan 6 petang.

Sumber: BERNAMA dan Jabatan Muzium Malaysia

0 comments: