Nuff Atas

17 Ogos 2011

Nuzul al-Quran dan Usaha Memartabatkan Al-Quran

Pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan al-Quran seterusnya mendekatkan umat Islam kepada wahyu Allah yang penuh dengan syariat, pengajaran, penawar, rahmat serta pelindung daripada kesesatan.



Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. [Rujuk: Wikipedia]




KETIKA khutbah Haji Perpisahan, Rasulullah SAW berucap: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian (satu peninggalan berharga), seandainya kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.” (Hadis riwayat Al-Hakim)

Hadis itu memberi peringatan cukup jelas supaya umat Islam berpegang teguh dan menjadikan al-Quran panduan dalam kehidupan kerana Rasulullah SAW memberitahu al-Quran akan memberi syafaat kepada yang membacanya pada hari kiamat.

Al-Quran yang menjadi mukjizat besar Nabi Muhammad SAW seharusnya memberi makna besar dalam kehidupan umat Islam. Malah, indahnya akhlak Rasulullah SAW digambarkan dalam hadis diriwayatkan Aisyah, akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran. Bermakna apa yang dipraktikkan Baginda adalah ajaran al-Quran itu sendiri.

Memperingati Nuzul al-Quran setiap kali tiba 17 Ramadan bukan sekadar mengimbau peristiwa yang berlaku sebaliknya menilai apakah al-Quran menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sudah berapa halaman kitab suci itu yang dibaca sepanjang Ramadan ini.

Bagi yang bertadarus atau berterusan membaca al-Quran sepanjang Ramadan ini, sudah mengikat silaturahim dengan mukjizat Rasulullah SAW dan kesungguhan itu menjanjikan ganjaran berlipat ganda selain menjadikan mereka golongan yang beruntung.

Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang diberi kepada mereka kitab, mereka sudah membaca dengan sebenar-benar bacaan, maka mereka golongan yang beriman dengannya dan bagi mereka kufur terhadapnya, maka mereka golongan yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121)



Pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan al-Quran seterusnya mendekatkan umat Islam kepada wahyu Allah yang penuh dengan syariat, pengajaran, penawar, rahmat serta pelindung daripada kesesatan.

Bermula Pertandingan membaca al-Quran di Kedah pada 1951, yang dicetuskan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, penganjuran tilawah al-Quran diteruskan di peringkat kebangsaan melalui Musabaqah Membaca al-Quran pertama diadakan pada 20 Ramadan 1379 (Mei 1960) di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Seiring perubahan, pelbagai inisiatif dilakukan pihak yang ingin melihat al-Quran terus subur dalam jiwa umat Islam di negara ini termasuk dengan menubuhkan maahad tahfiz dan yang terkenal ialah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Darul Quran yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan pada 1966 sebagai satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, juga adalah hasrat Tunku Abdul Rahman untuk mewujudkan Institut Pengajian al-Quran di Malaysia.

Idea kreatif untuk mendekatkan al-Quran dengan masyarakat melalui televisyen berjaya mencapai hasrat apabila program realiti yang berjaya mencetuskan fenomena baru iaitu Akademi al-Quran mendapat sambutan hangat.

Kini, program itu mendapat perhatian dan daripadanya, lahir satu program Mari Mengaji yang mengajak kanak-kanak mempelajari al-Quran dalam suasana santai.

Saudara baru tidak dilupakan kerana dianjurkan program Tilawah al-Quran Saudara Baru yang memberi peluang kepada mereka yang memeluk Islam untuk mempelajari serta mendalami kaedah pembacaan al-Quran dengan tajwid dan lagu.

Begitu juga penghasilan teknologi dan inovasi antaranya al-Quran digital serta pen pintar memudahkan masyarakat belajar membaca al-Quran.

Oleh Hasliza Hassan
Sumber; BHarian

2 comments:

N A T A S Y A ツ berkata...

info yg menarik,
terima ksih sebab sudi mengongsi ;)


Selamat Baramal :D

hyz berkata...

gud info beb