31 Ogos 2011

Perpaduan Nasional: Rumah Sudah Siap Pahat Masih Berbunyi?

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN MALAYSIA KE-54.
1 Malaysia: Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera



Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu perpaduan nasional ini di tengah-tengah bersemaraknya sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini. Artikel berikut ini adalah hasil wawancara dengan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawaatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).

Seberkas kayu lidi yang diikat tidak mudah dipatahkan tetapi lidi yang dilerai dari ikatan, sebatang demi sebatang senang dipatah.

Ini kisah yang sering diajar untuk menunjukkan jika kita tidak bersatu-padu, kita akan menjadi lemah seperti sebatang lidi tetapi jika kita bersepakat, kekuatan kita bak seberkas kayu lidi, teguh dan padu.

Betapa cantiknya orang tua dahulu menggambarkan kepentingan permuafakatan, persepakatan dan istilah yang sering dilaung-laungkan hari ini iaitu perpaduan.

Kita juga ada peribahasa yang dalam maknanya untuk menggambarkan betapa pentingnya perpaduan seperti "Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh", "Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing" dan "Bulat Air Kerana Pembetung Bulat Kata Kerana Muafakat."




Sudah tentunya juga kita mengharapkan masyarakat majmuk atau berbilang kaum di Malaysia hidup "Bagai Aur Dengan Tebing", perumpamaan yang menggambarkan keadaan kehidupan yang harmoni, tolong menolong antara satu sama lain.

Kita tentunya tidak mahu melihat masyarakat berbilang kaum Malaysia dengan tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India dan berpuluh-puluh etnik yang lain di Sabah dan Sarawak bersikap "Seperti Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-masing!"

REALITI SEMASA

Lalu seperti tidak kena apabila isu perpaduan masih dipersoal selepas lebih lima dekad kita membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Namun inilah realiti hari ini.

Pokok persoalannya ialah seakrab atau semesra mana hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini?

Justeru polemik isu perpaduan nasional ini boleh diibaratkan seperti peribahasa Melayu "Rumah Sudah Siap Pahat Masih Berbunyi".

Jika benar berlaku hakisan perpaduan, di mana silapnya dan apakah masih ada sinar di hujung terowong?

"Perpaduan Nasional atau perpaduan kebangsaan adalah satu perkara yang paling elusif di antara cita-cita kebangsaan dan cita-cita besar negara.

"Sehingga hampir 54 tahun kita masih membicarakannya kerana kita masih belum bertemu dengan satu formula atau satu penawar bagaimana kita dapat membangunkan perpaduan dengan secara yang paling mantap dan harmonis sekali, " demikian pandangan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)dalam wawancara dengan Bernama di pejabat PSM, Wisma Sejarah di sini baru-baru ini.

SEBELUM MERDEKA

Tidak timbul isu perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini sebelum merdeka tetapi dalam masa yang sama juga menurut Omar, tidak ada juga pergeseran yang ketara.

Masing-masing kaum nampaknya gembira dengan kehidupan sendiri dan ketika itu juga tidak ada usaha untuk membuat penyatuan atau memperteguh ikatan perpaduan.

"Kita berada di bawah penjajahan dan mereka meletakkan kaum-kaum yang ada dalam tembok masing-masing. Kita hidup macam di bawah pemerintahan apartheid. Kita berkembang dan maju sendirian.

"Ini cara pihak kolonial mengekalkan pemerintahannya di sini iaitu membahagi-bahagikan orang Cina di sekolahnya, orang Melayu di sekolahnya dan orang India di sekolahnya.

"Kaum-kaum ini duduk di tempat asing daripada orang lain, orang Melayu di kampung-kampung pinggir sungai, orang Cina di bandar-bandar besar dan orang India di estet," jelasnya.

Menurut Omar, pihak Inggeris dapat mengekalkan keadaan keseimbangan kaum menerusi dasar pecah dan perintah mereka.

Pihak Inggeris, bagaimanapun, kata beliau memang sedar keperluan mengadakan keadaan di mana semua kaum di negara ini mempunyai kesatuan yang bersatu padu.

"Sebab itulah apabila kita menuntut kemerdekaan, pihak Inggeris meletakkan syarat iaitu orang Melayu, Cina dan India mesti bersatu-padu dalam satu bentuk perikatan atau satu bentuk persatuan politik," tambah Omar.

CONTOH TERBAIK

Mengambil contoh terdekat negara jiran, Indonesia, Omar berkata negara itu adalah contoh terbaik di mana soal perpaduan kebangsaan dicapai sebelum kemerdekaan lagi.

Jelasnya, sejak 1928 lagi apabila memperjuangkan kemerdekaan mempunyai apa yang dipanggil sebagai "Sumpah Pemuda" iaitu satu bangsa, satu negara dan satu bahasa iaitu Indonesia.

"Jadi apabila mereka memploklamir kemerdekaan pada 1945 yang kemudian diiktiraf pada 1949, mereka sudah tidak ada masalah mengenai soal-soal pokok yang berlegar tentang perpaduan nasional atau perpaduan kebangsaan.

"Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa Indonesia dan tidak ada tentangan oleh bahasa-bahasa yang lebih besar seperti bahasa Jawa. Tidak ada kekacauan dalam perkara itu meskipun negara itu terdiri daripada 3,000 pulau.

"Walapun begitu, ini tidak bermakna tidak ada soal pemisah yang timbul selepas itu seperti soal pemisah Acheh yang lebih merupakan cerminan kepada masalah politik di mana soal keadilan dan penyamarataan ekonomi tidak berjalan dengan baik," kata Omar.

Beliau juga memberi contoh negara Vietnam dan Myanmar (Burma) yang juga telah mencapai kejayaan dalam soal-soal perpaduan.

ASAS PERPADUAN

Kepimpinan awal negara ini sememangnya telah memikirkan perkara-perkara yang boleh dijadikan sebagai asas untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Menurut Omar satu daripadanya ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, keadaan ini mula terhakis apabila timbul aliran liberalisasi di mana kedudukan bahasa-bahasa lain diperkukuh.

Dalam mempersoalkan bahasa, Omar berkata ia ada kait mengait dengan soal aliran persekolahan.

"Kita mempunyai satu matlamat besar mengikut Penyata Razak yang mahu melihat semua anak Malaysia Cina, India, Melayu belajar di bawah satu bumbung mengikut kurikulum yang sama, bahasa pengantar yang sama dan akhirnya mengambil peperiksaan yang sama.

"Tetapi bila ada akta pada 1996, apa yang terjadi ialah pengukuhan sekolah-sekolah aliran vernakular dan saya tidak nampak bagaimana penyatuan aliran ini dapat dilaksanakan sebagai satu daripada matlamat kita untuk mencapai perpaduan.

"Aliran-aliran ini berlari atas satu rel yang selari dan tidak ada satu tempat di mana mereka akan bertemu, masing-masing dengan haluan masing-masing, tidak ada titik pertemuan," katanya.

Omar memberi keutamaan kepada sekolah rendah untuk memupuk semangat kebangsaan, semangat perpaduan dan semangat kekitaan kerana di peringkat itulah pelajar senang dilentur.

"Ramai orang bercakap dengan cara nostalgia ketika mereka mengikuti pengajian di sekolah Inggeris dan bagaimana mereka berkawan baik dengan kaum Cina, India dan lain-lain.

"Inilah yang sepatutnya terjadi dalam sistem pendidikan nasional kita di mana sekolah kebangsaan menjadi sekolah perdana dan semua anak Cina, Melayu dan India dapat bergaul dengan baik," tambahnya.

TRAGEDI 13 MEI

Sememangnya bukan mudah mengurus sebuah negara yang mempunyai kemajmukan masyarakat dengan pelbagai agama, nilai dan budaya serta adat resam.

Sejarah telah membuktikannya.

Ikatan perpaduan, kesepakatan dan permuafakatan hancur berderai lebih sedekad selepas laungan "Merdeka" membelah angkasa raya Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang tercetus hampir 12 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan tidak dapat tidak, melakar satu titik hitam dalam sejarah tanah air.

Isu perkauman yang dimainkan ketika kempen pilihan raya 1969 dengan parti pembangkang membangkitkan isu Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu membakar hangus ikatan perpaduan dan menjadi punca persengketaan yang membawa kepada rusuhan berdarah.

"Sebab-musabab yang lebih serius tidak ternampak di mata kasar iaitu kebimbangan serta perasaan tidak selamat orang Melayu mengenai pencapaian ekonomi serta kedudukan masa depan penguasaan politik mereka dalam negara merdeka yang sedang dibangun," kata Omar.

Ekoran daripada kekacauan yang meletus dan mengancam ketenteraman awam, Parlimen digantung pada 16 Mei 1969. Pemerintahan negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Tun Abdul Razak.

Langkah pantas MAGERAN membolehkan pihak berkuasa mengawal keadaan sebelum ianya merebak menjadi apa yang disebut di dalam Laporan MAGERAN "Tragedi 13 Mei" sebagai "malapetaka yang besar".

Laporan itu dalam bahagian pengantarnya turut mengakui sememangnya terdapat pergeseran antara kaum sebelum tercetusnya rusuhan dan kerajaan ketika itu berharap "semoga bahang yang terpasang itu tidak akan meletus."

UJIAN GETIR

Dua faktor utama dikenalpasti sebagai penyebab kekacauan tersebut iaitu isu perpaduan dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

"Memang rusuhan kaum 13 Mei ialah satu satu ujian pahit kepada masyarakat negara ini. Natijah kejadian besar yang menggemparkan masyarakat itu ialah perlunya soal perpaduan diberi perhatian utama.

"Kita terpaksa membayar harga yang tinggi kerana alpa kepada soal perpaduan selepas merdeka.

"Saya kira selepas merdeka soal perpaduan kaum ini walaupun dirasa penting tetapi tidak mendapat perhatian yang berat kerana kita pada masa itu sibuk dengan pembangunan negara," kata Omar.

Menurut beliau, soal sosio-ekonomi, kemiskinan, pendidikan, pertanian, hubungan antarabangsa, pembangunan negara, pembukaan tanah-tanah Felda dan projek-projek prasarana mengambil banyak masa dan perhatian pemimpin ketika itu.

Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA

0 comments: