27 Ogos 2011

Syarat Terkini Kemasukan SBP Untuk Murid Miskin Dan Luar Bandar



Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun 2012.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

"Matlamat utama adalah supaya murid-murid ini akan mendapat kelulusan pada peringkat tertinggi dan mampu untuk merubah taraf hidup keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih berkualiti," katanya.


Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Muhyiddin berkata kementerian sedar murid-murid daripada keluarga miskin dan murid dari sekolah luar bandar ramai yang ketinggalan dan kurang mampu untuk mendapatkan bantuan seperti kelas tambahan berbayar selain ada yang tidak dapat menumpukan kepada masa pembelajaran yang sempurna kerana hidup keluarga yang susah.

"Kementerian juga mendapati pendedahan kelompok ini kepada pembelajaran am dan dunia luar amat terhad disebabkan oleh kedudukan rumah, sekolah dan keluarga mereka yang kurang mampu," katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sentiasa memikirkan dan mengambil langkah untuk membantu para pelajar yang tidak berkemampuan dan yang ketinggalan seperti pelajar miskin dan pelajar di luar bandar.

Menurut kenyataan itu, pelajar miskin dikategorikan berdasarkan pendapatan keluarga yang merujuk kepada ketetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Mengikut Wilayah 2007 iaitu sebanyak RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, RM960 sebulan bagi Sabah dan Labuan serta RM830 sebulan bagi Sarawak.

Menurut data lokasi sekolah Kementerian Pelajaran, sebanyak 4,319 sekolah rendah dikategorikan sebagai lokasi luar bandar manakala 830 buah lokasi pedalaman.

Sumber: Bernama

0 comments: