27 Ogos 2011

Puduraya Kini Bergelar Pudu Sentral


Hentian Puduraya (Dahulu)


Hentian Puduraya (Kini)

Selepas hampir 36 tahun beroperasi dengan satu tahun tempoh rehat, Hentian Puduraya dengan kemudahan fizikal yang baru dibuka pada 16 April 2011 memberi kelegaan kepada penghuni kota. Lokasinya yang terletak di tengah-tengah pusat bandar dan berdekatan dengan hampir semua mod pengangkutan awam seperti kereta api, bas awam, teksi dan komuter memudahkan orang awam.

Terminal Bas Puduraya yang mula beroperasi pada 1976 dan kini berwajah baru mula dikenali sebagai Pudu Sentral bermula 27 Ogos 2011.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

"Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya.


Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac 2010, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambilkira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

Ini merupakan lawatan kali ketiga Perdana Menteri ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu, Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya.

Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna.

Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta.

Najib berkata beliau amat berpuas hati dengan kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan yang telah mencapai taraf kualiti yang tinggi.


SKRIN jadual perjalanan bas memudahkan penumpang bas memastikan kelancaran perjalanan mereka. (Foto: Kosmo)

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggesa pengguna Pudu Sentral untuk turut membantu menjaga kebersihan terminal itu bagi keselesaan bersama.


RUANG menunggu yang lebih selesa, kemas dan tersusun. (Foto: Kosmo)

Para pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan yang sangat mesra pengguna. Persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising.

Sumber: BERNAMA

0 comments: