30 September 2011
Buta Sebelah Mata Dikategorikan OKU
Shahrizat Abdul Jalil bersama OKU dan Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Abdullah Malim Baginda (kanan) memukul gendang sebagai simbolik merasmikan ulang tahun ke-60 dan Hari Terbuka Persatuan Orang Buta Malaysia di Kuala Lumpur.
Bermula Sabtu ini 1 Oktober 2011, individu yang buta sebelah mata akan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan boleh didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keputusan itu akan membolehkan golongan tersebut menerima faedah sama seperti OKU lain, sekiranya mendaftar dengan JKM.
"Perkara ini dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi OKU dua hari lalu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan hari terbuka persatuan itu.
Shahrizat berkata, Kabinet dalam pada itu meluluskan cadangan kementerian supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melantik wakil golongan OKU sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas perancangan dan pembangunan di setiap PBT.
Beliau berkata, selain itu, cadangan agar Unit Audit Akses ditubuhkan di setiap PBT turut diluluskan Kabinet, baru-baru ini.
Katanya, inisiatif itu antara usaha kerajaan untuk membela kesejahteraan dan memperjuangkan hak golongan OKU agar mereka dapat bersama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara secara lebih aktif dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Beliau berkata, keputusan kerajaan itu akan dapat meningkatkan aksesibiliti OKU kepada bangunan dan kemudahan awam dan seterusnya menggalakkan persekitaran mesra OKU.
Terdahulu ketika berucap, Shahrizat berkata, MAB yang ditubuhkan 60 tahun lalu menjadi ikon kepada persatuan-persatuan yang memperjuangkan hak golongan OKU yang lain.
"Kerajaan terutamanya kementerian amat menghargai peranan MAB selama tempoh itu dan kita sudah pastinya akan sentiasa tampil membantu MAB dalam apa juga hal," katanya.
Beliau berkata, MAB menjadi satu contoh bagaimana satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memperjuangkan isu untuk OKU dengan lebih serius.
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan