Nuff Atas

14 September 2011

Calon SPM wajib lulus Bahasa Inggeris



Kementerian Pelajaran akan mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebaik sahaja kementerian itu memiliki jumlah guru bahasa Inggeris yang mencukupi, untuk dihantar ke seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun yakin perkara itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tidak berapa lama lagi selepas prestasi mengenai program pengambilan guru pakar dari United Kingdom dan Amerika Syarikat dibentangkan.

“Kita sedang kaji kalau kita mempunyai jumlah guru bahasa Inggeris yang mencukupi, yang kita boleh hantar ke semua sekolah di seluruh negara dengan korikulum baru, mungkin sampai waktu untuk kita letak wajib lulus. Saya percaya perkara itu tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Utusan

APA KOMEN MEREKA?

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan menyarankan Kementerian Pelajaran mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) lebih menarik bagi membolehkan murid memperoleh asas linguistik kukuh pada peringkat rendah.

Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGGMB), meminta penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan memanfaatkan makmal komputer supaya subjek berkenaan lebih menyeronokkan.

Presidennya, Mohd Sabri Arsad, berkata langkah membawa masuk guru dari Amerika Syarikat (AS) bukan tindakan bijak kerana guru asing dikhuatiri membawa masuk budaya Barat yang bercanggah dengan cita rasa tempatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, maklum balas daripada guru dan pelajar di Terengganu yang mempunyai English Teaching Assistant (ETA) menunjukkan kehadiran ETA dari AS tidak banyak membantu meningkatkan penguasaan BI pelajar.

“Pelajar terpinga-pinga mendengar dialek bahasa Inggeris yang disampaikan ETA kerana sebutannya sukar difahami, ” katanya.

Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula meminta pelaksanaan syarat wajib lulus dalam SPM itu dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa sehingga membebankan pelbagai pihak.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata cadangan mengambil tenaga pengajar luar negara bukan penyelesaian terbaik.

Kementerian, katanya perlu melatih lebih ramai guru tempatan dan mengoptimumkan kemahiran mereka untuk dimanfaatkan bersama.

Sumber: BHarian

p/s: Dalam kehidupan seharian, bahasa dipersembahkan dalam dua bentuk yang berbeza, iaitu bahasa komunikasi dan bahasa penulisan. Dalam komunikasi pula bahasa di bahagikan kepada bahasa formal (orang kata bahasa buku) dan bahasa pasar. Dalam apa jua jenis bahasa, majoriti manusia menguasai bahasa pasar.

Kita ambil contoh Bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai subjek lulus sejak SPM persijilan terbuka diperkenalkan (kalau tak silap tahun 2000). Bahasa Melayu memang dikuasai dengan baik oleh kesemua orang Melayu. Tetapi masih terdapat pelajar Melayu yang gagal subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM. Puncanya adalah tidak menguasai penulisan Bahasa Melayu yang betul. Penggunaan bahasa dalam komunikasi harian pula adalah Bahasa Melayu yang dikategorikan sebagai bahasa pasar.

Bagaimanapun penggunaan 'bahasa buku' dalam komunikasi harian adalah amat melucukan. Ianya seolah-olah seperti kita sedang berlakon drama cerita klasik. Sebab itu dalam penguasaan sesuatu bahasa (terutama untuk memastikan lulus dalam peperiksaan), seseorang perlu banyak membaca dan perlu banyak menulis. Manakala penggunaan sesuau bahasa dalam komunikasi harian amat membantu dalam penguasaan perbendaharaan kata (vocabulary).

Syabas kepada Kementerian Pendidikan, kerana memikirkan pelbagai cara untuk memastikan pendidikan di Malaysia bertaraf Antarabangsa. Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris pasti ada pro dan kontranya. Cuma pada pandangan peribadi saya, perlaksanaannya kelak, pastinya tidak merugikan mana-mana pihak terutamanya pelajar-pelajar Melayu sendiri.

Saya sebagai seorang bapa kini mula sesak nafas kerana prestasi bahasa (Melayu dan Inggeris) anak saya dalam setiap kali penilaian menunjukkan pencapaian lebih banyak gagal berbanding lulus. Bukan sebab tidak menguasai bahasa. Buktinya apabila saya persoalkan mengapa boleh gagal, maka dengan kebijaksanaannya berbahasa, anak saya boleh menyenaraikan beberapa alasan dengan menggunakan bahasa yang kita fahami. Puncanya saya pasti anda sendiri pun tahu......

2 comments:

pakcekk jenglott berkata...

bermula tahun bile ?

Koding berkata...

Baru cadangan, Pakcekk.. Akan dilaksanakan apabila terdapat Guru BI yang mencukupi, termasuk pengambilan guru pakar dari UK dan USA...