14 September 2011

Profesional Malaysia Dibayar Gaji Rendah


Gambar Hiasan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku golongan profesional Malaysia dibayar gaji rendah berbanding rakan mereka di luar negara, sekaligus menghalang usaha mengekalkan serta menarik mereka yang berbakat bekerja di negara ini.

Beliau berkata meskipun golongan profesional Malaysia bagus, daripada segi gaji, pada skala antarabangsa, mereka tidak dibayar sebaik rakan mereka di negara lain.

"Sudah lama saya menggesa sektor awam dan swasta agar membayar gaji mengikut bakat dan kemahiran pekerja berdasarkan standard antarabangsa.

"Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat kadar gaji kita meningkat dengan mantap seiring produktiviti," katanya pada Persidangan Global Forbes ke-11 di sini Selasa.

Najib berkata satu usaha yang fokus perlu dilakukan bagi mengekalkan rakyat Malaysia yang berbakat serta berkemahiran untuk terus berada di negara ini selain menarik golongan profesional yang berkhidmat di luar kembali ke tanah air, dan kadar gaji lebih baik boleh menjadi faktor penarik.

Selain itu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata adalah penting untuk mewujudkan peluang dan kerajaan telah mengambil langkah melaksanakan pelbagai Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Saya yakin jika anda wujudkan peluang, bayar gaji yang lumayan dan tingkatkan produktiviti, kita akan mampu menarik lebih ramai bakat untuk berkhidmat Malaysia," katanya.

Sumber: BERNAMA

1 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
Mampukah Malaysia bersaing dlm pekara ni...