Esok Khamis 22 September 2011 adalah hari bagi sambutan Hari Bebas Kereta Sedunia.
Bebas kereta bermaksud tiada penggunaan kereta di atas jalan raya di hari kempen tersebut. Kempen Bebas Kereta sebegini tentulah sukar untuk dilaksanakan secara total. Bagaimanapun harapan daripada kempen ini, sekurang-kurangnya akan berlaku pengurangan jumlah kenderaan yang ketara pada hari tersebut. Cara mengurangkannya boleh dengan cara berkongsi kereta atau menggunakan sepenuhnya perkhidmatan awam yang ada.
Kempen ini mempunyai hasrat yang murni untuk mengurangkan partikel-partikel rumah hijau (terutamanya gas karbon dioksida yang banyak terbebas daripada pembakaran bahan api fosil) di atmosfera bumi yang diketahui umum adalah punca kepada isu pemanasan global. Segalanya demi memelihara keseimbngan alam ini dan keselesaan penghuninya.
Bersempena dengan sambutan tersebut ......
Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana) semalam mengedarkan 150,000 kupon percuma yang sah digunakan untuk perjalanan sehala percuma Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dalam tempoh setahun mulai esok.
Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, ia tanda sokongan kepada kempen Hari Bebas Kereta Sedunia yang akan disambut esok dengan tujuan mengurangkan pengeluaran karbon yang dihasilkan kenderaan persendirian serta menyedarkan orang ramai untuk memilih menaiki pengangkutan awam.
Bercakap dalam sidang akhbar ketika melancarkan kempen menyokong Hari Bebas Kereta Sedunia itu di sini semalam, beliau berkata, kempen itu turut menggalakkan orang ramai untuk menunggang basikal dan kemudahan meletak basikal disediakan di 17 stesen LRT.
Melalui kempen ‘Kurang Kenderaan, Kurang Pencemaran’ itu, semua kupon itu diedarkan secara berperingkat mulai semalam dan berakhir 22 September tahun depan.
Tan Sri Ismail Adam, berkata pelbagai program diatur sepanjang kempen setahun itu, berteraskan kepada menanam kesedaran untuk tidak menggunakan kenderaan bagi mengurangkan pencemaran.
“Saya berharap sokongan kepada kempen bebas kereta ini tidak hanya berjalan satu hari saja malah diterapkan sepanjang masa oleh semua masyarakat.
“Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk menunggang basikal dan menggunakan sepenuhnya kemudahan meletak basikal yang disediakan di 17 stesen LRT antaranya Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Abdullah Hukum, Kampung Baru, Damai, Dato’ Keramat dan Jelatek, ” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, katanya, kupon yang diedarkan sah untuk digunakan bagi kedua-dua laluan LRT Ampang dan LRT Kelana Jaya serta Monorel untuk hari Sabtu, Ahad dan cuti am malah potongan harga tambang bagi Januari hingga September 2012 akan turut diperkenalkan bersempena kempen terbabit.
“Kami juga akan mengedarkan pelekat kereta khas yang melayakkan pemilik kenderaan bertuah menerima hadiah Rapidpass bernilai RM100 dalam peraduan ‘Spot The Sticker Contest’ yang turut berlangsung selama satu tahun.
“Pihak kami akan berganding bahu dengan pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti awam serta swasta dalam mengatur beberapa program berterusan di stesen LRT, Monorel dan Hab bas, ” katanya.
Selain itu, Pasar Kreatif di stesen LRT dan KL Monorel terpilih akan menjual barangan cenderahati kitar semula yang dihasilkan oleh persatuan kebajikan, ibu tunggal dan badan bukan kerajaan.
Sumber: Kosmo! dan BHarian
KL Julung Kali Sertai Kempen Hari Tanpa Kereta Sedunia
Sempena Hari Tanpa Kereta Sedunia pada Ahad 22 September, 2013, warga kota Kuala Lumpur diminta tidak memandu kenderaan masing-masing sebagai usaha memelihara alam sekitar.
Bandar raya Kuala Lumpur buat julung kalinya menyertai bandar dan negara lain di serata dunia pada tahun 2013, menjayakan kempen bagi mengurangkan kesan pencemaran udara yang disebabkan pembebasan asap kenderaan itu.
Perlumbaan kriterium
Sehubungan itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) akan mengadakan perlumbaan kriterium mulai jam 7 hingga 9 pagi di laluan sepanjang laluan empat kilometer (km).
Timbalan Presiden MNCF, Datuk Naim Mohamad, berkata Jalan Dang Wangi, Ampang, P Ramlee, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Sultan Ismail akan ditutup bagi melancarkan perlumbaan berkenaan.
“Orang ramai pula boleh melakukan aktiviti berbasikal, berlari dan berjalan di sepanjang jalan ini yang ditutup sehingga jam 11 pagi, ” katanya.
Naim berkata, selain memupuk kesedaran menjaga alam sekitar, kempen itu juga bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kita harap menerusi kegiatan seumpama itu, masyarakat akan lebih prihatin dengan tanggungjawab mereka untuk mewariskan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat untuk generasi akan datang, ” katanya.
Sumber: Bharian [2013/09/20]
0 comments:
Catat Ulasan