Nuff Atas

22 September 2011

Subjek Pendidikan Keselamatan Jalan Raya



Bermula tahun depan, 2012 pendidikan keselamatan jalan raya akan dijadikan kurikulum di sekolah menengah selepas ia diperkenalkan di sekolah rendah sejak tahun 2007, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mendidik masyarakat supaya lebih berhemah di jalan raya sejak di usia muda, sekaligus membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan 1MOT dan Mesra Aidilfitri kementerian itu di sini Rabu, Kong berkata pihaknya sentiasa mengambil berat tentang masalah keselamatan jalan raya di negara ini selepas Ops Sikap ke-24 menunjukkan peningkatan 16.6 peratus kes kemalangan iaitu kepada 19,606 kes berbanding 16,817 kes pada Aidilfitri tahun lepas.

Beliau berkata JKJR turut memperkenalkan rancangan tindakan untuk 10 tahun bermula tahun ini hingga 2020 yang juga satu inisiatif di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Kong berkata semasa mengikuti persidangan bersama menteri pengangkutan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) baru-baru ini, beliau dimaklumkan negara lain di seluruh dunia turut mengalami kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.

Beliau berkata statistik pada tahun lepas menunjukkan 60 peratus kematian jalan raya di negara ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berikutan lebih daripada 45 peratus jumlah kenderaan di jalan raya adalah motosikal.

Sumber: BERNAMA

3 comments:

Aku Si Pujangga berkata...

bagus ni.. :)

hanabunga berkata...

mudah-mudahan kemalangan di kawasan sekolah dapat diatasi :)

CayZal berkata...

mendidik masyarakat memandu secara berhemah takkan dapat mengurangkan kemalangan.. percaya la..
kalau dah bilangan kereta atas jalan bertambah automatik accident mesti la bertambah.. setakat bulan ogos sahaja jumlah kenderaan yang didaftarkan lebih 58 ribu.. ingat 58 ribu tu bole suma selamat ke atas jalan nanti.. mesti ada accident punya..