16 September 2011

ISA Akan Dimansuhkan, Dua Undang-Undang Baru Akan Digubal



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan terus.

Sehubungan itu, Najib berkata dua akta baru yang sesuai akan digubal (di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan) bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan awam.

Katanya, akta baru itu bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif.

"Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus...

"Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa," katanya dalam Perutusan Khas Hari Malaysia di Angkasapuri.

Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Katanya, kajian semula komprehensif akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa," katanya.

Sumber: BHarian

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata undang-undang baru itu akan merujuk undang-undang di negara lain sebagai contoh.

"Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, contohnya Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia, semua ini boleh dijadikan contoh dalam kita hendak memerangi keganasan," katanya.

Hishammuddin juga berkata fokus utama kerajaan selepas ini ialah mencari keseimbangan antara kepentingan dan keselamatan, serta kepentingan suasana demokrasi semasa dalam menggubal undang-undang baru itu. (Rujuk; Bernama)

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata keputusan itu memperlihatkan keyakinan Najib terhadap keupayaan masyarakat, termasuk anggota legislatif pembangkang, dalam melaksanakan proses transformasi secara menyeluruh.

"Berdasarkan pemansuhan ISA ini, secara tidak langsung, badan eksekutif dah beri sebahagian kuasanya dalam soal keselamatan kepada badan kehakiman dan legislatif, termasuk kepada rakyat secara amnya. (Rujuk: Bernama)

Satu undang-undang yang lebih bersifat menjaga kepentingan umum mungkin menggantikan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berhubung kebebasan berhimpun yang sedang dikaji semula, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Kita memang telah lama bersedia, berbincang di peringkat Kementerian Dalam Negeri untuk menentukan bahawa di satu pihak, kita akan biarkan kepentingan hak untuk bersuara, dan di satu pihak lain, kita nak tentukan bahawa kepentingan awam juga tidak boleh terganggu. (Rujuk: Bernama)

Akta Baru Ganti ISA Tidak Digunakan Tahan Mereka Yang Berbeza Ideologi Politik

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Dua undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 tidak akan digunakan bagi menahan pihak yang berbeza ideologi politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kedua-dua akta itu akan hanya digunakan bagi mengekang kegiatan pengganas dan ekstremis agama.

Selain itu, pihak yang didapati bersalah di bawah kedua-dua akta tersebut hanya akan ditahan setelah dijatuhi hukuman oleh mahkamah, katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di sini Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa dua akta baru yang akan menggantikan ISA itu akan mengekalkan ciri-ciri ISA yang didakwa mereka akan menindas tahanan.

Sumber: Bernama

0 comments: