15 September 2011

Kereta Elektrik PROTON Akan Dipandu Uji



Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) hari ini menyerahkan tiga unit model Saga 'Electric Vehicle' (EV) dan lima unit 'Range Extender Electric Vehicle' (REEV) bagi membantu kerajaan menilai potensi teknologi hijau dalam pembangunan sistem dan infrastruktur kenderaan elektrik dan hibrid di Malaysia.

Kenderaan itu untuk kegunaan Pejabat Perdana Menteri; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); dan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.




Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, menyerahkan kenderaan berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta menteri dan timbalan menteri yang mewakili kementerian masing-masing pada satu majlis di Pejabat Perdana Menteri.

Mereka ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Penasihat PROTON.

Penyerahan kenderaan itu memenuhi fasa pertama Program Kenderaan 'Fleet Test' yang juga usahasama antara PROTON, KeTTHA dan MITI bagi mendapatkan maklum balas serta data mengenai penggunaan kenderaan elektrik PROTON merangkumi sistem, teknologi dan reka bentuk kenderaan serta tingkah laku pengguna.

PROTON Saga 'EV' adalah kenderaan elektrik manakala Proton Exora 'REEV' pula adalah kenderaan elektrik jarak tambahan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan PROTON di sini, syarikat berkenaan turut menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan di premis Pejabat Perdana Menteri serta keempat-empat kementerian berkenaan.

"Sistem pengecas untuk kegunaan rumah juga akan dibekalkan kepada pemandu kenderaan terbabit yang akan dikenal pasti dari Pejabat Perdana Menteri dan keempat-empat kementerian berkenaan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Mahathir, ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan itu, berkata PROTON mengambil masa tiga tahun untuk menjalankan pembangunan dan penyelidikan sebelum memperkenalkan kenderaan berkenaan yang menggunakan tenaga elektrik dan hibrid.

"Konsep kenderaan ini bukan sahaja boleh digunakan untuk kereta penumpang malah oleh trak dan bas.

"Kita harap satu hari nanti, PROTON akan mengeluarkan trak dan bas yang menggunakan sistem ini yang mana kegunaan minyak dapat dikurangkan," katanya.

Sumber: Bernama dan BHarian

1 comments:

stellaizz berkata...

wahhh dpt pandu uji nie best nie :)