07 September 2011

KWSP Pengurus Wang Pencen Kesembilan Terbesar Di Dunia

Melonjak dari tangga ke-19 dunia dengan aset bernilai RM433.79 bilion



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disenaraikan sebagai pengurus dana pencen kesembilan terbesar dunia dari segi aset pada 2010 oleh syarikat perkhidmatan profesional global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Kajian tahunan oleh syarikat Towers Watson itu mendapati KWSP dengan jumlah aset keseluruhan bernilai AS$145.570 bilion atau RM433.79 bilion, mengatasi pengurus dana pencen Singapura, Central Provident Fund (CPF) yang menduduki tangga ke-10 dengan jumlah aset keseluruhan AS$144.844 bilion (RM431.63 bilion).

Pada 2009, KWSP menduduki tangga ke-19 dengan jumlah aset AS$109.002 bilion (RM324.82 bilion), manakala CPF di tangga ke-11 dengan aset berjumlah AS$122.497 bilion (RM365.04 bilion).

Tiga pengurus dana pencen dari Asia lain yang berada pada kedudukan 10 teratas adalah Government Pension Investment dari Jepun, di tempat pertama, diikuti National Pension dari Korea (keempat) dan Local Government Officials dari Jepun (ketujuh).

Difahamkan pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar AS melonjak kedudukan KWSP dalam senarai membabitkan 300 pengurus dana pencen terkemuka seluruh dunia.

Kajian juga menunjukkan jumlah aset keseluruhan 300 pengurus dana terbesar dunia meningkat 10.9 peratus kepada AS$12.5 trilion (RM37.25 trilion) pada 2010, iaitu paras tertinggi dalam sejarah. Pada masa ini, 300 pengurus dana pencen terkenal di dunia itu mewakili lebih daripada 47 peratus aset dana pencen dunia.

Ketua Pelaburan bagi rantau Asia Pasifik Towers Watson, Naomi Denning, berkata walaupun pengurus dana di seluruh dunia secara umumnya mencatatkan pertumbuhan dalam mata wang AS pada 2010, pengurus dana rantau Asia Pasifik memperoleh manfaat lebih daripada pengukuhan mata wang masing-masing berbanding dolar AS, khususnya yen dan dolar Australia.



Beliau berkata, penguasaan dana Asia Pasifik dalam kedudukan 20 terbaik kekal secara konsisten sejak 2005 dengan menguasai hampir 50 peratus aset yang diuruskan, manakala kadar pertumbuhan bagi negara seperti Malaysia, Korea dan Singapura adalah antara yang tertinggi pada tahun lalu.

“Dana pencen terbesar dunia telah mengubah campuran aset mereka dalam tempoh lima tahun lalu bagi mempertahankan aset masing-masing berikutan ketidaktentuan dalam pasaran global dengan 20 dana pencen secara purata kini mempunyai jumlah yang seimbang dalam ekuiti dan bon, iaitu 40 peratus masing-masing, manakala yang lain dalam bentuk tunai dan alternatif,” katanya

Sumber: BHarian.

0 comments: