Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul Mohd. Nor. Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor telah terbunuh di Mogadishu, Somalia pada Jumaat 2 september 2011, dalam satu kejadian tembak curi. Beliau ketika itu menyertai rombongan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dalam misi membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam.
Noramfaizul dipanggil menghadap Ilahi terkena tembakan dipercayai daripada peluru pasukan Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) sewaktu berada di dalam kenderaan pacuan empat roda yang mahu menuju ke hotel penginapan petugas media elektronik. Al-fatehah untuk Noramfaizul Mohd. Nor.
Berikut ini pula pengalaman seorang pengamal media yang pernah membuat liputan di beberapa buah negara yang sedang bergolak.
SEBAGAI seorang pengamal media, Shahanaaz Habib tidak pernah rasa berat jika beliau ditugaskan ke mana sahaja destinasi waima ke zon perang sekalipun. Shahanaaz dari akhbar The Star, sememangnya dikenali sebagai wartawan yang berkaliber dan tidak gentar berdepan dengan sebarang cabaran tugasan.
Shahanaaz telah melakar sejarah tersendiri. Beliau tercatat sebagai wartawan Malaysia pertama yang dapat melepasi dan membuat liputan semasa Perang Iraq pada April 2003 dan kembali semula ke wilayah konflik itu pada November 2003.
Lantaran dilontarkan persoalan tentang respons saat diminta untuk bertugas pada bulan Ramadan dan sewaktu berhari raya di perantauan, jawab Shahanaaz:
“Wartawan mana yang rasa berat bila bertugas? Semua ini adalah sebahagian daripada profesion kita.”
Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyimpan pelbagai momen bermakna ketika bertugas di Pakistan bersama jurufoto, Ibrahim Mohtar, pada Oktober 2005 iaitu ketika negara itu dilanda gempa bumi.
Pelbagai kisah yang tidak pernah renggang daripada ingatannya ketika bertugas seorang diri di Iraq pada November 2003. Beliau bukan sahaja berpuasa di sana bahkan sempat meraikan Aidilfitri dengan suasana yang sangat berlainan.
“Semasa Amerika Syarikat (AS) mula melancarkan serangan ke atas Iraq pada Mac 2003, saya ditugaskan ke sana.
“Jadi, saya ingin buat susulan mengenai apa yang berubah selepas itu, pastinya cerita akan lebih menarik pada bulan Ramadan kerana selepas Baghdad jatuh, berlaku ketegangan yang jelas antara Muslim Iraq fahaman Sunni dengan Syiah,” cerita wartawan kanan itu.
Sahur dalam kereta
BUKAN calang-calang jurufoto yang berupaya menghasilkan gambar seperti ini.
Pelbagai pengalaman dikutip Shahanaaz sepanjang kembara tugasannya. Sewaktu di Iraq, beliau ditemani oleh seorang pemandu dan penterjemah semasa merentas muka buminya dalam suhu antara 10 hingga 15 darjah Celcius.
“Saya agak terkejut melihat pemandu dan penterjemah saya tak berpuasa. Saya sangkakan Iraq adalah negara Islam.
“Kebebasan adalah sesuatu yang baharu bagi masyarakat Iraq. Mereka tak mahu dikongkong dan mahu kebebasan, maka salah satunya ialah dengan tak berpuasa. Namun, masih ramai juga yang patuh pada tuntutan Islam itu,” katanya.
Pandangan Shahanaaz di Iraq juga sering dijamu dengan peristiwa unik.
“Sebaik saja waktu azan, selepas makan kurma, orang Iraq akan sembahyang di merata tempat, tak kira di luar restoran, tepi jalan, mereka tidak tunggu di surau, masjid atau tempat tertutup, mereka solat di mana-mana,” ujarnya yang turut membawa abaya dan telefon satelit ketika bertugas.
Sementara itu, di Pakistan, Shahanaaz melihat rakyat Pakistan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka. Mereka makan apa sahaja yang dibekalkan di kem yang hanya diterangi lampu minyak tanah dan lilin.
“Sememangnya pada hari-hari awal tiada hotel di sekitar Muzaffarabad dan Kashmir. Kami bermalam dalam kereta pacuan empat roda (saiz besar) pada malam pertama dan kedua.
“Untuk buka puasa dan sahur, kami bawa bekalan seperti roti, biskut, buah-buahan dan makan dalam kereta,” imbasnya yang banyak menyaksikan keruntuhan masjid di sana.
Raya yang mengelirukan
BAZUKI mengabdikan kenangan bergambar dengan sebuah keluarga di Afghanistan.
Aidilfitri yang disambut oleh Shahanaaz pada tahun 2003 di Iraq terisi dengan penuh kekeliruan.
Ketika itu, terdapat tiga pihak menyambut hari raya pada tiga hari berbeza. Puak Sunni menyambut raya pertama pada 24 November 2003, puak Syiah (25 November 2003) sementara puak Syiah yang mengikuti fahaman Ayatollah Sistani pula pada 26 November 2003.
Jadi, bagaimana dengan pendirian wartawan itu? “Saya bingung dan tidak tahu mana satu nak ikut, jadi saya ikut tarikh sambutan di Malaysia iaitu 25 November 2003.”
Namun, pada ambang Aidilfitri ketika itu, Shahanaaz melalu satu peristiwa yang tidak mampu dilupakannya seumur hidup.
Kunjungannya ke sebuah hospital di Tikrit telah menemukannya dengan seorang bapa yang hiba membawa pulang mayat anak dan anak buahnya yang berumur enam tahun.
“Lelaki itu memberitahu, anak dan anak buahnya itu sangat gembira menyambut hari raya dan telah memakai baju baharu, tapi bom jatuh dan meletup di rumahnya,” cerita Shahanaaz yang sangat pilu dengan penemuan itu.
Bertugas di Afghanistan
MANGSA gempa berusaha untuk keluar dari kawasan bencana ke tempat yang lebih selamat.
Seperti Shahanaaz, wartawan foto agensi antarabangsa, Reuters, Bazuki Muhammad, 46, telah melalui siri pengalaman bernilai ketika beberapa kali ditugaskan ke luar negara.
Paling terkesan di sanubari graduan Louisiana State University itu adalah ketika membuat liputan di bumi bergolak, Afghanistan pada tahun 2002. Ketika itu, negara yang di bawah pemerintahan Presiden Hamid Karzai tersebut masih dihimpit krisis perang saudara dan ancaman pergerakan pengganas Taliban.
“Saya tak menolak. Sebagai pengamal media, saya harus bersedia pada bila-bila masa. Isteri saya okey (tentang keputusan untuk pergi) tapi mak saya sedikit risau," ujarnya saat ditanya reaksinya ketika mula-mula menerima tugasan itu.
Cerita Bazuki yang sudah berkhidmat selama 12 tahun di Reuters, selama kira-kira tiga bulan di negara berlandskap gunung-ganang itu, telinganya sering terdengar bunyi letupan di sekitar bandar Kabul dan di pekan kecil, Baghram.
“Setiap letupan itu menandakan ada kematian yang perlu diratapi. Lazimnya, ia terjadi di pasar.
“Letupan pertama hanyalah muslihat untuk mengumpulkan orang untuk datang melihat. Itu bermakna, lebih ramai yang akan menjadi mangsa apabila letupan kedua menyusul,” katanya sambil memberitahu, beliau ditemani oleh seorang penterjemah tempatan bernama Ahmad Masood.
Didatangi Taliban
APAKAH yang tersirat di sebalik foto hasil bidikan Bazuki di Afghanistan beberapa tahun lalu?
Antara Bazuki dan Ahmad Masood terkait banyak kisah. Antaranya ialah kisah sahurnya.
“Lelaki Afghanistan itu tanya, sajian apa yang ingin dimakan ketika sahur. Saya jawab, saya makan apa saja yang dia makan. Kemudian, dia hidangkan saya nasi dengan pinggan yang besar.
“Saya fikir lauknya ada di sebalik timbunan nasi itu, tapi ia hanyalah nasi semata-mata. Kemudian, saya pergi ke pondoknya dan mendapati sememangnya saya makan apa yang dia makan,” imbasnya yang terkesan dengan kejadian itu.
Setelah beberapa hari di sana, Bazuki baharu menyedari makanan di Afghanistan sangat mahal. Dengan wang yang bernilai AS$10 (RM30), penterjemahnya hanya mampu membeli sajian berupa kebab bersaiz kecil.
Atmosfera Afghanistan signifikan dengan kengerian. Negara itu juga sinonim dengan kedaifan, kematian dan masih dibelenggu dengan berita-berita kemusnahan.
Pada Ramadan yang penuh barakah, keadaan itu tetap serupa. Tentera berserban dan berwajah serius terus berkawal di segenap sudut. Suasana jalan rayanya hanya sesekali dilintasi kenderaan. Hendak melihat bazar Ramadan seperti di Malaysia, jauh sekali!
Meskipun pada musim dingin, angin sejuk bagaikan menusuk ke tulang, Bazuki melihat kanak-kanak Afghanistan tetap bersemangat meneruskan persekolahan di dataran terbuka dan tidak berdinding.
Namun, ada satu perkara yang membuatkan Bazuki tersentuh. Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran yang memecah keheningan kota Kabul yang suram itu membuat beliau terlupa seketika tentang ancaman dan ketakutan.
KATA Bazuki, beliau teringin terbang semula ke Afghanistan sekiranya dia diberi peluang.
“Pernah juga, seorang yang saya syak sebagai Taliban menghampiri saya sambil memegang senjata. Dia bertanya sama ada saya Muslim atau bukan, saya jawab ya.
“Untuk membuktikannya, saya membaca al-Fatihah dan dia terus memeluk saya dan berkata, awak adalah saudara saya,” kata Bazuki sambil mengaku dia agak cemas saat itu.
Pengorbanan
Sesungguhnya, untuk membawa berita merentas dunia untuk tatapan masyarakat seperti yang dilakukan oleh Shahanaaz dan Bazuki bukan mudah seperti yang dilihat.
Tiada harga yang mampu membeli pengalaman sebegitu. Bagi Shahanaaz dan Bazuki, semuanya dilakukan demi komitmen dan cinta terhadap tugas. Pada masa yang sama, soal hidup atau mati diserahkan kepada Allah.
Kedua-duanya banyak berkorban. Seperti kata Shahanaaz: “Saya tak telefon keluarga, cuma hantar pesanan teks ucapan hari raya sebab saya mahu tumpukan perhatian pada tugas. Mujur keluarga amat memahami saya.”
Bagi Bazuki pula, bayangan kanak-kanak, wanita dan golongan tua Afghanistan sentiasa berlegar-legar di fikirannya tidak kira waktu.
Ada satu perkara yang lebih istimewa juga telah terjadi kepada penterjemah Bazuki, Ahmad Masood. Lelaki itu kini ialah jurufoto rasmi Reuters di Afghanistan.
“Dia cakap nak jadi jurufoto, sepanjang di sana, saya mengajarnya guna kamera,” ujarnya yang masih berhubung dengan Ahmad Masood.
Kata Bazuki: “Jika ada peluang saya pasti akan ke sana lagi, di sebalik kekacauan di Afghanistan, saya melihat ia sebenarnya berupaya mengajar manusia belajar erti hidup. Sesungguhnya, pada pandangan peribadi saya, Afghanistan sebenarnya lebih menarik dari Disneyland.”
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
Sumber: Kosmo
0 comments:
Catat Ulasan