21 September 2011

Pelajar Dilarang Ambil UPSR Akan Duduki Semula Peperiksaan



Tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak yang tidak dibenar menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana dianggap lemah, dibenar menduduki peperiksaan itu dalam tempoh empat minggu lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil meluahkan dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid iaitu Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, setiap pelajar yang mendaftar mengambil peperiksaan awam, mesti diberi peluang menduduki peperiksaan itu.

“Sama ada murid itu cemerlang, kurang cemerlang atau lemah, itu soal kedua. Hak dia untuk ambil peperiksaan tidak boleh disekat atau dihalang oleh pentadbir sekolah.

“Sebagai Menteri Pelajaran, ini kuasa saya mengikut Akta Pendidikan dengan membenarkan mereka menduduki UPSR. Saya juga sudah menerima laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bahawa ini boleh dilakukan.

“Biasanya, ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid terbabit menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang selesai diduduki calon 15 September lalu.

Beliau turut mengingatkan pentadbir sekolah tidak terlalu ghairah mencapai kecemerlangan sekolah hingga bertindak di luar perkara sepatutnya.

Katanya, dalam keghairahan pentadbir sekolah untuk mendapat insentif tertentu, mereka seharusnya tidak bertindak sedemikian seperti menyekat pelajar yang lemah untuk menduduki peperiksaan bagi membolehkan sekolah itu mendapat keputusan cemerlang.

"Ini adalah hak pelajar, ibu bapa juga berhak untuk tahu pencapaian anak mereka, jangan sampai hak pelajar untuk mengambil peperiksaan dihalang," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah terutama guru besarnya.

'Cikgu kata saya tak pandai'

Foto

BINTANGOR: “Cikgu tidak benarkan saya ambil ujian kerana cikgu kata saya tak pandai. Setakat ini keputusan terbaik saya hanya C, sebab itulah saya dikurung,” kata Idie Ganhyol, 12, seorang daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atas atasan lemah.

Idie bersama dua rakannya, Edward Ujoh dan Richmend Mangi, dikurung dalam bilik pemulihan sekolah itu bagi menghalang mereka daripada menduduki UPSR kerana bimbang prestasi keseluruhan sekolah akan menurun.

Mereka dikurung mulai jam 8 pagi hingga tengah hari dua hari berturut-turut, pada 13 dan 14 September lalu.

Edward pula berkata, gurunya turut memaklumkan dia juga tidak boleh menduduki UPSR kerana terlalu lemah dalam pelajaran, sebelum mengurungnya bersama dua rakannya.

Sementara itu, ibu Edward, Molly Nilau, yang ditemui mengaku sangat marah dan sakit hati kerana anaknya diperlakukan sedemikian.

“Anak saya dilayan macam pencuri... penjenayah, sehingga dikurung sebegitu. Kami juga tidak pernah tarik balik laporan polis. Guru sekolah merayu kami tarik balik laporan... tapi kami enggan.

“Mereka juga kata kalau kami mahu teruskan juga kes itu sampai ke mahkamah, kami tak akan mampu bayar kos yang dikenakan,” katanya.

Bapa Idie, Ganyol Lubok berkata, guru sekolah terbabit sudah meminta maaf dan merayu supaya ibu bapa menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Tapi saya jawab tidak... kami tidak akan tarik balik laporan polis yang dibuat. Guru terbabit sepatutnya merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu kalau tak mahu anak kami menduduki peperiksaan, bukannya mengurung mereka.

“Guru juga memberitahu mereka akan mengemukakan ujian percubaan anak kami sebagai ganti kepada peperiksaan UPSR,” katanya yang sangat kecewa dengan tindakan guru sekolah itu.

Sumber: BHarian dan BERNAMA

Sekolah taksub semua A ditegur

Sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam sehingga sanggup bertindak di luar batasan, ditegur kerana kecemerlangan institusi pendidikan bukan diukur dari segi pencapaian akademik saja.

Sebaliknya, pengiktirafan itu termasuk pemberian ganjaran kepada pengetua, guru besar dan guru di bawah Tawaran Baru, mengambil kira penilaian menyeluruh yang turut meliputi aspek pencapaian kokurikulum dan pelajar serta keberhasilan pembangunan modal insan selaras Falsafah Pendidikan Negara.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua dan guru besar harus bersikap lebih terbuka dalam memahami hasrat kementerian berhubung matlamat pendidikan berkualiti.

“Saya dukacita ada sekolah terlalu taksub seperti itu, sedangkan kementerian tidak menilai kecemerlangan sekolah hanya berdasarkan prestasi semua A dalam peperiksaan. Malah, ada sekolah yang bukan seluruh pelajarnya mendapat keputusan semua A, tetap berjaya menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

“Jadi, tindakan seperti menyekat calon tertentu menduduki peperiksaan awam bermakna menutup potensi yang ada serta menyebabkan masyarakat menjadi keliru,” katanya.

Sumber: BHarian

0 comments: