21 September 2011

Bilik Terapi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)


Gambar Hiasan

Lazimnya di pusat-pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau di mana-mana pusat intervensi awal, kanak-kanak istimewa yang dihantar ibu bapa adalah dengan pelbagai masalah, kelebihan dan keperluan.

Memang menjadi keutamaan ibu bapa kanak-kanak dengan keperluan istimewa ini memastikan kanak-kanak ini diajar dengan kemahiran untuk mengurus diri.

Di PDK atau pusat intervensi awal yang lain, kanak-kanak istimewa ini dilatih mengurus diri dan berdikari serta kemahiran asas lain yang memastikan mereka dapat menjalani kehidupan biasa.

Kanak-kanak istimewa ialah mereka yang autistik, atau penghidap cerebral palsy (CP), sindrom down, hiperaktif dan lain-lain.

Kanak-kanak autistik misalnya memerlukan suasana yang bebas daripada dia mudah mengalihkan tumpuan dalam proses membina kemahiran motor halusnya dan penghidap CP pula mempunyai perkembangan kemahiran motor kasar yang agak lambat daripada orang lain.

Guru dan penjaga akan memastikan setiap keperluan anak-anak istimewa ini diambil kira berdasarkan peralatan dan kemudahan yang mereka ada, tetapi cabarannya ialah keperluan kanak-kanak ini berbeza.

PDK dikelola Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terlibat secara langsung dalam penyediaan manual programnya.

PDK bermula dengan projek perintis di Terengganu untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya (OKU) di bawah naungan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

BILIK TERAPI

Menyedari keperluan PDK dalam membina kemahiran motor kasar dan halus, perkembangan sosial dan pengurusan diri kanak-kanak istimewa ini, Procter & Gamble (P&G) memberikan kerjasama dengan membina bilik terapi khas untuk kanak-kanak ini.

Penyediaan bilik terapi ini dilakukan di bawah program khas P&G iaitu Open Minds, dan setakat ini ia menyumbang RM1 juta bagi memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak istiwewa di 50 PDK.

PDK yang dipilih meliputi setiap negeri, kata Ketua Hal Ehwal Luar P&G (Malaysia &Singapura) Zulhaimi Abdul Hamid.

Bilik terapi pelbagai pancaindera ini menyediakan kemudahan rangsangan pancaindera untuk kanak-kanak istimewa yang hilang upaya pembelajaran normal agar mereka dapat belajar dalam suasana yang tenang.

Bilik-bilik ini juga diubahsuai secara spesifik untuk membolehkan pelbagai rangsangan seperti cahaya, warna, dan bunyi dapat disampaikan secara efektif kepada pancaindera tertentu.

"Tujuannya juga untuk mempercepat proses pemulihan pelatih bermasalah," katanya semasa ditemui di PDK 4 Divisyen, Desa Tun Hussein Onn.

"Kami berbincang dahulu tentang keperluan kanak-kanak ini dan penyediaan bilik terapi pancaindera ini hasil perbincangan dengan JKM tetang apa yang diperlukan PDK mereka," katanya.

OPEN MINDS

Setiap bilik terapi di PDK ini menelan kos RM20,000 dan setakat ini bantuan berjumlah RM1 juta telah dikeluarkan.

PDK ke-50 dan terakhir setakat ini yang menerima bantuan kemudahan bilik terapi pelbagai pancaindera itu ialah Sungai Besi manakala projek pertama ialah di PDK Presint 9 Putrajaya.

"Selain membina bilik terapi pelbagai pancaindera ini, kami juga menganjurkan kursus untuk guru-guru PDK pada bulan Oktober 2010 untuk memastikan mereka mampu menguasai sepenuhnya penggunaan bilik terapi untuk mendapatkan impak maksimum ke atas kanak-kanak istimewa ini," katanya.

Beliau berkata program P&G Open Minds merupakan sebahagian daripada matlamat korporat global P&G iaitu "Live, Learn dan Thrive" yang memberi fokus terhadap usaha kemanusiaan jenama P&G, petugas dan asas korporat di dalam meningkatkan taraf hidup kanak-kanak istimewa yang memerlukan bantuan sejak bayi sehingga berusia 13 tahun.

Di Malaysia, Open Minds meneruskan fokus untuk membantu dan meningkatkan kualiti masa depan kanak-kanak istimewa ini dengan menyediakan pembelajaran khusus dan kemudahan yang diperlukan dalam kehidupan.

Sejak pelancarannya pada tahun 1999, Open Minds menyentuh kehidupan 8,000 kanak-kanak istimewa melalui pelbagai projek dan kempen.

YANG ISTIMEWA

Muhammad Alif Daniel Norzarimim, 5, ialah seorang daripada 35 kanak-kanak istimewa di PDK Desa Tun Hussein yang mengikuti program bilik terapi pelbagai pancaindera itu.

Menurut ibunya, Haslina Suhaida Sirat, 35, Muhammad Alid Daniel dimasukkan ke PDK 4 Divisyen sejak umur setahun dan menggunakan latihan di bilik terapi itu selama empat tahun.

Walaupun sesi yang diikuti hanya seminggu sekali, tetapi ia memberi kesan positif kepada Muhammad Alif kerana menurut Haslina, anaknya itu kini lebih aktif dan mindanya lebih terangsang dengan perkembangan di sekelilingnya dan kemahiran motor kasarnya bertambah baik.

Penyelia PDK di situ Sharifah Anum Syed Abd Hadi berkata bilik terapi itu mempunyai pelbagai komponen khusus untuk terapi beberapa kategori masalah kanak-kanak sepertiya CP, hiperaktif, autism dan sindrom down.

Untuk hiperaktif misalnya, antara pendekatan yang digunakan ialah terapi belon air dan bagi kanak-kanak CP, terapinya menggunakan kabel fiber optik manakala untuk kanak-kanak autistik, kelambu digunakan serta beberapa rangsangan tambahan seperti terapi muzik, pencahayaan dan aroma terapi.

Kanak-kanak CP akan diminta memegang kabel fiber optik yang halus untuk tempoh tertentu dengan tujuan meningkatkan perkembangan kemahiran motornya. Cahaya lampu pada hujung fiberoptik itu bertujuan untuk membuatkan kanak-kanak berkenaan lebih peka pada deria rasa mereka.

TERAPI BERBEZA

Sharifah Anum berkata stimulasi berulang kali itu membantu mempercepat keupayaan kanak-kanak CP dan membantu dalam proses pembelajarannya yang lebih cepat daripada terapi biasa di bilik darjah.

Bagi kanak-kanak hiperaktif pula ternyata sesi terapi yang dijalani memberikan kesan kerana kanak-kanak ini lebih terkawal pergerakan mereka dan akan duduk diam dan boleh fokus terhadap sesi terapi dan pembelajaran kemudiannya.

Beliau berkata bilik terapi itu melengkapi proses pembelajaran kanak-kanak istimewa yang sememangnya mengikuti kelas di bilik biasa di PDK.

Hanya empat kanak-kanak akan dibenarkan menggunakan ruang bilik yang terhad itu dalam satu-satu masa bagi memastikan setiap sesi terapi berlangsung dengan berkesan.

Setiap sesi juga akan mengikut kategori masalah kanak-kanak, katanya.

Sesi bersenam diadakan setiap kali selepas kanak-kanak berkenaan menjalani sesi terapi di bilik khas itu bagi memastikan minda mereka terangsang dan perkembangan kemahiran motor halus dan kasar mereka ditingkatkan.

Kaedah yang digunakan guru di sini adalah mudah kerana semuanya bersifat interaktif. Satu sesi berlangsung selama lima hingga 20 minit bergantung kepada keperluan pelatih.

KEPERLUAN GURU

Sharifah Anum puas hati kerana setakat ini enam pelatih yang mengikuti terapi itu didaftarkan masuk di sekolah pendidikan khas tanpa masalah selepas pencapaian mereka dinilai.

Selain kanak-kanak yang secara bergilir menggunakan bilik terapi itu, guru-guru di PDK itu juga digalakkan menggunakannya untuk mengurangkan stres.

"Mereka digalakkan menghabiskan masa beberapa minit di bilik ini untuk sesi terapi sendiri dan ternyata ia menenangkan dan membantu guru," katanya.

Oleh Rohana Mustaffa
Sumber: BERNAMA

0 comments: