12 September 2011

Sekolah Graduan Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) Dilancarkan



SERDANG, 12 Sept.: Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin melancarkan Universiti Perdana dan mengumumkan kerajaan akan menyediakan biasiswa yang besar kepada rakyat Malaysia yang dipilih menuntut jurusan perubatan di kedua-dua sekolah perubatan universiti itu.

Biasiswa itu adalah bagi penuntut Sekolah Graduan Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) dan Sekolah Perubatan Perdana University-Royal College of Surgeons in Ireland (PU-RSCI), kata Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin diumumkan sebagai Canselor pertama universiti itu.

Dalam ucapannya, Najib menyifatkan pembukaan universiti itu di sini sebagai langkah yang dapat meletakkan Malaysia dalam peta dunia bagi menyediakan pendidikan dan penyelidikan serta perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

"Saya berharap bahawa dalam usahanya mencapai tahap bertaraf dunia itu, universiti ini akan berusaha menjalin hubungan dengan institusi tempatan dan bakat-bakat tempatan," katanya.

Pengambilan pertama seramai 105 penuntut akan mengikuti pengajian mereka di fakulti sementaranya di ibu pejabat Mardi sini sementara menunggu kampus tetapnya siap pada 2013.

PUGSOM menawarkan buat pertama kalinya di Malaysia, program kemasukan mahasiswa selama empat tahun berdasarkan kurikulum Amerika Syarikat, dengan kerjasama Sekolah Perubatan University Johns Hopkins.

Sekolah Perubatan PU-RCSI pula menawarkan program lima tahun berdasarkan kurikulum konvensional, dengan kerjasama Royal College of Surgeons in Ireland.

Najib berkata universiti baru itu, yang disifatkannya sebagai hasil satu kerjasama berpandangan jauh antara konsep perkongsian awam-swasta kerajaan dan sektor korporat, merupakan satu mercu tanda buat Malaysia.

"Saya amat teruja dan begitu yakin ianya akan memberikan hasil yang amat besar dalam mendidik dan memajukan satu generasi baru profesional perubatan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan kepakaran bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia," katanya.

Perdana Menteri berkata Universiti Perdana akan menjadi institusi yang menakjubkan, dengan mempunyai dua sekolah perubatan, dan merupakan hospital latihan swasta pertama di Malaysia.

Ia mempunyai 600 katil pelbagai fungsi khas dan sebuah Pusat Penyelidikan Sains Kehidupan bagi meletakkan Malaysia ke hadapan dalam penyelidikan klinikal, katanya.

Najib berkata Hospital Latihan Universiti Perdana dicadangkan dibuka pada 2013 bagi menempatkan penuntutnya yang memasuki tahun-tahun klinikal mereka, dan ia akan dikendalikan oleh Johns Hopkins Medicine International.

"Dengan menawarkan kemudahan terkini bagi tujuan diagnostik dan rawatan, ia akan menjadi antara institusi utama dalam memacu Malaysia ke arah pelancongan kesihatan, sebagai satu model perubatan persendirian dalam era abad ke-21 dan satu simbol antarabangsa bagi kecemerlangan dalam perkhidmatan kesihatan," kata Perdana Menteri.

Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Perdana, Tan Sri Dr Mohan Swami, berkata separuh daripada penuntut universiti itu adalah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam.
(Sumber: BERNAMA )

Dr Mahathir berkata kerjasama dengan dua buah universiti tersohor itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti itu malah kepada negara.

"Malah kita perlu ingat bahawa apabila kita telah maju dalam sebarang bidang ilmu pengetahuan sudah tentu ada perkara yang boleh dipelajari daripada orang lain."

Beliau berkata satu daripada faedah dari hubungan sedemikian adalah bahawa lama kelamaan sesebuah universiti itu akan diiktiraf oleh pihak lain dan menarik pelajar asing.

"Kos untuk belajar perubatan di Amerika sangat tinggi. Di sini kos itu akan banyak berkurangan dan ia bermakna bahawa anda akan sentiasa mudah dicapai oleh lebih ramai pelajar yang sebaliknya, tidak akan mampu untuk memasuki sebuah universiti Amerika," kata Dr Mahathir.

Universiti itu, yang menyasarkan untuk mengambil 10 hingga 20 peratus pelajar asing mulai tahun depan, merupakan sebuah projek perkongsian swasta dan awam yang diusahakan oleh Unit Perkongsian Swasta Awam di Jabatan Perdana Menteri dan Academic Medical Sdn Bhd (AMC).

Dua perjanjian antara AMC dan JHU dan Johns Hopkins Medicine International (JHI), dan satu lagi perjanjian yang menandakan secara rasmi kerjasama antara AMC dan RCSI, telah ditandatangani pada 2010.

Bangunan konvensyen di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (Maeps) digunakan sebagai kemudahan sementara Universiti Perdana.

Pengambilan pertama 75 pelajar bagi program PU-RCSI dan 30 pelajar bagi JHU. Daripada sejumlah 105 pelajar perintis, hanya seorang pelajar asing dari Bahrain.

Lima puluh peratus pelajar universiti itu adalah atas tajaan Jabatan perkhidmatan Awam.
(Sumber: Bernama )

0 comments: