13 September 2011

Sejarah Penjajahan Tanah Melayu



Sejak tersebarnya pendapat Mohamad Sabu berkaitan Mat Indera yang dikatakan sebagai pejuang kemerdekaan, maka muncul pula berbagai pendapat-pendapat yang lain selepas itu. Antaranya adalah pendapat oleh seorang profesor yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Pendapat ini adalah berdasarkan bahawa sejak perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.

Pendapat-pendapat yang sebegini tentulah mengelirukan terutamanya kepapa diri saya sendiri yang terlalu lurus bendul dalam menerima dan menghadamkan sesuatu ilmu pengetahuan. Jika negara ini tidak pernah dijajah, apakah ertinya kita menyambut Hari Kemerdekaan yang mana pada tahun ini ia telah memasuki kepada bilangan yang ke -54.

Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lebih lanjut segala pendapat-pendapat tersebut. Pada saya ilmu sejarah yang saya pelajari di sekolah dahulu dan yang tercatat di dalam buku teks sejarah adalah betul.

Pendapat-pendapat yang segala macam ini, kelak dibimbangi akan mengelirukan kefahaman pelajar-pelajar sekolah dalam memahami dan menghayati sejarah Tanah Melayu. Hal ini tentulah sesuatu yang merugikan pelajar-pelajar kita. Lebih-lebih lagi mata pelajaran sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang diminati oleh sebahagian besar pelajar-pelajar kita dewasa ini. Sehingga mata pelajaran Sejarah terpaksa dijadikan sebagai matapelajaran wajib lulus SPM bermula 2013 untuk memastikan semua pelajar mempelajari Sejarah negara dan menghayatinya.

Berikut ini adalah sejarah berkaitan penjajahan Tanah Melayu yang pernah saya pelajari semasa berada di bangku sekolah.

Malaysia yang dikenali sekarang adalah sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaannya pada 31hb. Ogos 1957. Pada waktu itu ianya dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau Federation Of Malaya menurut Perjanjian 1948 di antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan Inggeris.

Setelah Inggeris bertapak kuat di negeri-negeri Melayu mereka telah menamakannya Malaya. Sebelum perkataan ‘Malaya’ diperkenalkan negeri-negeri Melayu ini dipanggil dengan nama Semenanjung Tanah Melayu atau Malay Peninsular.

Dari sudut sejarah dan geografi, Semenanjung Tanah Melayu adalah salah satu negeri-negeri Melayu yang terletak dalam lingkungan gugusan pulau-pulau Melayu. Ianya diperintah dan ditadbir oleh raja-raja serta pembesar-pembesar Melayu.

Penjajah Barat yang pertama datang ke Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Melaka ialah bangsa Portugis. Pada awalnya mereka datang dalam tahun1509 dengan tujuan untuk menjalankan perniagaan di samping menjalin tali persahabatan dengan kerajaan-kerajaan Melayu. Tetapi oleh kerana sikap tamak dan haloba menjadi kemegahan orang-orang barat untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya di negeri-negeri timur maka Portugis telah memerangi Melaka.

Disebabkan kekuatan politik orang-orang Melayu pada waktu itu mulai merosot, kelemahan pentadbirannya amat ketara pada mata peniaga-peniaga dari barat itu, Maka Portugis mengambil kesempatan dengan menggunakan krisis dalam negeri serta pengkhianatan dari anak-anak negeri dengan hasutan anasir-anasir luar bertambah pula yang tidak berpuashati dengan pemerintah, Portugis telah Berjaya menakluki Melaka pada tahun 1511.

Setelah Portugis memerintah dan menjajah Melaka maka datang pula satu lagi kuasa penjajah barat iaitu Belanda yang tidak kurang rakusnya menjajah negeri-negeri timur. Dengan bantuan Kerajaan Melayu Johor penjajah Belanda dapat mengalahkanPortugis di Melaka dalam tahun 1641.

Kemudian setelah beratus-ratus tahun Belanda menjajah bukan sahaja di negeri Semenanjung Tanah Melayu tetapi juga di seluruh kepulauan Melayu yang lain, di mana dikenali kemudiannya sebagai Indonesia, maka penjajah Inggeris datang dan berjaya mengambil Melaka dari tangan Belanda melalui perjanjian pertukaran wilayah tanah jajahan pada tahun 1824.

Campur tangan British dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu telah membawa kepada pemindahan kuasa pentadbiran daripada raja-raja Melayu kepada pegawai-pegawai yang dilantik oleh pihak British untuk mentadbir dan menguruskan semua aspek pentadbiran negeri-negeri Melayu kecuali pengurusan agama Islam dan juga adat resam orang-orang Melayu.

Campur tangan ini kemudiannya membawa kepada penjajahan sepenuhnya negeri-negeri Melayu di bawah penguasaan British. Penyerahan kuasa ini dibuat secara rela oleh raja-raja Melayu dengan hanya mendapat janji-janji palsu dan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh kerajaan British.

Inggeris dikalahkan oleh Jepun dalam bulan Disember 1941. Jepun mula memerintah negara kita dari 15 Februari 1942 hingga 12 September 1945. Pentadbiran Jepun di negara kita bercorak ketenteraan. Jepun menyerah kalah akibat pengeboman Hiroshima (6 Ogos 1945) dan Nagasaki (9 Ogos 1945) oleh Amerika Syarikat. Inggeris datang semula dalam bulan Ogos 1945 setelah tentera bersekutu berjaya mengalahkan Jepun serta menamatkan Peperangan Dunia Kedua.

Sumber:
http://fadzilah9577.blogspot.com
wikipedia / penjajahan british

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-54
SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA

0 comments: