22 Oktober 2011

Jenayah Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran

Saban hari sejak hebahan dan iklan berkaitan seruan kerajaan untuk memohon kerjasama dan keprihatinan rakyat berhubung isu Jenayah Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran tersiar dalam pelbagai media. Hebahan dan iklan termasuk artikel yang tersiar ini adalah antara pendekatan bersungguh-sungguh kerajaan dalam usaha membenteras jenayah ini.



Suatu ketika dulu aku mempunyai satu definisi yang agak sempit berhubung isu ini iaitu terhad kepada penjualan manusia sahaja. Hari ini ketika aku membelek-belek majalah Mingguan Wanita, aku terjumpa artikel berkaitan dengan isu ini. Diharap perkongsian ini dapat memberikan gambaran jelas kepada umum tentang apakah yang dimaksudkan dengan Jenayah Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jenayah ini adalah jenayah yang sangat kompleks, bersifat merentasi sempadan Negara, bersifat global dan suatu jenayah yang terancang. Kegiatan ini berlaku hampir di seluruh dunia dan banyak melibatkan negara maju.

Kegiatan pemerdagangan orang dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi. Malaysia juga tidak terkecuali daripada aktiviti yang diaplikasikan sebagai perbuatan ‘perhambaan alaf baru’.

Jenayah ini antara lain memperdagangkan wanita dan gadis muda (termasuk kanak-kanak) bagi tujuan seks komersial atau pelacuran. Selain daripada itu jenayah ini juga memperdagangkan manusia bagi tujuan dijadikan buruh paksa atau buruh tebus hutang. Sebahagian daripada mangsa ini terdapat yang diarahkan untuk menjadi pengemis.

Mereka dikurung, dibiarkan kelaparan, dipukul, diugut dengan pistol agar mereka akur untuk ‘melayan’ pelanggan mereka atau akur melaksanakan tugas berat yang diarahkan.

Di sesetengah negara miskin, penjualan kanak-kanak adalah dalam keadaan disengajakan dan dikendalikan sendiri oleh ibu-bapa mereka atas faktor kemiskinan dan bebanan hutang. Anak-anak dijual untuk mendapatkan nafkah hidup demi sesuap nasi bagi seisi keluarga.

Di Malaysia sebahagian mangsa pemerdagangan orang adalah terdiri daripada kalangan pekerja asing yang sah atau tanpa izin (PATI). Mereka berhijrah secara sukarela daripada negara asal mereka Indonesia, Nepal, India, Thailand, hina, Filipina, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

Namun sesetengahnya telah dieksploitasi, dipaksa bekerja atau bekerja kerana terikat dengan hutang kepada majikan, agen pekerjaan atau perekrut pekerjaan buruh tidak formal.

Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) telah diwujudkan dengan member kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM1 juta kepada pesalah.

Sesuai dengan akta ini, kerajaan telah menubuhkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (MAPO) yang berfungsi menyelaraskan dasar dan melaksanakan akta tersebut.

Malaysia juga memberi penekanan dalam soal perlindungan dan pemulihan mangsa-mangsa. Mangsa yang diselamatkan akan ditempatkan di rumah perlindungan dan diberi kebajikan yang sebaiknya oleh pihak kerajaan. Mangsa berada di rumah perlindungan sehingga proses rakaman kenyataan saksi dan pendakwaan terhadap pesalah selesai.

Semasa di rumah perlindungan mangsa akan diberi kaunseling dan pemulihan serta kemudahan asas. Mangsa seterusnya dibantu untuk pulang ke Negara asal dengan selamat.

Kerajaan juga member tumpuan khusus terhadap aspek pencegahan dan publisiti. Pelbagai program dan pendekatan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai isu ini termasuk melalui media cetak, media elektronik dan lain-lain media.

Pendekatan ini juga bermaksud menarik perhatian dan keperihatinan rakyat agar memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membenteras jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini. Maklumat dan kerjasama orang awam adalah perlu agar sindiket ini boleh ditumpaskan. Tanpa bantuan dan kerjasama masyarakat umum usaha ini tidak akan mencapai kejayaannya.

Sebagai peringatan golongan wanita digesa agar sentiasa berwaspada apabila menerima tawaran pekerjaan dengan pendapatan yang lumayan daripada pihak tertentu tanpa meneliti kesahihan tawaran tersebut dengan pihak yang berkaitan.

Sumber: Mingguan Wanita, Bil. 1457

2 comments:

Bawang Goreng berkata...

Inilah perhambaan zaman moden. Nampaknya dunia kini sudah kembali ke zaman jahiliah...

Tanpa Nama berkata...

kredit thanks